Hukum Lelaki Pakai Gelang Untuk Perubatan?

Benarkan Islam melarang berubat dengan memakai gelang? Ada sebahagian orang yang mendakwa Nabi saw melarang berubat dengan memamai gelang berdasarkan hadith riwayat Ahmad bahawa Rasulullah s.a.w. telah melihat di pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya kepada lelaki berkenaan, Apakah bendanya ini?” Lelaki itu berkata: “Ia adalah gelang perubatan, buangkan benda itu dari diri anda, jika sekiranya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya selama-lamanya.” (Hadith Sohih yang ke-19,885 riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya)

Jawapan:

Oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak 

Hadith yang  saudara maksudkan diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya demikian juga Ibn Majah di dalam Sunannya. Hadith ini diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husain, Lafaznya ialah: 

أن النبي -صلى الله عليه وسلم- رأى رجلا في يده حلقة من صفر فقال: ما هذه? قال: من الواهنة، قال: انزعها فإنها لا تزيدك إلا وهنًا، فإنك لو مت وهي عليك ما أفلحت أبدًا

Maksudnya lebih kurang: “Bahawasanya Nabi saw telah melihat seorang lelaki di tangannya ada gelang daripada tembaga, Nabi saw bertanya: “Apakah ini?” Orang itu menjawab: “ianya daripada al-Wahinah.” Sabda Nabi saw: “Tanggalkannya segera, sesungguhnya dia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan, sesungguhnya jika kamu mati dan gelang itu ada padamu, kamu tidak akan berjaya selama-lamanya.”

Dalam hadith ini tidak disebut siapakah lelaki yang memakai gelang tersebut, namun di dalam al-Mustadrak al-Hakim dinyatakan lelaki tersebut ialah ‘Imran bin Husain sendiri.

Tentang hadith ini para ulama berbeza pendapat akan kesahihannya. Hadith ini diriwayatkan daripada al-Hasan daripada ‘Imran bin Husain. Para ulama berbeza pendapat apakah al-Hasan (الحسن) benar-benar mendengar daripada ‘Imran bin Husain (عمران بن حسين) ataupun tidak. Demikian juga di dalam hadith ini ada periwayat yang bernama Mubarak bin Fadhalah (مبارك بن فضالة), ia juga diperselisihkan di kalangan ulama hadith. Kesimpulannya para ulama tidak sepakat dalam mensahih dan mendhoiefkan hadith ini.

Jika kita mengambil pendapat ulama hadith yang mensahihkan hadith tersebut, tinggal kepada kita untuk benar-benar memahami maksudnya sehingga kita boleh berhukum dengannya dengan cara yang betul. Perkara ini perlu supaya kita tidak keras mengharam sesuatu yang sebenarnya tidak haram seperti yang kita sangka.

Al-Syeikh Soleh bin Fauzan bin Abdullah al-Fauzan  menyebut, pertanyaan Nabi saw: “Apakah bendanya ini.” Yang zahir, pertanyaan ini adalah pertanyaan yang menunjukkan pengingkaran, namun dikatakan juga pertanyaan Nabi saw itu adalah untuk mengetahui tujuannya memakai gelang tersebut.

Manakala jawapan lelaki tersebut: “ianya daripada al-Wahinah.” Membawa maksud, aku memakainya untuk mengelakkan al-Wahinah, untuk dia melindungi aku daripadanya (yakni melindungi daripada al-Wahinah). Al-Wahinah adalah penyakit yang kena pada tangan, dinamakan di kalangan orang Arab dengan al-Wahinah, termasuk di dalam kebiasaan mereka memakai gelang untuk berlindung daripada kesakitannya dan mereka percaya gelang tersebut akan melindungi dari penyakit tersebut.

(Sila lihat di sini:

http://www.alfawzan.ws/AlFawzan/Library/tabid/90/Default.aspx?view=page&PageID=35&pageno=1&bookid=32&sectionid=2)

Al-Syeikh ‘Abdul Hakim (Kuliah al-Syariah Uni. Al-Imam Muhammad bin Saud) di dalam laman islamtoday berkata: Para ulama berbeza pendapat tentang maksud al-Wahinah, namun mereka bersepakat akan illah (sebab) larangan tersebut… Ulama telah bersepakat bahawa illah (sebab) larangan tersebut ialah kerana orang menjadikannya (al-Wahinah) seperti tangkal, yang terdapat larangan menggantungnya.

