Gugurkan Bayi Kerana Sakit & Cacat

Soalan : Adakah dibenarkan untuk menggugurkan bayi atas perkiraan dia mengalami penyakit genetik atau pun cacat kekal apabila lahir? Bagaimanakah hal ini boleh ditentukan?

Dijawab oleh Sheikh `Abd al-Rahmân al-Jar`î, Professor di King Khâlid University, Abhâ

Jika ia sudah disahkan oleh sepasukan doktor yang pakar dengan bersandarkan asas keputusan ujian makmal dan klinikal bahawa janin (fetus) itu tidak normal, terjejas teruk, tidak dapat dirawat, dan andainya dia lahir diyakini dia akan menderita sepanjang hidup dan juga menyebabkan kesulitan kepada keluarganya, maka bayi itu boleh digugurkan sebelum berumur empat bulan (120 hari).

Ianya terletak kepada tanggungjawab bagi mereka yang berhak seperti doktor dan ibu bapanya untuk menentukan hal tersebut.

Ini adalah kesimpulan dari fatwa yang dikeluarkan oleh Komiti Perundangan Islam, Liga Muslim Sedunia dalam perjumpaan sesi ke-12 pada 15 Rejab 1410 H, oleh pandangan pendapat majoriti.

Dan ALLAH mengetahui yang terbaik.

Sumber: dialihbahasa dari Arkib Fatwa, http://islamtoday.com

Pembedahan Pembesaran Payudara

Soalan : Saya ada soalan berkenaan pembedahan kosmetik. Ketika kecil, saya ada masalah kesihatan yang menyebabkan ketidakseimbangan hormon. Hasilnya, payudara saya tidak membesar. Semua kakak dan sepupu saya mempunyai payudara yang normal, tapi saya cuma mempunyai payudara seperti budak kecil, bukannya seorang wanita. Jika saya tiada masalah kesihatan ini, payudara saya sepatutnya normal. Adakah dibenarkan untuk saya menjalani pembedahan kosmetik untuk membaiki bentuk dan saiz payudara saya supaya kelihatan normal? Perlu dinyatakan bahawa saya tidak merasa seperti seorang wanita kerana payudara saya dan ia menyebabkan tekanan emosi.

Dijawab oleh Sheikh `Abd al-Rahmân al-Jar`î, Professor di King Khâlid University, Abhâ

Jika payudara seorang wanita bukan semulajadi menjadi kecil dan tidak normal saiznya, kerana ketidakseimbangan hormon, dia boleh menjalani pembedahan kosmetik untuk membesarkan payudara selagi mana pembedahan itu tidak terdedah kepada bahaya demi kesihatannya. Hal ini perlu dipastikan dengan pakar perubatan yang berwibawa sebelum dia membuat sebarang keputusan.

Pembedahan sebegitu hanya diizinkan jika ia dilakukan sebagai rawatan perubatan untuk memulihkan keadaan kesihatan dan mengembalikan payudara kepada saiz asalnya.

Pembesaran payudara tidak harus dilakukan untuk meningkatkan kecantikan semata-mata apatah lagi ia mengubah ciptaan ALLAH lantaran mengikut tanggapan jahil tentang kecantikan.

Dalam hal ini, ia pastinya tidak diizinkan oleh ALLAH. ALLAH berfirman:

 لَّعَنَهُ اللّهُ وَقَالَ لَأَتَّخِذَنَّ مِنْ عِبَادِكَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا (118)

وَلأُضِلَّنَّهُمْ وَلأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الأَنْعَامِ وَلآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللّهِ وَمَن يَتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللّهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا (119) سورة النساء

“Yang dilaknati ALLAH dan syaitan itu mengatakan: “Aku benar-benar akan mengambil dari hamba-hamba ENGKAU bahagian yang sudah ditentukan (untuk aku).  Dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka (mengubah ciptaan ALLAH), lalu benar-benar mereka mengubahnya”. Barangsiapa yang menjadikan syaitan pelindung selain ALLAH, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.”

[Sûrah al-Nisâ’: 118-119]

Barangsiapa yang terlibat dalam pembedahan kosmetik untuk tujuan kecantikan semata-mata juga tergolong dalam celaan sebagaimana hadith riwayat Ibn Mas`ud r.a. di mana dia mendengar Rasul ALLAH s.a.w. mencela perempuan yang mencabut bulu kening dan sesiapa yang menjarakkan gigi atas alasan mengejar kecantikan. Merekalah yang mengubah ciptaan ALLAH.

[Hadith riwayat al-Bukhârî & Muslim]

Dan ALLAH mengetahui yang terbaik.

Sumber: dialihbahasa dari Arkib Fatwa,  http://islamtoday.com

Memutihkan Gigi

Soalan : Adakah diizinkan berjumpa doktor gigi untuk memutihkan gigi, dengan makna doktor gigi tersebut menggunakan bahan kimia untuk menjadikan gigi putih kembali selepas ianya bertukar warna kerana lalai menjaganya? Adakah ianya dikira mengubah ciptaan ALLAH?

Dijawab oleh Sheikh Husayn al-Jabûrî, Professor di Universiti Umm al-Qurâ

Adalah diizinkan untuk berjumpa doktor gigi untuk memutihkan gigi. Ini bukanlah satu perbuatan mengubah ciptaan ALLAH. Kamu hanya mengembalikan gigi kamu kepada keadaannya yang asal dengan menghilangkan kotoran asing yang terdapat padanya.

Dan ALLAH mengetahui yang terbaik.

Sumber: dialihbahasa dari Arkib Fatwa,  http://islamtoday.com

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 83 other followers