Hukum Euthanasia

Soalan : Assalamualaikum, Saya ingin mengutarakan soalan mengenai euthanasia. Adakah ia haram dalam Islam ?.

Jawapan:

Menurut Panel Kajian Syariah JAKIM Bil.PKS 5/18/PKS/97 bertarikh 10 -11 Jun 1997, membuat keputusan mengenai pertanyaan di atas adalah seperti berikut:

i. Haram membunuh tanpa hak. Berusaha mempercepatkan kematian dengan memberhentikan rawatan atau mengambil ubat-ubatan (racun) adalah umpama membunuh diri. Membunuh diri bermakna melawan kehendak ALLAH dan merampas haknya.

ii. Tugas seorang mukmin (doktor) adalah menolong saudaranya (pesakit) di dalam perkara kebaikan. Membantu mempercepatkan kematian tidak termasuk dalam perkara kebaikan tetapi tergolong dalam perkara yang mendatangkan keburukan dan dosa.

iii. Harus bagi para doktor memberikan ubat penahan sakit kepada pesakit jika tiada pilihan lain sekalipun ia mempunyai kesan sampingan yang boleh mempercepatkan kematian..

Sumber : Soal Jawab Agama JAKIM, http://baheis.islam.gov.my, Nombor Rujukan – PANEL SJAI 011107

Wanita Bujang Menyusukan Anak Angkat

Soalan : Saya ingin mengetahui hukum apabila seorang yang belum berkahwin, mengambil anak angkat, memberikan susu dada kepada anak angkatnya dengan cara menelan pil untuk menghasilkan susu dada. Harap pihak JAKIM dapat menjawab dengan secepat yang mungkin. Terima kasih.

Jawapan;

Menurut Panel Kajian Syariah JAKIM 3/41/PKS/2002, Pada 14 – 15 Oktober 2002,Hukum menggunakan ubat atau suntikan untuk merangsang pengeluaran susu badan wanita adalah harus dengan syarat:

i. Seorang wanita tidak termasuk wanita yang dihasilkan melalui pertukaran jantina.
ii. Wanita yang telah baligh.

Berdasarkan kepada kenyataan di atas harus ibu angkat memberikan susu dada kepada anak angkatnya dengan cara menelan pil untuk menghasilkan susu.

Sumber : Soal Jawab Agama JAKIM, http://baheis.islam.gov.my, Nombor Rujukan – PANEL SJAI 050707

Pembedahan Mengikat Perut Untuk Menguruskan Badan

Soalan : Saya gadis berumur 23 tahun dan menderita lebih berat badan. Saya berhajat melakuan pembedahan untuk menjadikan perut saya lebih kecil dan mengubah laluannya terus kepada usus saya (gastrectomy). Ia pembedahan yang besar dan banyak kesan buruk seperti pembedahan lain. Soalan saya adalah, apakah mengubah laluan perut untuk mengelakkan makanan diserap oleh badan dikira mengubah ciptaan ALLAH ke atas saya? Adakah saya dibenarkan melakukan prosedur ini?

Jawapan :

Segala puji bagi ALLAH.

Adalah dibenarkan untuk melakukan pembedahan mengikat perut (menjadikannya kecil seperti meletak ikatan atau lekatan) atau mengurangkan saiznya dan menghubungkanya kepada usus kecil dengan alasan mengurangkan berat badan yang berlebihan. Ia tidak dikira mengubah ciptaan ALLAH, kerana ia perlu atas tujuan rawatan perubatan. Namun, ianya juga bergantung kepada keadaan di mana difikirkan tiada akibat buruk ataupun bahaya teruk disebabkan pembedahan itu. Seseorang perlu merujuk kepada doktor yang amanah dan dipercayai, kerana pembedahan sebegini mempunyai kesan sampingan.

Adalah lebih baik dan disyorkan untuk menggunakan method diet, dengan nasihat dari pakar. Jika ia tidak berhasil, maka anda boleh mengambil langkah mengikat perut atau mengubah haluan makanan selagi mana anda pasti bahawa prosedur tersebut bebas dari bahaya dan kesan sampingan yang negatif.