(Sila lihat:  http://www.islamtoday.net/questions/show_question_content.cfm?id=43737)

Berdasarkan fatwa ini, ia menunjukkan larangan memakai al-Wahinah yang ada di dalam hadith tersebut bukanlah semata-mata kerana ianya gelang, dan bukan juga larangan dari berubat dengan gelang. Sebaliknya larangan tersebut disebabkan ia dipakai dan dianggap seperti tangkal bertujuan memelihara diri dari penyakit. Tangkal yang dianggap boleh berubat ini, yang dinamakan sebagai al-Wahinah oleh orang Arab tidak ada sebarang bukti menunjukkan ia boleh menghalang dari penyakit samaada bukti dari Nas Syara’ (al-Quran atau al-Hadith) mahupun penemuan sebab-sebab dia boleh bertindak sebagai ubatan. Kerana itu ia dilarang oleh Nabi saw. Ringkasnya larangan itu adalah disebabkan tangkal yang tidak ada bukti berperanan sebagai pengubat melainkan khayalan dan khurafat semata.

Maka apabila terdapat nas Syara’ atau penemuan saintifik yang dapat membuktikan sesuatu bahan seperti logam atau seumapamanya yang jika dipakai dibadan dapat melancarkan perjalanan darah atau seumpamanya, sudah tentu bahan tersebut boleh digunakan insyaallah. Ini termasuk cara perubatan yang ditemui, hasil dari kajian melalui sebab musababnya.

Ini kerana perubatan yang dibenarkan itu terdiri daripada:

  1. Perubatan dengan ayat-ayat al-Quran dan al-Hadith.
  2. Perubatan dengan bahan-bahan yang disebut di dalam al-Quran dan al-Hadith seperti Madu, Habbah al-Sauda dan seumpamanya.
  3. Perubatan berdasarkan kajian saintifik terhadap sebab-sebabnya, atau berdasarkan pengalaman mengunakannya.

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum orang lelaki memakai gelang, sebahagian mengatakan harus dan sebahagian yang lain mengatakan haram. Namun para ulama yang mengharamkan pemakaian gelang bagi lelaki, setakat penelitian saya tidak ada yang menjadikan hadith di atas sebagai dalil dalam pengharam tersebut. Sebaliknya hadith tersebut banyak digunakan ketika berbicara tentang tangkal dan azimat yang dianggap dapat melindungi dan mengubati tanpa sebarang bukti dari nas syara’ mahupun kajian saintifik. Al-Sindiy ketika mensyarahkan hadith di atas di dalam Sunan Ibn Majah menyatakan larangan tersebut kerana ianya sama dengan al-Tama-im atau tangkal yang dilarang penggunaannya. Kadangkala tangkal itu digantung bersama dengan manik, yang dinamakan Manik al-Wahinah (خرز الواهنة)

Penggunaan sesuatu tangkal (terdiri dari potongan besi, tembaga, simpulan benang dan lain-lain) untuk berubat dan memelihara diri, ada perbezaan yang cukup besar dengan cara perubatan dengan sesuatu bahan hasil dari penemuan saintifik.  Kepercayaan kepada tangkal yang dapat berubat adalah suatu khayalan yang tidak diterima di dalam syara’, dan ianya tidak ada kaitan langsung dengan unsur-unsur perubatan. Berbeza dengan penggunaan sesuatu bahan hasil dari kajian saintifik dan terbukti memberi manfaat kepada manusia.

Kerana itu, al-Syeikh ‘Abdul Halim di dalam fatwa yang sama (yang saya sebutkan sumbernya di atas) membenarkan penggunaan potongan besi (yang digunakan dalam perubatan moden) yang ditanam pada beberapa gigi, atau di tempat-tempat tertentu di tubuh badan yang berperanan menyerap aliran elektrik yang boleh menjadi sebab seseorang hilang ingatannya (pengsan). Beliau menyambung jika seseorang pesakit mendapat manfaat dengan cara sebegini dengan pengakuan individu berkeahlian yang dipercayai, maka ianya tidak mengapa insyaallah. Cuma beliau di dalam fatwanya mencadangkan lebih baik jika bahan seperti potongan besi itu digunakan ditempat yang tersembunyi sebagai mengelak dari buruk sangka orang ramai.

Demikian juga di dalam laman islam-online, al-Ustaz Muhammad Sa’di (Penyelidik laman islam-online) ketika ditanya tentang hukum memakai gelang dari tembaga yang diperbuat bagi tujuan perubatan apakah dibenarkan atau ia termasuk di dalam Syirik yang kecil, beliau menjawab: “Jika terbukti kemanfaatan gelang tersebut sebagai perubatan, maka perbuatan itu tidak mengapa, adapun jika tidak ada padanya sebarang manfaat, maka jangan dipakaikan kerana ketika itu ia termasuk dalam kumpulan memakai tangkal dan azimat.”

(Sila lihat soalan 11:

 http://www.islamonline.net/livefatwa/Arabic/Browse.asp?hGuestID=n4MV6S)

Seperti yang saya sebutkan di atas, para ulama berbeza pendapat tentang hukum pemakaian gelang bagi lelaki. Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut di sisi mazhab al-Syafieyyah terdapat dua wajah tentang hukum perhiasan lelaki selain cincin perak seperti gelang tangan dilengan (الدملج) dan gelang (السوار) dan kalung (الطوق) dan mahkota (التاج). Pertama mengatakan haram dan kedua mengatakan harus selama mana tidak menyerupai wanita, kerana tidak thabit dalam (pengharaman) perak melainkan pengharaman untuk bekas-bekas (seperti pinggan, mangkuk dll), dan perhiasan dalam bentuk menyerupai wanita. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 18/110 bawah bab al-Huliy)

Darul Ifta’al-Misriyyah pula di dalam laman webnya menyebut perkataan al-Rafi’e (ulama mazhab al-Syafie) di dalam Syarh al-Wajiz yang mengatakan harus bagi lelaki memaki cincin perak berdasarkan riwayat cincin Nabi saw daripada perak dan harus juga memakai selain cincin dari perhiasan perak seperti gelang dan gelang lengan dan kalung. Demikian juga perkataan Abu Said al-Mutawali yang mengatakan apabila harus memakai cincin perak, maka tidak ada beza antara jari-jari dengan anggota lainnya, sama seperti perhiasan emas yang dihalalkan untuk wanita, maka diharuskan untuk orang lelaki memakai gelang di lengan, kalung di tengkuk dan gelang di tangan dan selainnya kerana tidak thabit pengharaman perak melainkan pengharaman kepada bekas-bekas dan pengharaman menyerupai wanita.

(Sila lihat laman rasmi Dar al-Ifta’ al-Misriyyah: http://www.dar-alifta.com/)

Kesimpulan dari jawapan di atas ialah:

  1. TIDAK HARAM berubat dengan gelang yang terbukti melalui kajian saintifik atau pengakuan individu yang berkelayakan dan boleh dipercayai agamanya.
  2. Larangan memakai gelang yang dinamakan al-Wahinah di dalam hadith bukan merujuk kepada gelang semata-mata dan bukan juga merujuk kepada larangan berubat dengan gelang, sebaliknya ia merujuk kepada merubat dengan tangkal atau gelang yang hanya semata-mata tangkal.

Orang-orang yang menggunakan gelang atas sebab-sebab yang dibenarkan hendaklah memerhatikan yang mereka tidak sampai ke tahap yang dilarang seperti pembaziran dan menyerupai wanita dalam penggunaannya.

http://al-qayyim.dtdns.net/v01/index.php?option=com_content&task=view&id=279&Itemid=2

Sumber : http://soaljawab.wordpress.com

9 Responses

  1. article yg bermanfaat.saya ingin bertanya, bagaimana dengan pemakaian jam?adakah hukumnya serupa seperti yang di tulis dalam article tersebut?terima kasih.Lagi satu saya ingin bertanya, apakah hukumnya membedah binatang untuk tujuan mempelajari perubatan seperti tikus dan katak.Adakah dianggap menganiaya binatang?

