Bedah Siasat atau Autopsi Jenazah

Soalan : Apakah hukum melaksanakan kaedah autopsy/bedah siasat ke atas mayat dan berikan dalil yang mengesahkan pernyataan tersebut..

Jawapan :

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah memutuskan;

“Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (dharurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si mati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan mengenai hukum bedah siasat mayat yang kematian bukan dikategorikan kes jenayah telah memutuskan;

“Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan dharurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan.”

Jenis-jenis Bedah Siasat Mayat

i. Bedah siasat Clinical

Bedah siasat mayat dijalankan bagi mengesahkan punca kematian, kesan sesuatu penyakit atau kecederaan serta bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan. Kes-kes kematian ini tidak berkait dengan kes Polis seperti kes penyakit mudah berjangkit atau kematian di wad. Pegawai Perubatan Kerajaan perlu mendapat keizinan dari waris sebelum membuat bedah siasat. Dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan umum seperti kes di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), bedah siasat mayat dibolehkan tanpa perlu merujuk atau mendapat keizinan waris.

ii. Bedah siasat Medicolegal

Bedah siasat ke atas mayat yang dikaitkan dengan kes Polis seperti kemalangan, mati lemas, kebakaran, pembunuhan dan kematian yang disyaki/tidak pasti sebabnya. Majistret atau Polis akan mengeluarkan arahan (Borang Pol. 61) kepada Pegawai Perubatan Kerajaan untuk menjalankan bedah siasat mayat tanpa perlu merujuk atau mendapat keizinan waris.

Keperluan Bedah Siasat Mayat

i. Bedah siasat mayat dilakukan kerana ia keperluan undang-undang untuk membuktikan kebenaran dan menegakkan keadilan bagi si mati dan waris.

ii. Bedah siasat mayat dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini yang timbul di masa hadapan setelah mayat dikebumikan.

iii. Hasil bedah siasat mayat dapat digunakan bagi menyelamatkan dan melindungi orang ramai daripada penyakit berjangkit yang berbahaya pada masa akan datang.

iv. Bedah siasat mayat dapat menambah ilmu dan ke-pakaran dalam m bidang perubatan.

v. Kajian daripada hasil bedah siasat mayat dapat meningkatkan tahap kesihatan dan keharmonian hidup masyarakat.

Kematian yang perlu bedah siasat

Selain bedah siasat mayat yang dibenarkan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, terdapat juga kematian yang perlu kepada bedah siasat mengikut peruntukan undang-undang dan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia yang selaras dengan kehendak syarak (dharuriyyat dan hajiyat)

ETIKA BEDAH SIASAT MAYAT MENURUT ISLAM

Kaedah melakukan bedah siasat mayat bukanlah sesuatu yang mutlak. Individu atau kumpulan yang terlibat dalam urusan bedah siasat mayat perlu memenuhi etika yang digariskan oleh syarak antaranya;

1. Menghormati, menjaga hak dan kemuliaan mayat sebagai manusia

Semua Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang terlibat dalam proses bedah siasat hendaklah menghormati mayat seperti manusia yang masih hidup.Islam menyuruh orang yang masih hidup supaya menjaga kemuliaan, hak-hak dan kehormatan orang yang telah mati sepertimana orang hidup tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Islam melarang seseorang menganiayai seseorang yang lain sama ada pada diri, maruah dan harta mereka. Firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Israa‘ ayat 70 yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

2. Menyegerakan urusan bedah siasat mayat

Urusan bedah siasat mayat hendaklah dijalankan dengan segera supaya selaras mengikut kehendak syarak yang mewajibkan mayat diuruskan dengan segera, sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Segeralah penyelesaian pengurusan jenazah kerana kalau ia jenazah orang soleh maka bererti kamu menyegerakan kepada kebaikan dan apabila sebaliknya (mayat yang tidak soleh) maka bererti kamu telah melepaskan kejahatan dari bahumu”. (Riwayat Muslim)

3. Kebenaran Waris

i. Bagi kes-kes bedah siasat clinical, Pegawai Perubatan Kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada waris untuk melakukan bedah siasat.

ii. Bagi kes-kes bedah siasat medicolegal kebenaran dari waris tidak diperlukan untuk melakukan bedah siasat.

4. Melakukan bedah siasat dengan cermat (tidak kasar)

Pembedahan hendaklah dilakukan dengan cara cermat supaya tidak merosakkan kehormatan dan kemuliaan mayat. Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

Dari Aisyah r.a. Raslululllah s.a.w. bersabda; “Memecahkan/mematahkan tulang mayat sama seperti memecahkannya/mematahkannya sewaktu hidupnya”. (Riwayat Abu Daud)

5. Melakukan bedah siasat mayat setakat yang diperlukan sahaja

Bedah siasat mayat yang dilakukan tidak boleh melampaui batas atau had rukhsah yang dibenarkan kerana mengambil kira hukum asal menyakiti mayat adalah haram. Oleh itu, bedah siasat mayat boleh dilakukan ke atas mana-mana anggota mayat yang diyakini boleh membantu mencapai matlamat pembedahan dan mengenalpasti sebab-sebab kematian. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiyyah iaitu ‘perkara dharurat adalah dikira mengikut kadarnya.

Sumber : disunting dari soal Jawab Agama JAKIM, http://baheis.islam.gov.my, Nombor Rujukan – PANEL SJAI 160608

Dedah Aurat Ketika Bersalin

Soalan : Apakah hukum mendedahkan aurat diri kepada orang lelaki, contohnya semasa ibu yang ingin melahirkan anak sudah tentunya akan mendedahkan aurat. Malah ada doktor lelaki yang menyambut bayi tersebut. Apa pandangan Islam dalam hal tersebut?

Dijawap oleh Ustazah Sakinah

Jawapan : Dalam ilmu usul fiqh, terdapat satu prinsip yang disebut sebagai ‘perkara darurat mengharuskan perkara yang haram’. Para ulama sepakat bahawa harus bagi seorang doktor lelaki melihat bahagian anggota wanita yang sakit jika perlu berserta mengikut syarat yang ditetapkan oleh syariat. Begitu juga dengan aurat lelaki yang harus dilihat oleh doktor perempuan. Selain itu prinsip syarak juga menyebut bahawa ‘darurat itu diukur mengikut kadar keperluannya’.

Jadi, jika diharuskan melihat, membuka, menyentuh aurat dan sebagainya mengikut keperluan rawatan. Ia tidak dibolehkan dalam keadaan biasa. Hal ini dibolehkan dengan syarat tertentu, iaitu:

1. Mendahulukan rawatan lelaki dengan lelaki dan wanita dengan wanita, mendahulukan doktor muslimah, kemudian doktor wanita kafir, kemudian lelaki muslim kemudian barulah lelaki kafir.

2. Tidak melebihi tempat biasa yang perlu dibuka. Cukup dengan hanya mendedahkan tempat yang perlu sahaja.

3. Jika huraian pesakit sudah mencukupi, maka tidak perlu sentuh atau buka aurat.

4. Wanita hendaklah ditemani suami, mahram atau wanita lain yang berakhlak.

5. Doktor tersebut seorang yang amanah, tidak pernah didakwa dengan pelbagai perangai buruk.

Wallahu a’lam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Derma Tubuh Untuk Cadaver

Soalan : Apa hukumnya mendermakan seluruh tubuh untuk kajian sains? Contohnya cadaver untuk medical students?

Dijawab oleh Abul Harith,

Mendermakan tubuh badan untuk kajian sains atau cadaver adalah tidak dibenarkan Islam. Ini kerana jasad orang Islam adalah dimuliakan.

Hadith Ar-Rasul s.a.w. menyebut,

إِنَّ كَسْرَ عَظْمِ الْمُؤْمِنِ مَيْتًا مِثْلُ كَسْرِ عَظْمِهِ حَيًّا

“Mematahkan tulang mayat seperti mematahkannya dalam keadaan hidup.”

[Ad-Darqutniy/ 2986]

Manusia adalah khalifah ALLAH dimuka bumi, tidak seperti makhluk lain. Apatah lagi makhluk lain telah diciptakan ALLAH untuk dimanfaatkan oleh manusia.

Firman ALLAH,

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الأَرْضِ

“DIA yang telah menciptakan untuk kamu semua apa sahaja di bumi ini keseluruhannya”

-Al-Baqarah, 29-

Pelbagai makhluk lain seperti tupai dan tikus boleh digunakan untuk kajian perubatan demi manfaat Ummah manusia keseluruhannya.

Untuk kegunaan mayat sebagai cadaver pada zaman ini, bukanlah suatu yang mendesak. Lagipun kebanyakannya untuk pelajaran Anatomi. Sudah terdapat ilustrasi buku yang cantik dan replika tulang & tisu yang menyamai jasad sebenar. Ditambah lagi dengan perisian anatomi 3D yang boleh membantu pembelajaran.

Untuk kajian patologi pula, kebanyakan spesimen biasanya diambil dari biopsi tisu ataupun organ yang telah dibuang kerana penyakit, maka tiada halangan untuk mengkaji darinya.

WaLLAHu a’lam.

Vaksin Lemak Babi, Doa kepada Non Muslim & Euthanasia

Berita Harian, 13 Okt 2002

Oleh MONA AHMAD

KUALA LUMPUR: Penggunaan suntikan pelalian quadrivalent meningokokal (ACYW 135) diperbuat daripada lemak babi dibenarkan dalam Islam kerana ia sudah melalui proses transformasi yang menjadikannya bahan lain, kata Persatuan Perubatan Islam Malaysia.

Presidennya, Dr Musa Mohd Nordin, berkata menerusi kaedah itu, gelatin diperbuat daripada tulang, kulit dan tendon haiwan yang tidak suci dibenarkan, begitu juga sabun daripada lemak babi dan haiwan mati.

Transformasi mengikut Seminar Perubatan-Fiqh Kelapan pada 1995 bermaksud sesuatu proses yang membolehkan sesuatu objek itu diubah kepada bentuk lain termasuk dari segi sifat dan kandungan, menyucikan bahan terbabit melalui proses tertentu, sekali gus menukarkan sesuatu yang tidak dibenarkan oleh syariah kepada yang dibenarkan.

“Walaupun sesetengah vaksin ACYW 135 pada asalnya diperbuat daripada lemak babi, selepas melalui pelbagai proses, ia lahir sebagai bahan baru dan jelas penggunaannya dibenarkan dalam Islam.

“Vaksin ini diwajibkan ke atas jemaah haji dari seluruh dunia yang mengerjakan haji. Keputusan mengenai kebenaran menggunakan vaksin berasaskan lemak babi ini dibuat oleh kumpulan ulama fiqah terkenal dari seluruh dunia termasuk Yusuf Qardawi dalam Seminar Perubatan – Fiqh Kelapan pada 1995 di Kuwait,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Bertemu Pakar di Persidangan Kedua Pusat Perubatan Universiti Malaya: Perubatan Daripada Perspektif Islam, di sini semalam. Persidangan tiga hari bermula kelmarin disertai 450 pengamal perubatan itu, anjuran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Berhubung kebenaran berdoa untuk bukan Islam bagi menyembuhkan penyakit, pensyarah Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Fauzi Deraman berkata Islam tidak pernah melarang umatnya menggunakan ayat al-Quran untuk merawat penyakit tidak kira pesakit itu orang Islam atau tidak.

“Tidak timbul masalah sama ada Islam atau bukan, kerana dalam satu sudut orang yang bukan Islam itu juga adalah jiran. Dan menjadi tanggungjawab kita untuk melakukan kebaikan kepada jiran kita,” katanya.

Dr Omar pula berkata secara umum, umat Islam boleh mendoakan orang bukan Islam supaya mereka mendapat hidayah dan mengurangkan perbuatan jahat terhadap orang Islam.

“Setahu saya, tiada nas al-Quran atau hadis yang menyentuh mengenai doa orang Islam untuk orang bukan Islam bagi menyembuhkan penyakit. Bagaimanapun, al-Quran mempunyai kesan besar dalam penyembuhan penyakit.

“Di Amerika Syarikat sendiri, ada klinik yang dibuka oleh pengamal perubatan Islam dan ada juga pesakit mereka bukan beragama Islam,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Omar Hasan berkata, hukum syariah adalah anjal.

“Jika berlaku keadaan darurat, maka sesuatu yang haram itu boleh menjadi halal. Ini termasuk kegunaan vaksin daripada lemak babi, yang jelas perlu bagi mengelak serangan penyakit meningitis,” katanya.

Mengenai keraguan pakar bius untuk menghentikan penggunaan mesin hayat bagi pesakit mati otak, Dr Musa berkata mengikut amalan Islam, tiga pakar diperlukan bagi mengesahkan bahawa mesin itu tidak diperlukan selepas penilaian yang mendalam.

“Pelbagai ujian perlu dijalankan terlebih dulu termasuk elektro encephalograf (EEG), bagi memastikan mesin penggunaan hayat boleh dihentikan. Lazimnya, kebenaran waris juga diambil kira,” katanya.