Pemindahan Jantung Dan Mata

Pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambilkira:

a)Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.

b)Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.

c)Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya.

d)Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya didalam kematian akibat kemalangan.

Sumber : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Pertama

Khatan Bagi Pesakit Heamophilia Dan Kanak-kanak Cacat Akal

i. Pesakit heamophilia tidak diwajibkan berkhatan kerana proses khatan boleh membawa mudharat kepada pesakit. Walau bagaimanapun, aspek taharah bagi pesakit heamophilia perlu dipelajari dan diberi perhatian khusus oleh pesakit berkenaan untuk memastikan kesempurnaan bersuci dan kesahihan ibadah.

 ii. Bagi kanak-kanak yang cacat akal, kewajipan berkhatan adalah bergantung kepada tahap kecacatan otak yang dialaminya. Gugur semua kewajipan melaksanakan ibadat termasuk berkhatan ke atas kanak-kanak yang mengalami kecacatan otak yang teruk. Ahli keluarga kanak-kanak berkenaan perlu memastikan kebersihan anggota kanak-kanak tersebut dijaga dengan baik.

Sumber : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-77, JAKIM

Keluasan Fiqh Untuk Pelajar & Pengamal Perubatan

Berikut adalah sedutan dari artikel Tegas Berakidah, Luas Dalam Fekah oleh mantan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Moga menjadi panduan & manfaat buat semua.

Di sana, saya dalam banyak ucapan menceritakan kepada mereka tentang dua perkara yang penting. Pertama, kejelasan dan ketegasan Islam dalam perkara-perkara akidah. Kedua; keluasan dan kemudahan yang diperuntukkan oleh Islam dalam soal fekah.

Perkara ini perlu dijelaskan kerana dalam kalangan umat Islam, termasuk di Malaysia ada yang begitu longgar dalam akidah tapi begitu sempit dalam perkara fekah. Maka kita tidak hairan jika menemui di Malaysia mereka yang berserban atau berkopiah dan begitu takut untuk terkeluar dari mazhab fekah kebiasaannya, namun dalam masa yang sama dia masih percaya kuat kepada bomoh, atau gurunya dianggap ajaib, atau masih percaya tangkal itu dan ini.

Sepatutnya, dalam isu akidah seseorang hendaklah sensitif dan selalu takut akan segala unsur syirik. Sementara dalam soal fekah, ada keluasan yang diberikan oleh syarak yang boleh kita amalkan, namun ramai orang masih takut dengannya.

Umpamanya, di sebelah Eropah ini, pada musim sejuk seperti sekarang, waktu siang agak singkat. Waktu solat mereka berkejaran dengan waktu kelas atau peperiksaan. Sebenarnya, dalam hal yang seperti ini, mereka boleh mengamalkan solat jamak, tanpa qasar. Sekalipun jika mereka menganggap diri mereka sudah tidak bermusafir, mereka tetap mempunyai peruntukan untuk menjamakkan solat tanpa qasar.

Jamak bermaksud menghimpun dua solat dalam satu waktu, samada pada waktu pertama, atau kedua. Ini bagi solat zohor dan asar, atau maghrib dan isyak. Maka boleh dihimpunkan solat zohor dalam waktu asar, atau sebaliknya. Demikian maghrib dan isyak. Adapun qasar, iaitu memendekkan solat empat kepada dua rakaat, maka ia dikhususkan untuk mereka yang bermusafir. Sementara jamak, boleh untuk dilakukan oleh mereka yang sakit, ketakutan, terlalu sibuk, hujan, terlalu sejuk, musafir dan segala kesusahan yang lain.

Dalam hadis Muslim, daripada Sa’id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya: “Rasulullah s.a.w bersolat Zuhur dan ‘Asar secara jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir”. Kata Abu Zubair: “Aku bertanya Sa’id mengapa Rasulullah s.a.w berbuat demikian?”. Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya Ibn ‘Abbas seperti mana engkau bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas: “Kerana baginda mahu agar umatnya tidak beban”.