  2. Wassalam Sdr. Mujahid. Syukran atas soalan.

    Berkenaan pemakaian jam, ia bertujuan mengetahui waktu dan juga sebagai hiasan. Bukanlah mereka bergantung kepadanya seperti penggunaan tangkal secara tahyul dan mistik. Maka hukumnya harus sebagaimana kaedah fiqh, “Asal sesuatu perkara itu adalah MUBAH (dibolehkan)”. Namun ia menjadi haram apabila seorang lelaki memakai jam dari emas atas sutera.

    Firman ALLAH,
    قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللّهِ الَّتِيَ أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالْطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِي لِلَّذِينَ آمَنُواْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ (32) سورة الأعراف
    Katakanlah: “Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari ALLAH yang telah dikeluarkan-NYA untuk hamba-hamba-NYA dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezki yang baik?” Katakanlah: “Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat.” Demikianlah kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.
    -Al-A’raf, 32-

    Hukum membedah katak dan tikus adalah harus kerana bertujuan untuk kemaslahatan umat manusia. Nyawa manusia adalah elemen yang penting di sisi Islam seperti terkandung dalam prinsip Daruriyat Khamsah. Membedah dan membuat ujikaji ubat terhadap binatang terlebih dahulu amat perlu dan penting untuk mengelakkan bahaya yang tidak pasti sebelum terus membedah atau memberi ubat baru kepada manusia. Namun, dinasihatkan agar komuniti penyelidik atau pelajar perubatan berlaku ihsan kepada binatang, menggunakan sekadar keperluan dan mengelakkan kemusnahan dan melampaui batas.

    WaLLAHu a’lam.

  3. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh …

    Salam ukhuwah. Pertamanya, terima kasih atas penjelasan yang panjang lebar berserta dalil-dalil sohih. Namun, ana sedikit was-was kerana pernah membaca artikel berkenaan pemakaian gelang oleh kaum lelaki baru-baru ini di sebuah masjid. Menurut artikel tersebut, pemakaian gelang ini adalah dakyah Yahudi untuk menyesatkan umat Islam secara halus.

    Mengikut situasi semasa, ada benarnya juga apa yang terkandung dalam artikel berkenaan melihat kepada para remaja kini yang menjadikan gelang sebagai aksesori. Ini secara langsung telah menjadikan niat pemakaian gelang bercanggah dengan apa yang telah dirungkaikan sebelum ini. Sebagai tambahan, artikel tersebut turut menyatakan bahawa kaedah terbaik untuk merawat penyakit adalah melalui ayat-ayat al-Quran, bukannya melalui alat-alat tertentu walaupun telah terbukti melalui kajian yang dijalankan.

    Malah, segelintir muslim yang menjadikan pemakaian gelang sebagai kaedah rawatan, mula goyah aqidah masing-masing kerana lebih mempercayai kuasa yang ada pada gelang berbanding Allah SWT. Wallahu’alamu bissawab. Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat. Apa-apa pun, segalanya adalah berlandaskan niat. Selagi tetap di hati bahawa Allah jualah Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui, InsyaAllah hati akan terpelihara seadanya.

    Wassalam …

    Abul Harith : Wassalam Sdr. Saiful Adli. Terima kasih atas perkongsian. BarakaLLAHu lak.

  4. assalamualaikum wbt.
    sedikit perkongsian secara umum.
    Memakai gelang dengan alasan perubatan mungkin boleh bincangkan dengan lebih lanjut. Jika keadaan dharurat yang mana hanya gelang sahaja yang mampu merawatnya, maka sudah ia dihalalkan bahkan hukumnya harus. Persoalannya, wujudkah penyakit yang “emergency” yang mana jika tidak memaki gelang maka pesakit akan meninggal dalam masa 24 jam? Jawapannya TIADA. Sebab gelang secara saintifiknya hanya digunakan untuk mencegah penyakit-penyakit kronik yang mendatang, yang mungkin tak kena pun jika tidak memakainya. Zaman sekarang ramai anak-anak muda kita memaki gelang besi yang pelik-pelik ditangan mereka. Adakah kita berani menegur mereka sedangkan dalam masa yang sama ditangan kita juga terdapat gelang yang dibuat daripada logam dan sebagainya. Perbuatan memaki gelang dengan alasan perubatan langsung tidak menujukkan qudwah yang baik kepada anak-anak kita dan masyarakat.
    Pernahkah kita melihat ulama’-ulama’ muktabar memakai gelang-gelang? Cuba kita bayangkan macam mana jika syiekh Yusuf Al-Qhardawi memakai gelang tersebut sambil berceramah, sudah tentu mencacatkan peribadi beliau dan hilang kethiqahan terhadapnya.
    Bagi menjaga kewarakan kita, eloklah di elakkan untuk tidak memakainya.

