Derma Darah

Diantara hal paling utama yang diberikan oleh keluarga atau sahabat kepada si sakit ialah mendermakan darah untuknya bila diperlukan ketika ia menjalani pembedahan, atau untuk membantu dan mengganti darah yang dikeluarkannya.

Ini merupakan pengorbanan yang paling besar dan sedekah yang paling utama, sebab memberikan darah pada saat seperti itu kedudukannya sama dengan menyelamatkan hidupnya, dan Al-Qur’an telah menetapkan dalam menjelaskan nilai jiwa manusia:

مِنْ أَجْلِ ذَلِكَ كَتَبْنَا عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا

“… bahawa barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya …” (al-Ma’idah: 32)

Apabila bersedekah dengan harta memiliki kedudukan yang demikian tinggi dalam agama dan mendapat pahala yang demikian besar di sisi ALLAH (sehingga Allah Ta’ala menerimanya dengan tangan kanan-NYA dan melipatgandakannya hingga tujuh ratus kali ganda, bahkan entah sampai berapa kali ganda menurut yang dikehendaki ALLAH), maka mendermakan darah lebih tinggi kedudukannya dan lebih besar lagi pahalanya. Kerana orang yang mendermakan darah menjadi sebab kehidupan, dan darah juga merupakan sebahagian dari manusia, sedangkan manusia jauh lebih mahal daripada harta. Selain itu, orang yang mendermakan darahnya seakan-akan menyumbangkan sebahagian material jasadnya kepada saudaranya kerana cinta dan kerana mengalah.

Disisi lain, bentuk amal soleh yang memiliki nilai lebih tinggi lagi dari nilai tersebut ialah memberi pertolongan kepada orang yang memerlukan pertolongan dan menghilangkan kesusahan orang yang dilanda kesusahan. Ini merupakan kelebihan lain yang menambah pahala di sisi ALLAH Ta’ala. Dalam suatu hadis RasuluLLAH saw. bersabda:

            “Sesungguhnya Allah mencintai perbuatan memberi pertolongan kepada orang yang memerlukan pertolongan.” (HR Abu Ya la, ad-Dailami, dan Ibnu Asakir dari Anas)”[1]

Di dalam kitab sahih juga diriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:

            “Barangsiapa yang menghilangkan dari seorang Muslim suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, maka ALLAH akan menghilangkan dari orang itu suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan pada hari kiamat.” (HR Bukhari dan Muslim dari hadis Ibnu Umar)”[2]

Bahkan terdapat hadis sahih dari RasuluLLAH s.a.w. bahawa menolong binatang yang memerlukan makanan atau minuman itu juga mendapat pahala yang besar di sisi Allah, sebagaimana disebutkan dalam hadis yang menceritakan tentang seorang yang memberi minum anjing yang sedang kehausan. Anjing itu didapati menjulurkan lidahnya menjilati tanah kerana sangat haus, maka orang itu mengambil air dari telaga dengan kasutunya dan digigitnya kasut itu dengan giginya kemudian diberi minum kepada anjing tersebut hingga puas. Nabi s.a.w. bersabda, “Maka ALLAH berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya.” Lalu para sahabat bertanya kehairanan, “Wahai Rasulullah, apakah kami mendapatkan pahala dalam menolong binatang?” Beliau menjawab:

            “Benar, (berbuat baik) kepada tiap-tiap (sesuatu yang memiliki) jantung yang basah (makhluk hidup) itu berpahala.” (HR Muttafaq ‘alaih dari Abu Hurairah)”[3]

Nampaknya para sahabat beranggapan bahawa berbuat baik kepada makhluk (binatang) ini tidak mendapat pahala di sisi ALLAH dan bahawa ad-Din tidak memperhatikannya. Maka RasuluLLAH s.a.w. menjelaskan kepada mereka bahawa berbuat baik kepada makhluk hidup yang mana pun akan mendapat pahala, meskipun berupa binatang seperti anjing. Maka bagaimana lagi berbuat baik kepada manusia? Apatah lagi terhadap manusia yang beriman?

Mendermakan darah itu menberikan pahala yang besar secara umum, dan bersedekah kepada kerabat akan digandakan pahalanya secara khusus, kerana yang demikian itu akan memperkuat hubungan kekerabatan dan mengukuhkan jalinan kekeluargaan. Dalam hal ini RasuluLLAH s.a.w. bersabda;

            “Bersedekah kepada orang miskin itu mendapat pahala satu sedekah; sedangkan kepada keluarga itu mendapatkan dua pahala, iaitu pahala sedekah dan pahala menyambung kekeluargaan.” (HR Ahmad, Tirmidzi, Nasa’i, Ibnu Majah, dan Hakim dari Salman bin Amir)”[4]

Pahala menyumbangkan darah ini lebih berlipat ganda apabila pada asalnya hubungan antara penyumbang dan pesakit tidak harmoni, mengikut pujukan Syaitan yang menyalakan api permusuhan dan pertentangan di antara mereka. Apabila salah seorang dari mereka berhasil mengalahkan nafsu dan Syaitannya, lalu menyingkirkan dan membuang sikap yang tercela menurut pandangan ALLAH dan pandangan manusia ini, lantas ia menyumbangkan harta atau darahnya kepada kerabat yang memerlukannya (yang sebelumnya bermusuhan dengannya), maka tindakan demikian dinilai oleh RasuluLLAH s.a.w. sebagai sedekah yang paling utama bila dinisbatkan kepada siapa yang diberi sedekah. Beliau bersabda:

            “Sedekah yang paling utama ialah kepada keluarga yang memusuhi (al-kaasyih).” (HR Ahmad dan Thabrani dari Abi Ayyub dan Hakim bin Hizam)”[5]

Yang dimaksud dengan dzir-rahmi al-kaasyih (keluarga yang memusuhi) ialah yang menyembunyikan rasa permusuhan dalam hati, tidak terang-terangan, dan tidak cinta kepada kerabatnya.

______________________________________

Nota kaki:

1. Faidhul-Qadar, juz 2, hlm. 287.

2. Al-Lu’lu’ wa-Marjan, hadis nombor 1667.

3. Al-Lu’lu’ wa-Marjan, hadis nombor 1447.

4. Dihasankan oleh Tirmidzi, disahkan oleh Hakim, dan disetujui oleh Dzahabi, sebagaimana diterangkan dalam Faidhul-Qadir, karya Imam Munawi, juz 4, hlm. 237.

5. Diriwayatkan juga oleh Abu Daud, Tirmidzi, dan Bukhari dalam al-Adabul-Mufrad dari Abi Sa’id, dan diriwayatkan oleh Thabrani dan Hakim dari Ummu Kultsum bind ‘Uqbah, serta disahkan oleh Hakim menurut syarat Muslim dan disetujui Dzahabi (Faidhul-Qadir, juz 2, hlm. 38).

Sumber: disunting & dialihbahasa dari Fatawa Mua’sirah Mua’sirah oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: