Panduan Ringkas Sepanjang Bulan Ramadhan

Perkara-perkara yang Membatalkan Puasa

1) Makan dan minum dengan sengaja. Jika terlupa atau tersalah atau dipaksa, tidak batal puasanya.

2) Muntah dengan sengaja, seperti menjolok jarinya ke tekak untuk mengeluarkan sesuatu. Jika termuntah, tidak batal puasanya.

3) Keluar haid atau nifas atau melahirkan anak, walaupun sebentar sebelum terbenam matahari.

4) Onani (mengeluarkan mani dengan sengaja) sama ada dengan tangannya, atau isterinya, atau orang lain, atau memeluk isterinya dengan syahwat. Jika keluar mani hanya kerana terpandang atau terfikir sesuatu yang mengghairahkan, maka hukumnya sama dengan mimpi basah di siang hari, i.e. tidak batal puasanya dan tidak wajib qadak. Begitu juga dengan keluar air mazi, tidak batal puasanya.

5) Memasukkan sesuatu ke dalam perut melalui rongga yang terbuka. Tidak batal memasukkan sesuatu ke dalam perut melalui rongga yg tertutup seperti mata (memakai celak atau menitik ubat pada mata) dan sebagainya. Tidak batal juga memasukkan sesuatu melalui rongga terbuka jika tidak sampai ke dalam perut, seperti mengorek hidung atau mengorek telinga atau menitik ubat telinga.

6) Berniat untuk berbuka puasa, walaupun tidak makan apa-apa.

7) Makan, minum atau berjimak kerana menyangka bahawa telah terbenam matahari (masuk waktu Maghrib), tetapi sebenarnya belum. Atau belum terbit matahari (masuk waktu Subuh), tetapi sebenarnya sudah. Ini adalah pandangan jumhur.

8) Berjimak dengan sengaja.

9) Murtad.

10) Gila, walaupun sebentar.

11) Makan atau minum ketika azan subuh dilaungkan. Ramai menyangka masih boleh makan dan minum ketika azan dilaungkan sehinggalah tamat azan. Ini adalah pandangan yang salah, kerana muazzin tidak disyariatkan untuk azan sehinggalah terbit fajar. Sesiapa yang meneruskan makan atau minum selepas muazzin mula melaungkan azan, maka batal puasanya dan wajib qadak.

 

Perkara-perkara yang TIDAK Membatalkan Puasa

1) Mandi atau membasahkan kepala untuk menyegarkan badan atau menghilangkan kepanasan dan dahaga. Jika tertelan air secara tidak sengaja, tidak batal puasanya.

2) Memakai celak, walaupun celak tersebut memasuki matanya, kerana mata bukan rongga terbuka yg menyampaikan bahan tersebut ke dalam perut.

3) Berkucupan sesama suami isteri, jika masih boleh mengawal diri daripada melakukan jimak.

4) Semua jenis suntikan, sama ada IV atau IM, kecuali Parenteral Nutrition (Fluid therapy)

5) Berbekam.

6) Berkumur-kumur dan memasukkan air melalui hidung ketika berwudhuk. Tetapi makruh jika dilakukan secara berlebih-lebihan.

7) Merasa makanan ketika memasak atau ketika ingin membeli makanan tersebut, selagi mana makanan tersebut tidak sampai ke halkum.

8) Menghidu bau-bauan.

9) Makan, minum atau berjimak pada malam hari sehinggalah terbit fajar (masuk waktu Subuh). Jika di dalam mulutnya terdapat makanan ketika azan subuh mula dilaungkan, wajib baginya mengeluarkan kembali makanan tersebut. Jika sengaja menelannya, maka batal puasanya. Begitu juga dengan jimak. Wajib berhenti ketika azan subuh mula dilaungkan. Jika dia menyambungnya, batal puasanya.

10) Bangun pagi dalam keadaan berjunub (hadas besar).

11) Menelan air liur yg bersih dan tidak bercapur dengan bahan lain, dengan syarat air liur tersebut masih berada di dalam kawasan tubuh badannya. Jika dikumpul di dalam bekas lalu diminumnya, batal puasanya.

12) Menggosok gigi. Harus melakukannya pada setiap waktu ketika berpuasa. Mengenai pendapat yang memakruhkan menggosok gigi selepas gelincir matahari, hadis tersebut sangatlah lemah (dhaif jiddan).

13) Tablet nitroglycerin dan yang seumpama dengannya yang diletakkan di bawah lidah (sublingual) . Biasanya digunakan untuk merawat sakit jantung.

14) Semua bentuk rawatan yang melibatkan kemasukan benda atau ubat ke dalam faraj seperti vaginal suppository, pencucian (doush), vaginoscope atau tangan doktor yang memeriksa pesakit (digital examination) .