    “Berlapang dada dalam hukum fiqh”

    Abul Harith : Wassalam Dr. Farhan, Syukran atas perkongsian.

    Saya bersetuju dengan hujah Dr., bahawa TIADA keperluan untuk pesakit pakai gelang kerana buat masa ini masih belum terbukti secara saintifik mana-mana gelang yang boleh mengelakkan dan menyembuhkan penyakit. Adalah haram memakai gelang seperti trend remaja sekarang walaupun didakwa kononnya mempunyai manfaat perubatan.

    Jadi, kesimpulan artikel di atas hanyalah HUKUM yang boleh wujud apabila telah wujud SYARAT yang dinyatakan. Ia berbunyi;

    “TIDAK HARAM berubat dengan gelang yang terbukti melalui kajian saintifik atau pengakuan individu yang berkelayakan dan boleh dipercayai agamanya.”

    Penemuan sains akan sentiasa berkembang. Jadi jika suatu hari terdapat bukti kukuh penggunaan gelang untuk tujuan perubatan, maka hukum ini akan terpakai.

    Lagi satu, buat masa sekarang pun memang ada pesakit hemophilia yang terpaksa memakai gelang logam untuk ‘identification for acute management’ sekiranya berlaku kecemasan (kecederaan & kemalangan) kepada mereka. Gelang itu tidak menyembuhkan dan mengelakkan penyakit mereka. Tapi ia dikira keperluan kepada mereka terutama bila emergency berlaku. Maka hukum TIDAK HARAM memakai gelang terpakai untuk golongan ini.

    WaLLAHu a’lam.

  5. assalamualaikum

    jazakallah atas perkogsian bahan Ilmiyah

    عسى الله أن ينفعنا بعلمك

    ada satu persolan yang saya nak timbulkan di sini bahagaimana yang dikatakan menyerupai wanita dalam penggunaannya.

    bukankah secara umumnya orang awam mengetahui gelang dan rantai itu perhiasan untuk perempuan. dan ianya same sekali berbeza dengan jam …

    wallahualam

    Abul Harith : Wassalam Abu Naufal,

    Soalan Sdr. telah dijawab oleh Sdr. sendiri. Umum mengetahui gelang dan rantai adalah perhiasan wanita sahaja. Dan Rasul ALLAH melarang ummah lelakinya menyerupai wanita. Jam hanyalah keperluan untuk melihat masa. Ia tidak berkaitan dengan hukum tabarruj gelang di atas.

    WaLLAHu a’lam.

  6. assalamualaikum

    maaf, saudara tidak menjawab soalan saya lagi…maksud soalan saya ialah …

    apabila seseorang itu memakai gelang khususnya lelaki maka ianya telah menyerupai perempuan maka ianya adalah haram sama sekali..

    sebab saudara kata :

    @Orang-orang yang menggunakan gelang atas sebab-sebab yang dibenarkan hendaklah memerhatikan yang mereka tidak sampai ke tahap yang dilarang seperti pembaziran dan menyerupai wanita dalam penggunaannya.@

