Status Darah Sebelum Bersalin

Soalan : Jika seorang wanita sudah hampir bersalin, lalu terkeluar darah sebelum bersalin. Bolehkah ustaz jelaskan apakah jenis darah yang keluar itu, adakah ia darah haid atau nifas? Saya keliru kerana sudah tentu jenis darah akan berikan hukum berbeza. Terima kasih uztaz.

Dijawab oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Ulama berbeza pendapat dalam menentukan jenis darah yang keluar itu, seperti berikut :-

Mazhab Hanafi & Hanbali : Ia adalah darah istihadah. Justeru solat masih wajib.

Sebahagian ulama Hanbali : Ia adalah darah nifas jika keluar sehari atau dua hari sebelum melahirkan anak. Jika demikian bermakna, tidak lagi wajib puasa (jika pada bulan Ramadhan) dan solat.

Mazhab Syafie : Ia adalah darah haid dari sudut tidak perlu solat, puasa dan haram untuk digauli suaminya.

Mazhab Maliki : Ia adalah darah haid jika keluar pada bulan pertama dan kedua mengandung, namun jika keluar darah itu pada bulan ketiga, keempat dan kelima serta berterusan lebih dari 20 hari, jelaslah ia darah istihadah.

Bagi penduduk Malaysia yang bermazhab Syafie, bolehlah bertaqlid dengan pendapat mazhab Syafie dalam hal ini. Iaitu ia darah haid. Pendapat mazhab Syafie ini boleh dirujuk dari kata-kata Imam An-nawawi di dalam kitabnya :-

فإذا رأت الحامل دما يصلح أن يكون حيضا فقولان مشهوران قال صاحب الحاوي والمتولي والبغوي وغيرهم : الجديد أنه حيض , والقديم : ليس بحيض , واتفق الأصحاب على أن الصحيح أنه حيض

Ertinya : “Apabila seorang wanita yang sedang hamil melihat darah (keluar), yang sesuai untuk dihukum sebagai darah haid maka terdapat dua pendapat yang masyhur (dalam mazhab Syafie), berkata pengarang kitab Al-Hawi (Al-Mawardi), Al-Mutawalli dan Imam Al-Baghawi dan lain-lain :

“Pendapat Syafie yang baru adalah ia Haid, pendapat Syafie yang lama, ia bukan haid. Telah sepakat ulama Syafie pendapat yang paling sohih ia adalah DARAH HAID” ( Al-Majmu’, 1/412)

Sekian,

Sumber : Zaharuddin Abd Rahman, http://www.zaharuddin.net/, 1 Mei 2008

Berlatih Mengambil Darah Guna Pesakit

Soalan : Seorang doktor perlu belajar mengambil darah (melalui jarum) dari pesakit. Untuk mahir, dia perlu banyak berlatih. Sebahagian pesakit kadang-kadang berada dalam koma penuh yang kronik dan sakit mereka tiada harapan sembuh. Adakah kami berdosa jika kami berlatih dengan mengambil sedikit darah mereka yang langsung tidak membahayakan mereka, malah memberi manfaat kepada kami? Apakah ini dikira sebagai keperluan?

Jawapan:

Segala puji bagi ALLAH.

Adalah tidak dibenarkan untuk mengambil darah dari pesakit untuk tujuan belajar dan berlatih, walaupun pesakit tersebut tiada harapan sembuh, kerana ini akan membahayakan dan menyalahi mereka. Tapi jika pesakit waras dan sedar (compos mentis) dan memberi kebenaran untuk di ambil darahnya untuk kepentingan orang lain, maka tiada masalah berbuat demikian selagi mana tiada mudarat ke atasnya.

Sumber : Lajnah Tetap bagi Penyelidikan Ilmiah & Fatwa (70/25), http://www.islamqa.com