15) Semua bentuk tiub atau bahan yang dimasukkan ke dalam badan melalui saluran kencing seperti urethroscope, barium, pencuci urethra.

16) Tampal gigi atau cuci gigi selagi mana tidak masuk ke dalam halkum (ditelan).

17) Pendermaan darah atau menerima darah.

18) Bantuan oksigen atau gas pelali (anesthetic gases).

19) Semua jenis krim atau minyak yang disapu pada kulit walaupun dibekalkan dengan bahan kimia yang terserap ke dalam kulit.

20) Ambil darah untuk ujian makmal.

21) Semua jenis salur yang dimasukan ke dalam salur darah untuk tujuan x-ray pada jantung atau mana-mana pada anggota badan (catheterization)

22) Laparoscope yang dimasukan ke dalam abdomen untuk tujuan pembedahan.

23) Semua jenis ubat kumur, seperti mouth-rinsing gargle, penyembur mulut selagi mana tidak masuk ke dalam halkum.

24) Uteroscope atau IUCD (pencegah hamil) yang dimasukan ke dalam rahim.

25) Sampel organ yang diambil dari badan seperti hati atau dari mana-mana anggota badan (biopsy).

26) Ubat asthma (inhaler).

27) Semua jenis ubat yang dimasukan melalui anus (dubur).

28) Pembedahan yang menggunakan pelali seluruh badan (general anesthesia) yang dijalankan pada siang hari setelah pesakit mula berpuasa sejak malam sebelum pembedahan.

29) Suntikan untuk merawat sakit buah pinggang melalui artificial kidney (dialysis) samada peritoneal atau hemodialysis

30) Memasukkan gastroscope ke dalam perut dengan syarat tiada sebarang cecair atau apa-apa bahan rawatan disalurkan.

Rujukan:

  • Fiqh As-Sunnah, Sayyid Sabiq
  • At-Taqriirat As-Sadiidah Fi Al-Masaili Al-Mufidah
  • Ibadah Pesakit Terbitan PERUBATAN Mesir

Sumber : via e-mail, Sdr. Mohd Effy Saiful Mohd Fathil, http://effysaiful.blogspot.com/

Keluar Air Mazi Ketika Puasa

Soalan : Adakah batal puasa seseorang itu, ketika waktu puasa terkeluar air mazi? Boleh nyatakan dengan teliti apa itu air mazi?

Jawapan :

Air mazi berbentuk cecair jernih yang keluar melalui kemaluan lelaki dan wanita ketika berkeinginan atau melihat perkara-perkara yang mengghairahkan. Ia najis dan membatalkan wuduk. Cara membersikannya ialah dengan merenjiskan air pada pakaian atau anggota yang terkena cecair itu.

Puasa juga tidak batal dan tidak perlu diganti. Tetapi seseorang hendaklah berusaha mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang boleh membangkitkan syahwat sama ada pada bulan puasa atau tidak. Wallahu alam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Membesarkan dan Memanjangkan Zakar

Assalamualaikum,

Ustaz, ana ada sedikit kemusykilan mengenai penggunaan ubat tradisional untuk memanjangkan/membesarkan saiz zakar lelaki yang semakin popular hari ini. Ada mengatakan hukumnya haram atas alasan mengubah ciptaan Allah s.w.t. Ada pula mengatakan tidak mengapa atas alasan kesihatan. Adakah alasan untuk menaikkan syahwat dibenarkan untuk membolehkannya? Bagaimana pula dengan penggunaan alatan-alatan seperti pump untuk tujuan yang sama? Mohon tunjuk ajar dan rujukan daripada pihak Fiqhmedic. Wassalam

Wassalam dan Syukran atas soalan.

Jawapan oleh Abul Harith:

Hukum membesarkan dan memanjangkan zakar, tertakluk kepada dua keadaan;

Ia menjadi HARAM apabila;

bertujuan ke arah melakukan zina & maksiat

membuat prosedur yang lebih memudaratkan diri sendiri

Sebaliknya, ia dikira HARUS apabila;

bertujuan mengekalkan keharmonian rumah tangga

bertujuan mendapatkan lebih ramai zuriat

Dalam hal ini, ia bergantung kepada niat individu tersebut. Ianya bergantung kepada tujuan samada baik ataupun buruk. Ia sama seperti hukum pembesaran payudara. Sila rujuk;

https://fiqhmedic.wordpress.com/2008/04/01/pembedahan-pembesaran-payudara/

Namun, mengikut sains perubatan, prosedur pembesaran dan pemanjangan zakar bukanlah satu keperluan atas alasan berikut;

