Uri Bayi Untuk Produk Kosmetik

Soalan : Saya ditanya oleh seorang ketua jururawat di hospital besar tentang pandangan Islam terhadap pengurusan placenta (uri bayi selepas lahir). Saya percaya soalan ini timbul berdasarkan fakta bahawa terdapat syarikat kosmetik menggunakan placenta untuk menghasilkan produk kecantikan. Soalan jururawat tersebut adalah adakah satu kewajipan untuk mengebumikannya ataupun dibenarkan untuk diberi kepada pihak ketiga.

Dijawab oleh Sheikh `Abd al-Rahmân al-Jar`î, Professor di Universiti King Khâlid, Abhâ

Uri bayi adalah sebahagian dari badan wanita. Ia sepatutnya dikebumikan (diuruskan) sebagaimana bahagian badan lain yang dikebumikan apabila ia telah dipotong.

Ia tidak boleh digunakan untuk tujuan kosmetik oleh syarikat atau sesiapa sahaja.

Walaubagaimanapun, ia boleh didermakan untuk kegunaan terdesak kepada orang lain jika terdapat keperluan perubatan untuk rawatan.

Dan ALLAH mengetahui yang terbaik.

Sumber : Arkib Fatwa, http://islamtoday.com

Solat Dalam Keadaan Hadas Kerana Uzur

Soalan: Apakah hukum jika sesuatu keluar dari qubul dan dubur? Bagaimana jika seseorang mengeluarkan angin dari duburnya, walaupun dia telah mengambil wuduk lebih dari lima kali? Bagaimana pula jika dia terus melakukan solat itu. Adakah dikira darurat?

Jawapan:

Pertama, masalah sesuatu yang keluar dari qubul dan dubur terlalu banyak seperti air mani, air mazi, air wadi, air kencing, tahi, darah haid, darah istihadoh dan darah nifas. Kesemua perkara berikut berbeza hukumnya. Umpamanya, jika air mani keluar seseorang wajib mandi junub. Jika air kencing pula dia wajib membasuhnya.

Kedua, mengeluarkan angin dengan sengaja tanpa keuzuran jelas membatalkan wuduk. Namun, jika penyakit berlanjutan seperti kembung sekali sekala tidak mengapa. Dalam hal ini, seseorang perlu berwuduk setiap kali ingin menunaikan solat. Tidak perlu menghiraukan kentut yang keluar.

Ketiga, sah solat orang yang bernyakit seperti wanita yang mengalami darah penyakit (istihadoh). Begitu juga dengan lelaki yang mengalami kencing tidak lawas (dedas) dan sebagainya. Walahu a’lam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Mengawal Kelahiran

Soalan : Adakah mengawal kelahiran diizinkan dalam Islam

Dijawab oleh Sheikh `Abd al-Wahhâb al-Turayrî, mantan Professor di Universiti al-Imâm, Riyadh

Penggunaan ubat-ubatan atau apa sahaja bentuk kawalan kelahiran yang akan mencegah kehamilan secara kekal (pemandulan) adalah tidak dibenarkan melainkan si ibu tenat atau berada dalam situasi di mana doktor memutuskan bahawa kehamilan boleh membahayakannya. Dalam kes sebegini, seorang wanita boleh mengambil langkah kekal untuk mengelak kehamilan. Ianya merujuk kepada pemandulan kekal ataupun kaedah lain.

Mengawal kelahiran diizinkan untuk semua wanita dalam bentuk merancang waktu kehamilan patut berlaku. Ia boleh dipraktikkan, apabila dan selama mana ia diperlukan bagi wanita untuk menangguh dari kehamilan. Sebarang bentuk kawalan kelahiran boleh diamalkan walaupun tanpa keperluan perubatan/kesihatan, selagi mana ia tidak menyebabkan kemandulan berterusan.

Prinsip umum dalam hal ini adalah dibenarkan melainkan apabila ada bukti khusus yang menyatakan sebaliknya. Tambahan pula, sebahagian Sahabat mengamalkan al-`Azl (menarik alat sulit supaya mani terpancut di luar rahim) semasa zaman Nabi s.a.w. dan Baginda tidak melarang mereka berbuat demikian.

Dan ALLAH mengetahui yang terbaik.

Sumber: dialihbahasa dari Arkib Fatwa, http://islamtoday.com

Bedah Siasat atau Autopsi Jenazah

Soalan : Apakah hukum melaksanakan kaedah autopsy/bedah siasat ke atas mayat dan berikan dalil yang mengesahkan pernyataan tersebut..

Jawapan :

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah memutuskan;

“Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (dharurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si mati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan mengenai hukum bedah siasat mayat yang kematian bukan dikategorikan kes jenayah telah memutuskan;

“Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan dharurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan.”

Jenis-jenis Bedah Siasat Mayat

i. Bedah siasat Clinical

Bedah siasat mayat dijalankan bagi mengesahkan punca kematian, kesan sesuatu penyakit atau kecederaan serta bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan. Kes-kes kematian ini tidak berkait dengan kes Polis seperti kes penyakit mudah berjangkit atau kematian di wad. Pegawai Perubatan Kerajaan perlu mendapat keizinan dari waris sebelum membuat bedah siasat. Dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan umum seperti kes di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), bedah siasat mayat dibolehkan tanpa perlu merujuk atau mendapat keizinan waris.

ii. Bedah siasat Medicolegal

Bedah siasat ke atas mayat yang dikaitkan dengan kes Polis seperti kemalangan, mati lemas, kebakaran, pembunuhan dan kematian yang disyaki/tidak pasti sebabnya. Majistret atau Polis akan mengeluarkan arahan (Borang Pol. 61) kepada Pegawai Perubatan Kerajaan untuk menjalankan bedah siasat mayat tanpa perlu merujuk atau mendapat keizinan waris.

Keperluan Bedah Siasat Mayat

i. Bedah siasat mayat dilakukan kerana ia keperluan undang-undang untuk membuktikan kebenaran dan menegakkan keadilan bagi si mati dan waris.

ii. Bedah siasat mayat dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini yang timbul di masa hadapan setelah mayat dikebumikan.

iii. Hasil bedah siasat mayat dapat digunakan bagi menyelamatkan dan melindungi orang ramai daripada penyakit berjangkit yang berbahaya pada masa akan datang.

iv. Bedah siasat mayat dapat menambah ilmu dan ke-pakaran dalam m bidang perubatan.

v. Kajian daripada hasil bedah siasat mayat dapat meningkatkan tahap kesihatan dan keharmonian hidup masyarakat.

Kematian yang perlu bedah siasat

Selain bedah siasat mayat yang dibenarkan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, terdapat juga kematian yang perlu kepada bedah siasat mengikut peruntukan undang-undang dan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia yang selaras dengan kehendak syarak (dharuriyyat dan hajiyat)

ETIKA BEDAH SIASAT MAYAT MENURUT ISLAM

Kaedah melakukan bedah siasat mayat bukanlah sesuatu yang mutlak. Individu atau kumpulan yang terlibat dalam urusan bedah siasat mayat perlu memenuhi etika yang digariskan oleh syarak antaranya;

1. Menghormati, menjaga hak dan kemuliaan mayat sebagai manusia

Semua Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang terlibat dalam proses bedah siasat hendaklah menghormati mayat seperti manusia yang masih hidup.Islam menyuruh orang yang masih hidup supaya menjaga kemuliaan, hak-hak dan kehormatan orang yang telah mati sepertimana orang hidup tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Islam melarang seseorang menganiayai seseorang yang lain sama ada pada diri, maruah dan harta mereka. Firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Israa‘ ayat 70 yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

2. Menyegerakan urusan bedah siasat mayat

Urusan bedah siasat mayat hendaklah dijalankan dengan segera supaya selaras mengikut kehendak syarak yang mewajibkan mayat diuruskan dengan segera, sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Segeralah penyelesaian pengurusan jenazah kerana kalau ia jenazah orang soleh maka bererti kamu menyegerakan kepada kebaikan dan apabila sebaliknya (mayat yang tidak soleh) maka bererti kamu telah melepaskan kejahatan dari bahumu”. (Riwayat Muslim)

3. Kebenaran Waris

i. Bagi kes-kes bedah siasat clinical, Pegawai Perubatan Kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada waris untuk melakukan bedah siasat.

ii. Bagi kes-kes bedah siasat medicolegal kebenaran dari waris tidak diperlukan untuk melakukan bedah siasat.

4. Melakukan bedah siasat dengan cermat (tidak kasar)

Pembedahan hendaklah dilakukan dengan cara cermat supaya tidak merosakkan kehormatan dan kemuliaan mayat. Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

Dari Aisyah r.a. Raslululllah s.a.w. bersabda; “Memecahkan/mematahkan tulang mayat sama seperti memecahkannya/mematahkannya sewaktu hidupnya”. (Riwayat Abu Daud)

5. Melakukan bedah siasat mayat setakat yang diperlukan sahaja

Bedah siasat mayat yang dilakukan tidak boleh melampaui batas atau had rukhsah yang dibenarkan kerana mengambil kira hukum asal menyakiti mayat adalah haram. Oleh itu, bedah siasat mayat boleh dilakukan ke atas mana-mana anggota mayat yang diyakini boleh membantu mencapai matlamat pembedahan dan mengenalpasti sebab-sebab kematian. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiyyah iaitu ‘perkara dharurat adalah dikira mengikut kadarnya.

Sumber : disunting dari soal Jawab Agama JAKIM, http://baheis.islam.gov.my, Nombor Rujukan – PANEL SJAI 160608

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 82 other followers