Dan ALLAH mengetahui yang terbaik.

Sumber : diterjemah dan disunting dari http://www.islamqa.com

Jururawat Memandikan & Melihat Aurat Pesakit Berlainan Jantina

Soalan : Adakah dibenarkan bagi jururawat perempuan di hospital untuk membasuh, mengelap mahupun memandikan pesakit lelaki dan melihat aurat mereka, apabila pesakit tersebut tidak mampu melakukannya sendiri?

Dijawab oleh Jawatankuasa Pendiri untuk Penyelidikan Akademik & Pengeluaran Fatwa

Adalah dibenarkan bagi jururawat perempuan untuk melihat aurat pesakit lelaki apabila terdapat keperluan, terutamanya jika tiada lelaki untu melakukan kerja tersebut. Sebagaimana firman ALLAH;

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَأَنفِقُوا خَيْرًا لِّأَنفُسِكُمْ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (16) سورة التغابن

Maka bertakwalah kamu kepada ALLAH menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatlah dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu. Dan barangsiapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, Maka mereka Itulah orang-orang yang beruntung.”

-At-Taghabun, 16-

Namun, jika ada lelaki yang mampu untuk melakukan tugasan tersebut, maka tidak dibenarkan untuk jururawat perempuan melakukannya.

Dan ALLAH sumber segala kekuatan. Selawat & Salam atas Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarganya dan sekalian sahabat.

Sumber : Lajnah Tetap bagi Penyelidikan Ilmiah & Fatwa (26/344), http://www.islamqa.com

Status Darah Sebelum Bersalin

Soalan : Jika seorang wanita sudah hampir bersalin, lalu terkeluar darah sebelum bersalin. Bolehkah ustaz jelaskan apakah jenis darah yang keluar itu, adakah ia darah haid atau nifas? Saya keliru kerana sudah tentu jenis darah akan berikan hukum berbeza. Terima kasih uztaz.

Dijawab oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Ulama berbeza pendapat dalam menentukan jenis darah yang keluar itu, seperti berikut :-

Mazhab Hanafi & Hanbali : Ia adalah darah istihadah. Justeru solat masih wajib.

Sebahagian ulama Hanbali : Ia adalah darah nifas jika keluar sehari atau dua hari sebelum melahirkan anak. Jika demikian bermakna, tidak lagi wajib puasa (jika pada bulan Ramadhan) dan solat.

Mazhab Syafie : Ia adalah darah haid dari sudut tidak perlu solat, puasa dan haram untuk digauli suaminya.

Mazhab Maliki : Ia adalah darah haid jika keluar pada bulan pertama dan kedua mengandung, namun jika keluar darah itu pada bulan ketiga, keempat dan kelima serta berterusan lebih dari 20 hari, jelaslah ia darah istihadah.

Bagi penduduk Malaysia yang bermazhab Syafie, bolehlah bertaqlid dengan pendapat mazhab Syafie dalam hal ini. Iaitu ia darah haid. Pendapat mazhab Syafie ini boleh dirujuk dari kata-kata Imam An-nawawi di dalam kitabnya :-

فإذا رأت الحامل دما يصلح أن يكون حيضا فقولان مشهوران قال صاحب الحاوي والمتولي والبغوي وغيرهم : الجديد أنه حيض , والقديم : ليس بحيض , واتفق الأصحاب على أن الصحيح أنه حيض

Ertinya : “Apabila seorang wanita yang sedang hamil melihat darah (keluar), yang sesuai untuk dihukum sebagai darah haid maka terdapat dua pendapat yang masyhur (dalam mazhab Syafie), berkata pengarang kitab Al-Hawi (Al-Mawardi), Al-Mutawalli dan Imam Al-Baghawi dan lain-lain :