  1. Panjang zakar adalah tetap (fix) pada setiap lelaki iaitu sekitar 5 inci (12-14 cm). Manakala panjang vagina kebanyakan wanita adalah maksimum adalah 4 inci (10 cm). Saiz kebanyakan zakar lelaki adalah memadai.
  2. Disebabkan panjang zakar yang tetap, apa sahaja prosedur sama ada pembedahan atau rawatan lain tidaklah menambah kepanjangan zakar.
  3. Pembedahan dilakukan dengan memotong ligament yang menggantung zakar (samada fundiform & suspensory ligament). Jadi zakar akan tertonjol keluar dan kelihatan lebih panjang.
  4. Implantation silikon boleh membesarkan & memanjangkan zakar, namun terdapat banyak mudarat yang lebih teruk.
  5. Rawatan ubatan tradisional pula dirisaukan mempunyai kandungan yang diragui dan memudaratkan, seperti mendatangkan komplikasi pada hati dan buah pinggang.
  6. Urutan mungkin berkesan untuk melancarkan saluran darah pada zakar, namun hendaklah dilakukan oleh doktor yang pakar. Urutan tradisonal dikhatiri akan merosakkan tisu, salur darah & urat saraf
  7. Penggunaan pump pula adalah untuk merawat mati pucuk (erectile dysfunction), bukannya untuk membesarkan zakar. Penggunaan melampau boleh menyebabkan zakar melecet dan tercedera

Sila rujuk : http://www.webmd.com/a-to-z-guides/penile-enlargement

Bagi mereka yang gemuk dan obese pula, boleh jadi 1/3 hingga ½ pangkal zakarnya dilindungi lemak yang berada di bahagian perut & pubic (pangkal zakar). Jadi senaman dan gaya hidup sihat boleh mengurangkan lemak & menonjolkan zakar kembali.

Berdasarkan kajian juga, kebanyakan individu yang merasakan zakarnya kecil adalah kerana perasaan inferior mereka dan faktor psikologi semata-mata. Begitu juga orang yang mendakwa berjaya membesarkan zakar, kebanyakannya tetap sama, cuma mereka mahu percaya zakar mereka telahpun panjang selepas makan ubat tertentu. Hal ini sama sahaja dengan placecbo effect.

Kesimpulannya, usahlah isu saiz zakar menjadi keresahan Muslim. Jumpalah doktor yang pakar jika ada masalah. ALLAH memerintahkan kita menjaga ‘amanah’ kemaluan yang diberi dengan sebaik-baiknya. Banyakkan pergantungan, ibadah dan doa kepada ALLAH demi menjaga keharmonian rumah tangga.

WaLLAHU a’lam.

Mendapat Anak Dengan Kaedah Persenyawaan Luar Rahim

Soalan : Sepasang suami isteri telah berusaha untuk mendapatkan anak, namun doktor memberitahu bahwa mereka tidak mampu. Doktor memberitahu mereka bahawa ada prosedur yang membolehkan mereka mendapat anak, tapi ia memerlukan doktor untuk mengeluarkan telur dari wanita (ovum) dan sperma dari lelaki, kemudian disenyawakan bersama di makmal. Kemudian doktor akan menempelkan telur yang disenyawakan ke dalam wanita tersebut. Apakah ini dibenarkan dalam Islam?

Dijawab oleh Sheikh Sulaymân al-`Îsâ, Professor di Universiti al-Imâm, Riyadh

Kaedah ini adalah dibenarkan dengan syarat tiada pihak lain yang terlibat dalam prosedur tersebut contohnya mengambil wanita lain untuk menjadi ibu tumpang dan mengandungkan bayi tersebut dalam rahimnya. Kaedah tersebut hanya perlu melibatkan sperma suami dan telur wanita (ovum), dan kandungan tidak boleh dikandung oleh wanita lain.

Sumber : Arkib Fatwa,http://islamtoday.com

Hukum Kahwin Khunsa

Hukum perkahwinan khunsa. Adakah sah, sama ada khunsa mengahwini lelaki atau perempuan?

Sebelum mereka dibenarkan berkahwin, jantina mereka hendaklah ditentukan terlebih berdasarkan fitrah (semulajadi) mereka yg hakiki. Pakar genetik dan perubatan hendaklah mengesahkan status mereka samada lelaki atau perempuan. Jika sudah pasti mereka dibenarkan menjalani rawatan hormon dan pembedahan jantina. Selepas alat kelamin itu berfungsi dengan baik, maka mereka boleh melansungkan perkahwinan seperti biasa. Inilah fatwa alAzhar, Syaikh Ali Jadul Haq.

Sumber : disunting dari http://soaljawab.wordpress.com