    حدثنا محمود بن غيلان حدثنا أبو داود الطيالسي حدثنا شعبة و همام عن قتادة عن عكرمة عن ابن عباس قال : لعن رسول الله صلى الله عليه و سلم المتشبهات بالرجال من النساء والمتشبهين بالنساء من الرجال
    قال أبو عيسى هذا حديث حسن صحيح
    قال الشيخ الألباني : صحيح

    maksudnya : daripada ibnu abbas r.a telah berkata : Rsulullah s.a.w melaknat wanita yang menyerupai lelaku dan lelaki yang menyerupai wanita…

    berkata Imam Al Tirmizi : hadis ini hasan soheh
    albani : soheh

    wallahualam

    manakala hadis ini :

    أن النبي -صلى الله عليه وسلم- رأى رجلا في يده حلقة من صفر فقال: ما هذه? قال: من الواهنة، قال: انزعها فإنها لا تزيدك إلا وهنًا، فإنك لو مت وهي عليك ما أفلحت أبدًا

    Maksudnya lebih kurang: “Bahawasanya Nabi saw telah melihat seorang lelaki di tangannya ada gelang daripada tembaga, Nabi saw bertanya: “Apakah ini?” Orang itu menjawab: “ianya daripada al-Wahinah.” Sabda Nabi saw: “Tanggalkannya segera, sesungguhnya dia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan, sesungguhnya jika kamu mati dan gelang itu ada padamu, kamu tidak akan berjaya selama-lamanya.”

    sungguh jelas menyatakan bahawa sahabat tersebut mengunakan bahan logam tadi untuk tujuan perubatan sebab dia kata ” من الواهنة” , saya tak nafikan ulamak menyatakan maksud hadis di atas merujuk kepada tangkal dan sewaktu dengannya, tapi walaubagaimana ianya tetap larangan berubat dengan logam.

    Dan nabi s.a.w takkan bercakap mengikut hawa nafsu bahkan ianya adalah wahyu semata-mata.

    dari aspek perubatan Islam ulamak mengketogorikan ubat -ubatan itu terbahai kepada 2 bahagian.:

    1- ubut-ubatan yang syarei seperti berubat dengan ayat alquran, madu, habbatus sauda’. d.l.l. asalkan ianya ada pengesahan dari syara’ bahawa ianya adalah ubat maka boleh kita gunakan sebagai ubat.

    2- ubat -ubatan yang bukan syarei, ianya terbahagi kepada 2 juga:

    1- ubat-ubatan yang telah di buat kajian terperinci. seperti ubat ubatan yang terdapat di klinik, hospital dan farmasi dan ianya boleh digunakan selagi mana tidak bercanggah dengan syara’

    2- ubat-ubatan yang tidak ada kajian terperinci ubat-ubatan seperti ini tidak boleh digunakan sama sekali.

    akhir-akhir ini tumbul pelbagai bahan orang menggunakan ianya sebagai ubat : antara gelang megnet dan sebagainya…

    baru-baru ni saya terdengar ada satu lagu bahan yang digunakan untuk ubat iatu batu dari gunung berapi kerana mereka kata ianya membekalkan tenaga kepada manusia..

    mereka juga mendakwa kajian telah di lakukan oleh- para saintis..

    yang menjadi persoalannya kajian tersebut dilakukan oleh orang bukan islam…iaitu kafir…

    wallahualam …

    saya tak menyangkal memang ulamak islam juga khilaf dalam masaalah ini ada yang kata boleh dan ada yang kata tak boleh pakai…

    bagi saya ianya termasuk dalam perkara syubhah…maka seelok-elok nya tak perlu pakai bahan -bahan logam tersebut…lagi selamat..

    bagi yang memakainya pula dan mereka perpegang kepada pendapat yang kata boleh..saya takdelah kata berdosa sebab ianya masaalah khilaf…cuma berhati-hati jangan sampai tahap individu tersebut bergantung harap terus kepada logam tersebut dan mengenepikan yang Maha Kuasa Allah subhanahu wataala…

    be ware …..

    dan cadanagan saya lah jika nak buat ubat sekali pun tak semesti logam tersebut dibentuk dengan bentuk rantai dan gelang…maksud saya untuk lelaki lah kalu pempuan lain lah…

    wallahualam

    persoalan berkaitan dengan permasaalahn ni berkisar kepada beberapa perkara yang dapat saya simpulkan ialah :

    1- jika seseorang itu menggunakan bahan logam untuk tujuan perubatan dan ianya telah dibuktikan oleh saintis maka dibenarkan.

    bagi saya pula : ianya bercanggah dengan hadis yang melarang ..walaupun saudara membawa tafsiran ulamak dengan mengatakan ianya adalah tangkal semata-mata.. akan tetapi yang pastinya tangkal adalah salah satu kaedah perubatan dan hadis menerangkan bahawa tidak boleh menggunakan logam untuk dibuat ubat (tangkal).

    wallahualam mungkin saudara boleh kongsi dengan saya perbezaan tangkal dengan ubat.