“Pendapat Syafie yang baru adalah ia Haid, pendapat Syafie yang lama, ia bukan haid. Telah sepakat ulama Syafie pendapat yang paling sohih ia adalah DARAH HAID” ( Al-Majmu’, 1/412)

Sekian,

Sumber : Zaharuddin Abd Rahman, http://www.zaharuddin.net/, 1 Mei 2008

Berlatih Mengambil Darah Guna Pesakit

Soalan : Seorang doktor perlu belajar mengambil darah (melalui jarum) dari pesakit. Untuk mahir, dia perlu banyak berlatih. Sebahagian pesakit kadang-kadang berada dalam koma penuh yang kronik dan sakit mereka tiada harapan sembuh. Adakah kami berdosa jika kami berlatih dengan mengambil sedikit darah mereka yang langsung tidak membahayakan mereka, malah memberi manfaat kepada kami? Apakah ini dikira sebagai keperluan?

Jawapan:

Segala puji bagi ALLAH.

Adalah tidak dibenarkan untuk mengambil darah dari pesakit untuk tujuan belajar dan berlatih, walaupun pesakit tersebut tiada harapan sembuh, kerana ini akan membahayakan dan menyalahi mereka. Tapi jika pesakit waras dan sedar (compos mentis) dan memberi kebenaran untuk di ambil darahnya untuk kepentingan orang lain, maka tiada masalah berbuat demikian selagi mana tiada mudarat ke atasnya.

Sumber : Lajnah Tetap bagi Penyelidikan Ilmiah & Fatwa (70/25), http://www.islamqa.com

Mendapat Anak Dengan Kaedah Persenyawaan Luar Rahim

Soalan : Sepasang suami isteri telah berusaha untuk mendapatkan anak, namun doktor memberitahu bahwa mereka tidak mampu. Doktor memberitahu mereka bahawa ada prosedur yang membolehkan mereka mendapat anak, tapi ia memerlukan doktor untuk mengeluarkan telur dari wanita (ovum) dan sperma dari lelaki, kemudian disenyawakan bersama di makmal. Kemudian doktor akan menempelkan telur yang disenyawakan ke dalam wanita tersebut. Apakah ini dibenarkan dalam Islam?

Dijawab oleh Sheikh Sulaymân al-`Îsâ, Professor di Universiti al-Imâm, Riyadh

Kaedah ini adalah dibenarkan dengan syarat tiada pihak lain yang terlibat dalam prosedur tersebut contohnya mengambil wanita lain untuk menjadi ibu tumpang dan mengandungkan bayi tersebut dalam rahimnya. Kaedah tersebut hanya perlu melibatkan sperma suami dan telur wanita (ovum), dan kandungan tidak boleh dikandung oleh wanita lain.

Sumber : Arkib Fatwa,http://islamtoday.com

Belajar Ilmu Psikologi

Soalan : Apakah pandangan Islam terhadap mempelajari psikologi di universiti barat atas tujuan mendapatkan ijazah supaya dapat bekerja sebagai psikiatri? Seseorang memberitahu saya bahawa psikologi adalah subjek asing yang tidak wujud dalam Islam, maka ia harus dianggap sebagai subjek sekular.

Dijawab oleh Sheikh Salman al-Oadah

Pengetahuan atau ilmu psikologi adalah berdasarkan kajian dan pemerhatian. Ia boleh jadi diterokai oleh kedua-dua Muslim dan non-Muslim. Hal ini sama sahaja dengan cabang ilmu lain seperti bidang sains dan perubatan. Kamu boleh belajar di negara Arab ataupun barat selagimana kamu mematuhi Syariat Islam.

Sumber : Arkib Fatwa, http://islamtoday.com

Hukum Perancangan Keluarga

Adakah Perancangan Keluarga dibenarkan dalam Islam?

