Derma Organ Orang Meninggal Dunia

Soalan : Assalamualaikum… Apakah hukumnya kita mendermakan organ kepada orang lain? Adakah itu dibenarkan dalam Islam?.

Jawapan :

Menurut keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, menderma organ (seperti pemindahan mata dan jantung orang yang telah meninggal dunia) kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambilkira:

  1. Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.
  2. Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.
  3. Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggotanya.
  4. Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya di dalam kematian akibat kemalangan.

Sumber : disunting dari soal Jawab Agama JAKIM, http://baheis.islam.gov.my, Nombor Rujukan – Panel(fs)051007

Doktor Merawat Pesakit Berlainan Jantina

Soalan : Apakah hukum rawatan lelaki terhadap wanita dan sebaliknya mengikut 4 mazhab utama.

Jawapan :

Rawatan lelaki terhadap wanita dan sebaliknya adalah diharuskan tertakluk kepada beberapa syarat berikut:

i. Tidak ada perawat di kalangan sejenis.

ii. Merawat di tempat yang perlu dan berkaitan sahaja serta menutup anggota-anggota yang lain.

iii. Ditemani oleh mahram atau orang yang thiqah (yang amanah)

iv. Kepakaran hanya dimiliki oleh perawat itu sahaja.

v. Perawat mestilah seorang yang amanah dan bertanggung jawab.

Sumber : disunting dari soal Jawab Agama JAKIM, http://baheis.islam.gov.my, Nombor Rujukan – PANEL 100407