Puasa Wanita Istihadhah

Soalan : Minta bantuan para panel menerangkan permasalahan wanita istihadhah yang ingin berpuasa, sama ada puasa di bulan Ramadhan ataupun sekadar puasa sunat atau puasa ganti. Harap dapat keterangan kerana dari carian sekadar penerangan sekitar permasalahan wanita istihadhah dan solat, terima kasih.

Jawapan:

Hukum wanita istihadhah (darah kerana sakit) adalah sama dengan hukum wanita suci dalam banyak permasalahan. Maka wanita istihadhah wajib sembahyang fardhu, wajib puasa Ramadhan, boleh berpuasa sunat, dan boleh berpuasa ganti ketika waktu istihadhah itu.
Yang menghalang daripada puasa ialah: Haidh dan Nifas sahaja.

Ini adalah pendapat semua keempat-empat mazhab.

 

Rujukan:
-Badai’ Sanaie 1/161 (mazhab Hanafi)

-al-Talqin m/s 73 (mazhab Maliki)

-al-Majmuk 2/417 (Mazhab Syafie)

-Fatwa Lajnah Daemah no: 6495, m/s 5/404.

Wallahu a’lam.

Sumber : disunting dari Soal Jawab Agama, http://abuumair1.wordpress.com/

3 Responses

  1. assalamualaikum Dr.
    Saya sedang mengandung 2 bulan tetapi ada masalah bleeding.Doktor kata darah tu dikira haid.soalan saya:
    1. Adakah wanita mengandung keluar darah haid?
    2. Adakah saya tidak boleh solat, puasa dan baca Al-Quran ketika bleeding ini?
    3.Selepas 15 hari, adakah bleeding ini dianggap istihadhah?

    Abul Harith : Wassalam & Terima kasih UmmuIman atas soalan.

    1. Apabila wanita telah disahkan mengandung, maka tidak akan keluar lagi darah haid, apatah lagi setelah 2 bulan mengandung. Maka ia bukanlah darah haid. Dalam kes ini, sama ada doktor tersebut tersilap ataupun individu tersebut tidak mengandung.

    Namun, jika betul keluar darah, kebarangkalian besar dan kebiasaannya ia dikaitkan dengan komplikasi keguguran. Sila dapatkan pemeriksaan & pandangan kedua dari doktor lain.

    2. Saya menyakini darah 2 bulan selepas mengandung bukanlah haid, maka hukumnya sama seperti darah istihadah. Boleh solat, baca al-Quran & puasa. Sila rujuk fatwa di atas.

    3. Andai selepas 15 hari darah keluar, ia dikira darah istihadah.

    Puan dinasihatkan mendapatkan konsultasi doktor pakar dalam kes puan ini. Saya mendoakan puan dan kandungan sentiasa sihat walafiat selalu.

    Wassalam.

  2. Salam,
    Saya ingin tahu,adakah wanita yg istihadhah yg bermusafir dibenarkan meng’qasar’ dan men’jamak’ kan sembahyangnya?

    Abul Harith : Wassalam Sdri Yaya, terima kasih atas soalan.

    Sesiapa sahaja yang musafir dibenarkan untuk qasar dan jamak sembahyang mereka, tidak kira sama ada dia istihadah atau tidak.

  3. masalah saya mengenai haidh.
    berapa lamakah biasanye jarak suci antara 2 haidh.
    contohnye baru-baru ini saya dapati ade keluar kekotoran seakan darah tapi lebih gelap & tak begitu lancar antara 1 -9 Ogos, kemudian darah seakan warna haidh biasa keluar dgn lancar dari 10 Ogos hingga 14 Ogos. selepas itu ianya bersih. Kotoran gelap itu datang lagi pada 21/8 hingga kini. bagaimanakah solat/puasa saya. biasanye waktu haidh mengambil masa antara 5-7hari saja.

    Abul Harith : Wassalam Sdri. Suhaila, terima kasih atas soalan.

    Jika tempoh haid Sdri kebiasaannya adalah paling lama 7 hari, maka yang selebihnya dikira istihadah.

    Sdri perlu mengira sendiri tarikh datang haid terbaru, iaitu sepatutnya 28 hari selepas hari mula haid bulan yang lepas. Maka apa sahaja pendarahan yang berlaku terlampau awal atau lewat dikira istihadah.

    Sdri perlu berpuasa dan bersolat seperti biasa apabila istihadah. Berjumpalah pakar O&G untuk pemeriksaan lanjut berkenaan punca pendarahan.

    Wassalam.

Leave a Reply