Maka bagi yang kesuntukan masa, seperti pelajar, atau doktor bedah, atau ahli parlimen, atau polis yang bertugas menjaga lalu lintas, atau mereka menjaga jentera yang sukar untuk ditinggalkan, maka peruntukan jamak ada dalam hadis ini untuk mereka. Namun malangnya di Malaysia, ada yang sanggup meninggalkan solat apabila masuk hospital atas alasan sukar untuk solat.

Apa tidaknya, fekah yang diajar diajar begitu sukar kerana ditokok tambah berbagai hukum lain yang memayahkan. sehingga disuruh sesiapa yang sakit tidak mampu berwuduk sepenuhnya untuk wuduk separuh dan bertayamum sebakinya. Orang sihat pun hanya berwuduk, tiba-tiba yang sakit disuruh wuduk dan tayamum.

Para pelajar di sini mempunyai masalah kerana anjing begitu banyak. Ramai yang membawa anjingnya ke sana sini. Jalan menjadi kotor dengan najis anjing yang berselerakan. Berselisih dan bersentuh dengan anjing bukan perkara luar biasa. Demikian juga dengan daging babi yang amat digemari oleh ‘orang puteh’. Kefahaman fekah tempatan kita menjadikan sesetengah pelajar kita begitu gusar dalam masalah ini.

Saya telah memberikan beberapa jawaban untuk mereka menceritakan kepelbagaian pandangan sarjana Islam berhubung dengan nilai najis kedua haiwan berkenaan dan bagaimana kita dapat mengambil manfaat dari keluasan fekah Islam dalam hal-hal tersebut. Apa yang penting mereka perlu tegas dalam akidah dan ambil kemudahan fekah yang diberikan syarak.

Sumber : http://drmaza.com

Tanam Gigi

Soalan : Gigi depan saya sudah dicabut kerana buruk dan sekarang memakai gigi palsu. Bolehkah saya tanam gigi untuk gantikan gigi palsu kerana banyak masalah pakai gigi palsu ini. Apakah hukumnya? Bagaimana sekiranya saya meninggal nanti kerana ada orang kata apabila kita meninggal semua anggota palsu kita perlu dibuka.

Dijawab oleh Ustazah Sakinah;

Dibolehkan menanam gigi yang telah rosak dan menggantikannya dengan gigi yang baru. Ia tidak termasuk mengubah ciptaan ALLAH kerana pada asalnya gigi tersebut wujud. Kemudian rosak. Tambahan pula proses situ perlu memandangkan gigi sentiasa digunakan. Seorang sahabat pernah mengalami kerosakan hidung akibat peperangan.

Kemudian beliau meminta keizinan Nabi s.a.w untuk menggantikan hidungnya dengan hidung yang diperbuat daripada emas. Lalu baginda membenarkan. Gigi yang ditanam itu tidak lagi perlu dibuka apabila meninggal. Kerana perkara seperti itu tidak pernah disebut dalam nas yang tsabit daripada Rasulullah s.a.w.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Dedah Aurat Ketika Bersalin

Soalan : Apakah hukum mendedahkan aurat diri kepada orang lelaki, contohnya semasa ibu yang ingin melahirkan anak sudah tentunya akan mendedahkan aurat. Malah ada doktor lelaki yang menyambut bayi tersebut. Apa pandangan Islam dalam hal tersebut?

Dijawap oleh Ustazah Sakinah

Jawapan : Dalam ilmu usul fiqh, terdapat satu prinsip yang disebut sebagai ‘perkara darurat mengharuskan perkara yang haram’. Para ulama sepakat bahawa harus bagi seorang doktor lelaki melihat bahagian anggota wanita yang sakit jika perlu berserta mengikut syarat yang ditetapkan oleh syariat. Begitu juga dengan aurat lelaki yang harus dilihat oleh doktor perempuan. Selain itu prinsip syarak juga menyebut bahawa ‘darurat itu diukur mengikut kadar keperluannya’.

