Pemindahan Jantung Dan Mata

Pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambilkira:

a)Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.

b)Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.

c)Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya.

d)Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya didalam kematian akibat kemalangan.

Sumber : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Pertama

Khatan Bagi Pesakit Heamophilia Dan Kanak-kanak Cacat Akal

i. Pesakit heamophilia tidak diwajibkan berkhatan kerana proses khatan boleh membawa mudharat kepada pesakit. Walau bagaimanapun, aspek taharah bagi pesakit heamophilia perlu dipelajari dan diberi perhatian khusus oleh pesakit berkenaan untuk memastikan kesempurnaan bersuci dan kesahihan ibadah.

 ii. Bagi kanak-kanak yang cacat akal, kewajipan berkhatan adalah bergantung kepada tahap kecacatan otak yang dialaminya. Gugur semua kewajipan melaksanakan ibadat termasuk berkhatan ke atas kanak-kanak yang mengalami kecacatan otak yang teruk. Ahli keluarga kanak-kanak berkenaan perlu memastikan kebersihan anggota kanak-kanak tersebut dijaga dengan baik.

Sumber : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-77, JAKIM