Oleh Jamaal Zarabozo

Soal perancangan keluarga dan mengawal kelahiran dibincangkan dengan terperinci oleh Akademi Fiqh Islam. Mereka mempunyai dua puluh tiga ulama yang mengkaji topik dan membentangkan kajian mereka tentang isu ini. Di kalangan mereka adalah Muhammad Ali al-Baar, Ali al-Saaloos, Muhammad Saeed Ramadhan al-Booti, Abdullah al-Basaam, Hasan Hathoot and Muhammad Sayid Tantaawi. Prosiding, kertas kerja dan perbincangan mereka boleh didapati dalam Bahagian Pertama, Jilid Kelima, Majalah Akademi Fiqh Islam (1988/1409 H). Prosiding setebal 748 mukasurat ini semuanya mengenai persoalan mengawal kelahiran dan isu-isu berkaitan.

Berikut adalah fakta penting berkenaan isu mengawal kelahiran dalam Islam. Ianya dinyatakan oleh ulama yang disebutkan tadi;

Institusi perkahwinan dan keinginan mempunyai anak adalah sifat yang terbaik bagi setiap makhluk termasuk para Rasul & Nabi yang dipilih ALLAH. ALLAH berfirman tentang mereka,

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلا مِنْ قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً

“Dan Sesungguhnya kami Telah mengutus beberapa Rasul sebelum kamu dan kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan.”

-Surah ar-Ra’d, 38-

Sebaik-baik contoh bagi orang yang beriman adalah teladan Nabi Muhammad s.a.w., yang berkahwin dan mempunyai anak-anak. Para Nabi & Rasul adalah insan yang perlu diikut oleh semua Muslim. ALLAH berfirman,

أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ فَبِهُدَاهُمُ اقْتَدِهِ

“Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh ALLAH, maka ikutilah petunjuk mereka”

-Surah al-An`am, 90-

Para Rasul yang sepatutnya dicontohi dan bukannya orang Barat yang tidak beriman, yang mana gaya hidup mereka hampir keseluruhannya hanya berkisar tentang berseronok dalam hidup dan mendapat harta dunia sebanyak mungkin. Maka mereka tidak menggalakkan wanita mempunyai ramai anak. Islam telah melarang hidup membujang, mengamalkan prinsip sami (tidak berkahwin) atau pun kasi (pemandulan kekal dengan membuang testis atau zakar) untuk tujuan itu. Baginda s.a.w. telahpun menjelaskan hal ini kepada sabahat yang berkira-kira untuk hidup seperti sami atau paderi. Baginda bersabda;

“Aku solat dan aku tidur, aku berpuasa dan aku berbuka puasa, dan aku mengahwiniwanita. Barangsiapa yang berpaling dari cara hidupku (Sunnah), mereka bukan dariku”

Rasul ALLAH s.a.w. bukan hanya menggalakkan perkahwinan, tapi menyuruh berkahwin perempuan yang subur untuk meramaikan anak. Baginda bersabda;

“Kahwinilah (wanita) yang penyayang dan subur kerana aku akan mempunyai umat yang paling ramai berbanding rasul lain di Hari Kebangkitan nanti.”

-Hadith Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban-

Menurut pandangan Islam, anak-anak adalah anugerah dan rahmat dari ALLAH. ALLAH telah menyatakan beberapa kelebihan yang telah DIA anugerahkan kepada manusia melalui ayat berikut;

وَاللّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ أَفَبِالْبَاطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَتِ اللّهِ هُمْ يَكْفُرُونَ (72) سورة النحل

“ALLAH menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang batil dan mengingkari nikmat ALLAH?”

-Surah An-Nahl, 72-

ALLAH juga berfirman,

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا (46) سورة الكهف

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.”

-Surah Al-Kahfi, 46-

Hanya ALLAH Pemberi Rezeki sebenar-benarnya kepada semua insan. Jika orang Muslim mengikuti apa yang telah ALLAH aturkan kepada mereka, ALLAH akan menyediakan kecukupan untuk mereka. ALLAH telah memberi amaran tentang membunuh anak sesiapapun lantaran takutkan kemiskinan samaada kepada ibubapa atau anak itu. ALLAH berfirman;

وَلاَ تَقْتُلُواْ أَوْلاَدَكُم مِّنْ إمْلاَقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ (151) سورة الأنعام

“dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, KAMI akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka”

-Surah al-An’am, 151-

ALLAH juga menegaskan;

وَلاَ تَقْتُلُواْ أَوْلادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلاقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُم إنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْءًا كَبِيرًا (31) سورة الإسراء

Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. KAMI-lah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.”