Jadi, jika diharuskan melihat, membuka, menyentuh aurat dan sebagainya mengikut keperluan rawatan. Ia tidak dibolehkan dalam keadaan biasa. Hal ini dibolehkan dengan syarat tertentu, iaitu:

1. Mendahulukan rawatan lelaki dengan lelaki dan wanita dengan wanita, mendahulukan doktor muslimah, kemudian doktor wanita kafir, kemudian lelaki muslim kemudian barulah lelaki kafir.

2. Tidak melebihi tempat biasa yang perlu dibuka. Cukup dengan hanya mendedahkan tempat yang perlu sahaja.

3. Jika huraian pesakit sudah mencukupi, maka tidak perlu sentuh atau buka aurat.

4. Wanita hendaklah ditemani suami, mahram atau wanita lain yang berakhlak.

5. Doktor tersebut seorang yang amanah, tidak pernah didakwa dengan pelbagai perangai buruk.

Wallahu a’lam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Membesarkan dan Memanjangkan Zakar

Assalamualaikum,

Ustaz, ana ada sedikit kemusykilan mengenai penggunaan ubat tradisional untuk memanjangkan/membesarkan saiz zakar lelaki yang semakin popular hari ini. Ada mengatakan hukumnya haram atas alasan mengubah ciptaan Allah s.w.t. Ada pula mengatakan tidak mengapa atas alasan kesihatan. Adakah alasan untuk menaikkan syahwat dibenarkan untuk membolehkannya? Bagaimana pula dengan penggunaan alatan-alatan seperti pump untuk tujuan yang sama? Mohon tunjuk ajar dan rujukan daripada pihak Fiqhmedic. Wassalam

Wassalam dan Syukran atas soalan.

Jawapan oleh Abul Harith:

Hukum membesarkan dan memanjangkan zakar, tertakluk kepada dua keadaan;

Ia menjadi HARAM apabila;

- bertujuan ke arah melakukan zina & maksiat

- membuat prosedur yang lebih memudaratkan diri sendiri

Sebaliknya, ia dikira HARUS apabila;

- bertujuan mengekalkan keharmonian rumah tangga

- bertujuan mendapatkan lebih ramai zuriat

Dalam hal ini, ia bergantung kepada niat individu tersebut. Ianya bergantung kepada tujuan samada baik ataupun buruk. Ia sama seperti hukum pembesaran payudara. Sila rujuk;

http://fiqhmedic.wordpress.com/2008/04/01/pembedahan-pembesaran-payudara/

Namun, mengikut sains perubatan, prosedur pembesaran dan pemanjangan zakar bukanlah satu keperluan atas alasan berikut;

  1. Panjang zakar adalah tetap (fix) pada setiap lelaki iaitu sekitar 5 inci (12-14 cm). Manakala panjang vagina kebanyakan wanita adalah maksimum adalah 4 inci (10 cm). Saiz kebanyakan zakar lelaki adalah memadai.
  2. Disebabkan panjang zakar yang tetap, apa sahaja prosedur sama ada pembedahan atau rawatan lain tidaklah menambah kepanjangan zakar.
  3. Pembedahan dilakukan dengan memotong ligament yang menggantung zakar (samada fundiform & suspensory ligament). Jadi zakar akan tertonjol keluar dan kelihatan lebih panjang.
  4. Implantation silikon boleh membesarkan & memanjangkan zakar, namun terdapat banyak mudarat yang lebih teruk.
  5. Rawatan ubatan tradisional pula dirisaukan mempunyai kandungan yang diragui dan memudaratkan, seperti mendatangkan komplikasi pada hati dan buah pinggang.
  6. Urutan mungkin berkesan untuk melancarkan saluran darah pada zakar, namun hendaklah dilakukan oleh doktor yang pakar. Urutan tradisonal dikhatiri akan merosakkan tisu, salur darah & urat saraf
  7. Penggunaan pump pula adalah untuk merawat mati pucuk (erectile dysfunction), bukannya untuk membesarkan zakar. Penggunaan melampau boleh menyebabkan zakar melecet dan tercedera

Sila rujuk : http://www.webmd.com/a-to-z-guides/penile-enlargement

Bagi mereka yang gemuk dan obese pula, boleh jadi 1/3 hingga ½ pangkal zakarnya dilindungi lemak yang berada di bahagian perut & pubic (pangkal zakar). Jadi senaman dan gaya hidup sihat boleh mengurangkan lemak & menonjolkan zakar kembali.

Berdasarkan kajian juga, kebanyakan individu yang merasakan zakarnya kecil adalah kerana perasaan inferior mereka dan faktor psikologi semata-mata. Begitu juga orang yang mendakwa berjaya membesarkan zakar, kebanyakannya tetap sama, cuma mereka mahu percaya zakar mereka telahpun panjang selepas makan ubat tertentu. Hal ini sama sahaja dengan placecbo effect.

Kesimpulannya, usahlah isu saiz zakar menjadi keresahan Muslim. Jumpalah doktor yang pakar jika ada masalah. ALLAH memerintahkan kita menjaga ‘amanah’ kemaluan yang diberi dengan sebaik-baiknya. Banyakkan pergantungan, ibadah dan doa kepada ALLAH demi menjaga keharmonian rumah tangga.

WaLLAHU a’lam.

Darah Hitam Keluar Dari Kemaluan

Soalan : Sekiranya darah yang berwarna hitam legam keluar dari kemaluan seseorang tersebut selain dari darah haid, apakah darah tersebut? Adakah ia suatu petanda penyakit?

Jawapan :

Sekiranya darah yang berwarna hitam itu keluar ketika dalam tempoh haid, berserta sengal-sengal di bahagian perut dan pinggang seperti yang terjadi kepada sesetengah wanita ketika didatangi haid, maka ia termasuk kategori darah haid dan haram solat dan puasa.

Tetapi jika ia hanya datang sekejap-sekejap bukan masa haid, maka ia tidak termasuk kategori haid dan wajib solat dan berpuasa jika pada masa itu Ramadan. Darah haid mempunyai pelbagai warna, merah kehitaman, merah cair, kecoklatan kekuningan dan sebagainya.

Mengenai sama ada ia petanda penyakit atau tidak, perkara itu perlu merujuk kepada doktor. Tetapi, dari segi hukum, jika selain haid, solat wajib didirikan dan puasa juga wajib ditunaikan pada waktu yang telah ditetapkan. Bersihkanlah pakaian yang terkena cecair itu setiap kali solat dan berwuduklah bagi setiap solat yang hendak didirikan. Ini kerana, cecair itu najis dan membatalkan wuduk. Wallahu a’lam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Derma Tubuh Untuk Cadaver

Soalan : Apa hukumnya mendermakan seluruh tubuh untuk kajian sains? Contohnya cadaver untuk medical students?

Dijawab oleh Abul Harith,

Mendermakan tubuh badan untuk kajian sains atau cadaver adalah tidak dibenarkan Islam. Ini kerana jasad orang Islam adalah dimuliakan.

Hadith Ar-Rasul s.a.w. menyebut,

إِنَّ كَسْرَ عَظْمِ الْمُؤْمِنِ مَيْتًا مِثْلُ كَسْرِ عَظْمِهِ حَيًّا

“Mematahkan tulang mayat seperti mematahkannya dalam keadaan hidup.”

[Ad-Darqutniy/ 2986]

Manusia adalah khalifah ALLAH dimuka bumi, tidak seperti makhluk lain. Apatah lagi makhluk lain telah diciptakan ALLAH untuk dimanfaatkan oleh manusia.

Firman ALLAH,

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الأَرْضِ

“DIA yang telah menciptakan untuk kamu semua apa sahaja di bumi ini keseluruhannya”

-Al-Baqarah, 29-

Pelbagai makhluk lain seperti tupai dan tikus boleh digunakan untuk kajian perubatan demi manfaat Ummah manusia keseluruhannya.

Untuk kegunaan mayat sebagai cadaver pada zaman ini, bukanlah suatu yang mendesak. Lagipun kebanyakannya untuk pelajaran Anatomi. Sudah terdapat ilustrasi buku yang cantik dan replika tulang & tisu yang menyamai jasad sebenar. Ditambah lagi dengan perisian anatomi 3D yang boleh membantu pembelajaran.

Untuk kajian patologi pula, kebanyakan spesimen biasanya diambil dari biopsi tisu ataupun organ yang telah dibuang kerana penyakit, maka tiada halangan untuk mengkaji darinya.

WaLLAHu a’lam.

Preimplantation Genetic Diagnosis

Soalan : Apa hukum Islam tentang teknologi Preimplantation Genetic Diagnosis?

Dijawab oleh Abul Harith

Preimplantation Genetic Diagnosis (PGD) atau Embryo Screening adalah prosedur untuk mengenalpasti penyakit genetik yang mungkin dibawa bayi tersebut. Memandangkan PGD ini hanya boleh dilakukan bagi mereka yang melakukan kaedah IVF, maka hukumnya juga tertakluk kepada kaedah IVF. Dengan kata lain, pasangan tertentu yang dibenarkan melakukan IVF, maka dibenarkan melakukan PGD.

Sila rujuk http://fiqhmedic.wordpress.com/2008/05/21/mendapat-anak-dengan-kaedah-persenyawaan-luar-rahim/

Syarat-syarat yang membolehkan PGD semasa IVF adalah;

- sperma dan ovum adalah dari pasangan yang sah kahwin

- tidak dibenarkan ditumpangkan kepada wanita lain

- mendapat perakuan doktor tentang ketidakupayaan pasangan terbabit mendapatkan anak secara biasa melainkan melalui kaedah IVF

Teknologi PGD adalah bertujuan untuk mengelakkan penyakit genetik pada embryo sebelum diimplant ke rahim si ibu. Adalah tidak munasabah bagi mereka yang membayar harga mahal untuk melakukan IVF, akhirnya diletakkan embryo yang berpenyakit di dalam rahimnya.

Selain itu, terdapat beberapa pra-syarat yang membolehkan PGD dilakukan. Antaranya;

- Pasangan yang salah satu dari mereka mempunyai sejarah keluarga yang mewarisi atau membawa genetik penyakit tersebut ataupun pengidap penyakit genetik.

- Wanita yang berumur 35 tahun ke atas (pemeriksaan untuk aneuploidy kerana umur si ibu)

- Wanita dengan kes keguguran berulang, yang mungkin disebabkan oleh nombor kromosom yang tidak normal, sama ada dari sebelah lelaki atau wanita.

- Pasangan dengan kes translokasi kromosom (chromosome translocations), yang menyebabkan kegagalan implantasi, keguguran berulang dan masalah mental atau fizikal kepada zuriat.

- Pasangan yang mempunyai kes kegagalan IVF yang berulang

- Lelaki yang tidak subur yang memerlukan intracytoplasmic sperm injection (ICSI)

Kontroversi yang biasa dikaitkan dengan PGD adalah penyalahgunaan untuk pemilihan jantina “sex selection” yang digemari pasangan sahaja. Maka, PGD adalah HARAM jika sudah melibatkan pemilihan jantina. Kerana ia tiada bezanya dengan amalan masyarakat jahiliah terdahulu yang menguburkan anak perempuan mereka hidup-hidup.

WaLLAHu a’lam.

Rujukan : http://www.emedicine.com/MED/topic3520.htm

Memakai Contact Lens Ketika Puasa

Soalan : Saya ingin tahu hukum puasa apabila kita memakai contact lens. Apakah puasa saya terbatal?

Jawapan :

Di dalam Kitab Fiqh al-‘Ibadat, muka surat 191:

“Puasa orang yang memakai kanta sentuh atau contact lens tidak batal kerana ia tidak masuk ke perut dan bukan kategori makanan atau minuman. Dibolehkan juga menitikkan sebarang ubat mata atau telinga ketika berpuasa walaupun jika ia memasuki halkum. Ia bukan makan atau minum juga tidak termasuk makna makan atau minum.”

Wallahu alam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my