Derma Darah Kepada Non-Muslim

Apakah diizinkan dalam Islam untuk menderma darah kepada non-Muslim?

Berkenaan dengan soalan anda, kita perlu jelas bahawa Islam membawa seluruh kebaikan dan kebajikan kepada umat manusia. Muslim diperintahkan untuk menjaga hubungan baik dan bermurah hati kepada semua manusia. Oleh itu, seorang Muslim dibenarkan untuk menderma darah kepada non-Muslim.

Dalam responnya kepada soalan ini, Dr. Muzammil Siddiqi, Presiden Islamic Society of North America menyatakan;

Transfusi darah untuk tujuan perubatan diizinkan dalam Islam. Adalah dibenarkan untuk menerima darah dari non-Muslim dan dibenarkan juga memberi darah kepada non-Muslim. Hal-hal sebegini berkaitan dengan nyawa manusia.

Alasan yang diberi bahawa Islam mendidik kita untuk memberi makan kepada yang lapar, menjaga yang sakit dan menyelamatkan nyawa manusia. Dalam hal ini, tiada bezanya di antara nyawa seorang Muslim dan bukan Muslim.

Sumber : dialihbahasa dari Bank Fatwa, http://www.islamonline.net

Pemindahan Jantung Dan Mata

Pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambilkira:

a)Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.

b)Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.

c)Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya.

d)Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya didalam kematian akibat kemalangan.

Sumber : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Pertama

Derma Organ Orang Meninggal Dunia

Soalan : Assalamualaikum… Apakah hukumnya kita mendermakan organ kepada orang lain? Adakah itu dibenarkan dalam Islam?.

Jawapan :

Menurut keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, menderma organ (seperti pemindahan mata dan jantung orang yang telah meninggal dunia) kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambilkira:

  1. Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.
  2. Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.
  3. Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggotanya.
  4. Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya di dalam kematian akibat kemalangan.

Sumber : disunting dari soal Jawab Agama JAKIM, http://baheis.islam.gov.my, Nombor Rujukan – Panel(fs)051007

Derma Organ Kepada Non-Muslim

Adakah dibenarkan untuk seorang Muslim menderma organ kepada non-Muslim demi menyelamatkan nyawanya?

Islam membawa mesej universal dengan cinta, kasih sayang dan mengambil berat terhadap semua penghuni dunia ini. Oleh sebab itu, maka dibenarkan seorang Muslim untuk menderma organ kepada non-Muslim ketika mereka memerlukannya. Pastinya, keutamaan diberikan kepada penerima Muslim jika si penderma itu diberi pilihan.

Berikut adalah respon dari Sheikh Yusuf al-Qaradawi;

Menderma organ samalah seperti memberi sedekah dari sudut ianya dibenarkan kepada Muslim mahupun non-Muslim. Bagaimanapun, tidak dibenarkan menderma organ kepada tentera non-Muslim yang memerangi Muslim dan juga orang yang menganjurkan perang ke atas Islam. Begitu juga tidak dibenarkan menderma kepada seorang yang Murtad kerana dia tiada apa melainkan seorang pengkhianat kepada agama dan orang-orangnya.

Namun, jika terdapat Muslim dan non-Muslim yang kedua-duanya memerlukan derma organ atau darah, Muslim tersebut mestilah diberi keutamaan sebagaimana firman ALLAH s.w.t. di dalam al-Quran;

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain” (At-Taubah, 71)

Di sini kami ingin jelaskan bahawa seorang Muslim itu dikira memilih kesesatan dan berdosa jika dia menggunakan anugerah mulia (anggota badan) yang diberikan dengan mengingkari ALLAH dan memudaratkan saudaranya yang lain.

Begitu juga, jika tumpuan seseorang itu kepada saudara atau jirannya, dia telah mengambil keputusan yang mulia kerana ikatan kemanusiaan atau hubungan kejiranan. ALLAH berfirman;

وَأُوْلُواْ الأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَى بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللّهِ

“Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam Kitab ALLAH.” (Surah al-Anfal, 75)

Adalah amat terpuji bagi seorang yang dapat menderma organnya kepada orang tertentu, atau untuk pembangunan seperti bank yang khusus untuk tujuan tersebut (seperti bank darah dan bank tisu)

Sumber : dialihbahasa dari Bank Fatwa, http://www.islamonline.net

Derma Organ Untuk Bukan Islam

Mufti Perlis S. S. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata “Perbezaan agama bukan penghalang kepada umat Islam untuk menderma organ kepada orang bukan Islam kerana tidak timbul pertikaian dari segi hukum mengenai perkara tersebut”

Kenyataan ini beliau lontarkan ketika mengulas mengenai nasib penerima jantung teknikal, Tee Hui Yee, 14 semalam di dalam akhbar Utusan Malaysia.

Tee Hui Yee telah setahun menunggu untuk mendapatkan jantung yang baru, namun tempoh itu berlalu dalam keadaan masih tidak ada orang yang sanggup mendermakan jantung kepadanya.

Pengarah klinikal, Pemindahan Jantung dan Paru-Paru dan Program Jantung Mekanikal, Institut Jantng Negara (IJN), Dr. Mohd Ezani Taib berkata, pihaknya pernah menerima pertanyaan daripada orang ramai mengenai prosedur menderma organ.

“Tetapi penderma mahu hanya orang Islam menerima organnya kerana kononnya ia melibatkan soal hukum,” katanya.

Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri dalam kenyataannya menyebut : “dakwaan bahawa menderma organ kepada orang bukan Islam adalah sia-sia kerana tidak menjanjikan pahala adalah tidak benar sama sekali.”

“Surah Al-Baqarah ayat 272 antara lain membawa maksud pendermaan organ kepada bukan Islam tetap dijanjikan pahala kerana ia dilakukan atas dasar membantu mereka yang memerlukan dan untuk menyelamatnya nyawa,” Beliau menyambung : “jika bantuan diberikan kepada orang bukan Islam sudah tentu ia dapat memperbetulkan pelbagai salah tanggapan mengenai Islam selain menjadi satu strategi yang baik dalam usaha dakwah.”

Kenyataan ini bertepatan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh beberapa ulama mutaakhir seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Di dalam salah satu fatwanya al-Qaradhawi menyebut :

“Menderma sebahagian anggota badan adalah sama seperti bersedekah dengan harta, harus dikeluarkan kepada orang Muslim dan bukan Muslim.”

Sumber : http://drmaza.com/