    2- jika bahan tersebut di buat bentuk rantai atau pun gelang secara jelas apabila lelaki mamakainya maka ianya menyerupai wanita..dan ini tidak dibenarkan sama sekali..

    3- jika mereka yang memakainya begantung harap atupun ittikal dengan bahan tersebut ubat tersebutlah yang menyembuh kan dia maka ini adalah syirik..ini umum untuk semua ubat…

    4- melakukan pembaziran ianya juga adalah di larang same sekali

    5- jika lelaki memakainya untuk perhiasa maka ianya juga di larang same sekali

    wallahualam

    maaflah saya memang suka bincang…kalu salah tolong tunjukkan….

    jazakumullah

    Abul Harith : Terima kasih sekali lagi Sdr. Abu Naufal atas perkongsian. Saya juga meminati & mengalu-alukan perbincangan dari Sdr.

    Kesimpulan dan hujah beserta nas yang Sdr. nyatakan adalah benar sama sekali. Moga ia memberi panduan kepada semua pengunjung laman ini.

    Saya secara peribadi mengatakan tiada keharusan dan haram memakai gelang magnet, kristal dan yang seerti dengannya untuk tujuan perubatan. Kerana memang tiada bukti & kajian yang berwibawa yang mengesahkan manfaat tersebut. Buat masa ini, ia masih lagi dakwaan dan sangkaan yang belum terbukti.

    Namun, izinkan saya berkongsi dengan Sdr. bahawa dalam dunia perubatan, terdapat beberapa keadaan yang memerlukan pesakit tertentu terpaksa memakai gelang logam. Gelang ini bukanlah dipakai kerana ia menyembuhkan. Ia dipanggil ‘Medical Alert Bracelet’ yang hanya dipakai sebagai pengenalan pesakit kerana sakitnya yang kronik. Ia mencatatkan maklumat sakit kronik seperti jenis darah, ubat, alergi dan sebagainya untuk urusan kecemasan jika berlaku kecelakaan kepada pesakit tersebut. Antara pesakit yang memakai ‘Medical Alert Bracelet’ adalah mereka yang mengidap hemophilia, Parkinson, cacat mental & apa sahaja sakit yang kronik.

    Ringkasnya, gelang logam ini bertujuan sama seperti gelang atau tag pengenalan jemaah haji mahupun pesakit yang masuk wad. Namun ia dibuat dari logam, bukannya kertas seperti kebiasaan agar lebih tahan selama mungkin kerana pesakit perlu memakainya seumur hidup. Maka, mahu atau tidak, mereka terpaksa memakainya atas darurat yang membahayakan nyawa yang boleh menimpa mereka bila-bila masa kerana malang tak berbau.

    Jadi, kesimpulan ‘dibenarkan pakai, namun tidak boleh menyerupai wanita dan membazir’ dikhususkan terpakai dalam kes ini.

    Untuk maklumat lanjut, Sdr. boleh Google ‘Medical Alert Bracelet’ untuk melihat gambar mahupun maklumat lanjut tentang keperluan hal ni.

    Syukran. Wassalam.

  7. Jazakallah khairan…

    jika begitulah yang saudara katakan wallahualam, hanya untuk pengenalan ke atas pesakit yang kronik atau jemaah haji atau yang sewaktu dengan rasanya tidak ada masaalah…

    Abul Harith : JazakALLAH buat anta juga. Ana menghargai hujah & dalil dari anta sepanjang perbincangan ini. Teruskan berkongsi di laman ini. Salam ukhwah.

    Wassalam.

  8. Assalamualaikum. kepada semua teman. terima kasih kerana banyak mengutarakan komen tentang hukum memakai gelang@bracelet. saya juga tertarik dengan isu yg pembaca utarakan tentang batu dari gunung berapi yang berupaya menyembuh penyakit. apa yang saya ketahui melalui demo yg saya sendiri ikuti, kebanyakan ahli sains merupakan bukan Islam. bagaimanapun sebahagiannya juga telah memeluk Islam seperti mana kata pendemo. keterbuktiaan secara saintifik memang tidak dpt dinafikan kerana saya sendiri memakai produknya ( selain raantai tangan ada banyak lagi produknya ). bagi mengelakkan “keharaman ” tadi, saya memakai termos/flus air. sebenarnya produk syarikat ini bukanlah rantai tangan sangat, tetapi merupakan produk yg di”cas: pada air. air berkenaan saya minum/amalkan kerap mungkin dengan meminum, dibaca ayat quran, selawat dan bismillah. ada lagi produk batu gunung berapi seperti loket yg diutakan kepada perempuan. dari segi santifik, ada beberapa contoh, bukti tempatan yang telah dibuktikan. misalnya seorang rakan saya ( ustaz ) yg mati sebelah badan akibat strok. Alhamdulillah dengan menggunakan loket, buat mandi, minum airnya, genggam dalam 2 jam sakit beliau ada berkurangan. beliau boleh gerakkan tangan yg “hampir mati “. At least ada juga la fungsi loket dan terbukti secara santifik. (banyak bukti lain yg boleh saya kemukakan ) Pada saya, ahli sains bukan Islam juga bukan semua bertugas memusnahkan Islam. Santis Islam juga bukan semua juga memartabatkan Islam. Jika saintis kafir mencipta alat untuk kesihatan manusia dan suci, apa salahnya kita cuba demi kesihatan kita untuk beribadat. Kalau sangsi dengan rantai tangan, gunakan produk lain….Wallhuaklam

    Abul Harith : Wassalam Cikgu & terima kasih atas perkongsian panjang lebar,

    Izinkan saya berkongsi serba sedikit prinsip perubatan Islam dan juga perubatan moden.

    Perubatan Islam, seperti juga perubatan moden adalah disiplin ilmu perubatan yang menekankan kesahihan bukti dan professionalisme dalam amalannya.

    Ia menitikberatkan bukti yang kukuh dan diiktiraf yang dihasilkan oleh kajian dan eksperimen yang kemudian direkodkan dalam jurnal yang bermutu, tepat dan diiktiraf kewibawaannya. Maka, bukan sebarang kajian ataupun dakwaan penemuan saintifik ditelan begitu sahaja melainkan setelah melalui proses saringan yang ketat sebelum ia diterima. Testimoni segelintir orang bukan beerti perkara tersebut juga baik untuk semua orang lain. Inilah yang dinamakan ‘Evidence Based Medicine’, bukannya mengikut rasa hati semata-mata.

    Begitu juga, tidak semua teori dapat diamalkan sewenang-wenangnya melainkan telah teruji keberkesanannya melebihi mudaratnya. Professionalisma atau ‘Good Clinical Practice’ adalah keperluan bagi pengamal perubatan, bukannya beramal ikut pandai sendiri atau cuba-cuba sahaja.

    Kedua-dua amalan di atas adalah ciri terpenting dalam amalan perubatan moden, yang semestinya sangat menepati tuntutan Syariah agar pesakit terhindar dari bahaya syirik, khurafat, penipuan, syak wasangka dan kebinasaan aqidah dan fizikal yang lebih teruk.

    WaLLAHu a’lam.

  9. jelas di sini hukum untuk memakai gelang ini hanyalah dalam keadaan dharurat….kalau dah tak ada ubat atau cara lain untuk mengubati atau lebih slmt ( cth org p haji ) maka rasanya pemakaian ini adalah tidak harus,sekiranya tidak dlm dharurat. masalah yg kita lihat sekarang ini, pekara2 seperti ini di pergunakan untuk kepertingan tertentu. para ulama muasharah wajib teliti dan mengkaji secara mendalam tentang hal ini , moga2 memelihara akhidah umat islam….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 86 other followers

%d bloggers like this: