Jarak Masa Persetubuhan

Soalan: Saya mempunyai perasaan seks yang agak kuat. Saya selalu terasa ingin mengadakan hubungan tersebut. Malangnya suami saya kurang memahami, dingin dan hambar. Dia selalu menjarak tempoh hubungan seks kami. Apakah hanya isteri yang wajib melayan kehendak suami, bagaimana dengan suami pula?


Jawapan: Para ulama memberikan berbagai pendapat tentang jarak waktu paling kurang bagi hubungan seks yang wajib dilakukan oleh seorang suami. Berbagai pendapat telah diberikan. Namun pendapat yang terbaik ialah apa yang nyatakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h ( wafat 728H) iaitu suami wajib menyutubuhi isteri dengan kadar keperluan seseorang isteri. Ini adalah pendapat yang tepat. Persetubuhan antara lain bertujuan memelihara kehendak nafsu agar tidak melakukan sesuatu yang menyanggahi syarak. Suami hendaklah sedar kewajipan ini. (sesiapa yang inginkan pendetilan masalah ini lihat al-Mufassal fi Ahkam al-Marah oleh ‘Abd al-Karim Zaidan).

Sumber : http://drmaza.com

Mengeluarkan Mani Di Luar Rahim

Soalan : Saya dan suami saya merancang keluarga dengan kaedah mengeluarkan air mani di luar rahim. Apakah ini tidak dianggap menolak kurniaan Allah, atau membunuh benih yang boleh menjadi anak?.


Jawapan: Perbuatan mengeluarkan air mani diluar rahim ketika melakukan persetubuhan dinamakan ‘azal. Ia biasanya dilakukan untuk mengelakkan dari mengandung. Hal ini berlaku sejak zaman Nabi s.a.w. Ini seperti kata seorang sahabah yang terkenal Jabir bin ‘Abd Allah: “Kami melakukan ‘azal pada zaman Nabi s.a.w. dan Al-Quran sedang turun” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maksud Jabir ialah mereka melakukan perkara tersebut pada zaman Nabi s.a.w dan penurunan al-Quran tetapi tidak mereka dilarang. Maka dengan ini mengeluarkan air mani diluar rahim adalah diharuskan. Namun oleh kerana wujudnya hadith Muslim yang menamakan ‘azal sebagai al-wa`d al-khafi iaitu membunuh anak secara senyap, maka kebanyakan ulama memakruhkan perbuatan ini.

Di samping itu, hadith yang lain riwayat Muslim juga menyatakan bahawa seseorang yang cuba melakukan ‘azal jika Allah kehendaki tetap akan mendapat anak. Ini mungkin kerana dia tidak dapat mengawal pancutan air mani sebelum dia mencabutnya.

Perlu diingatkan, oleh kerana perbuatan ini boleh menyebabkan isteri hilang kelazatan persetubuhan, atau tidak sampai kemuncak kelazatannya, maka suami yang ingin melakukannya hendaklah mendapat keizinan isteri. Ini kerana persetubuhan adalah hak bersama suami dan isteri. Inilah pendapat yang paling kuat kebanyakan ulama. Sehingga al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (wafat 463H) berkata: “Tiada khilaf di kalangan ulama bahawa tidak boleh dilakukan ‘azal dengan isteri yang merdeka melainkan setelah mendapat keizinannya. Ini kerana persetubuhan adalah daripada haknya” (rujukan: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 10/385, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut ).

Di samping perlu difahami, adapun hasrat mencegah kehamilan jika sebabkan bimbang kepapaan, atau kekurangan rezeki, atau kurang kemewahan adalah diharamkan kerana ianya menyamai perbuatan musyrikin dan tidak meyakini rezeki Allah. Jika disebabkan keadaan tertentu yang mendesak maka ianya diizinkan. Namun jika digunakan dicegah kehamilan secara berterusan tanpa sebab adalah diharamkan oleh para ulama. Ini jika dibiarkan akan mengurangkan jumlah umat Islam. Dinasihatkan agar kita memperbanyakkan zuriat, kerana ianya menambahkan kekuatan dan suara umat Islam dalam negara ini.

Sumber : http://drmaza.com