-Surah al-Isra’, 31-

Maka, Muslim tidak dibenarkan menggugurkan atau membunuh anak-anak mereka kerana takut miskin. Ia terserah kepada ALLAH untuk memperuntukkan rezeki kepada mereka.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, ulama’ yang menyertai penyelidikan berkaitan soalan ini merumuskan resolusi berikut;

  1. Tidak dibenarkan untuk mewartakan undang-undang umum yang mengehadkan kebebasan pasangan untuk mempunyai ramai anak.
  2. Adalah dilarang untuk ‘secara kekal’ menghentikan keupayaan lelaki atau wanita untuk menghasilkan zuriat seperti hysterectomy (buang rahim) atau vasectomy (buang testis), selagi mana tiada keadaan yang memerlukan menurut kerangka Syariat Islam
  3. Adalah dibenarkan untuk mengawal waktu kelahiran dengan niat menjarakkan kehamilan atau menangguhnya kepada waktu tertentu, jika terdapat keperluan Syariah dengan mendapat pandangan, nasihat dan persetujuan bersama di antara pasangan. Walaubagaimanapun, ia mestilah dilakukan tanpa membawa sebarang kemudaratan dengan kaedah yang dilulus Syara’, dan tanpa melakukan apa-apa yang merencat kehamilan semasa yang wujud.

Sumber : http://www.themodernreligion.com

Hukum Memakai Pendakap Gigi (Braces)

Soalan : Apa hukum pakai pendakap gigi? Adakah ia sama seperti mengubah kejadian ALLAH seperti tatoo?

Jawapan:

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, Insya-ALLAH.

Nabi sawbersabda :

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

“Allah melaknat wanita yang membuat tattoo dan wanita yang telah memakainya, wanita yang mencabut bulu diwajahnya dan wanita yang telah melakukannya, dan wanita yang meluaskan jarak diantara gigi mereka atau orang lain bagi tujuan kecantikan, menukar apa yang Allah telah ciptakan” – (Shahih Muslim #3966).

Imam Al-Nawawi rh didalam memberi komentar terhadap hadith diatas menjelaskan :-

( المتفلجات للحسن ) فمعناه يفعلن ذلك طلبا للحسن , وفيه إشارة إلى أن الحرام هو المفعول لطلب الحسن , أما لو احتاجت إليه لعلاج أو عيب في السن ونحوه فلا بأس والله أعلم .

“Meluaskan jarak gigi – maknanya sesuatu yang dilakukan keatas gigi bagi menjadi seseorang itu kelihatan cantik, dan ini menunjukkan bahawa ia adalah HARAM, iaitu apabila dilakukan bagi tujuan kecantikan, akan tetapi bagi merawat masalah yang berlaku kepada gigi, maka tidak ada salah melakukan, Dan ALLAH yang lebih tahu sebaiknya.”

Braces atau pendakap gigi ini adalah bertujuan membetulan kedudukan gigi atau merawat gigi, dan ia bukan dari larangan yang dinyatakan didalam hadith diatas yang dikategorikan sebagai mengubah ciptaan Allah.

Menurut Dr Rafa’at Fawzi Abdul Muttalib, Prof Universiti Dar al-Ulum, Braces yang membetulkan kerosakan gigi adalah dibenarkan.

Syeikh Faizal al-Moulawi, Naib Pengerusi Majlis Fatwa Eropah berkata :

تقويم الأسنان لأسباب صحية جائز شرعاً، بل قد يكون مطلوباً أيضاً

“Braces atau pendakap gigi bagi tujuan KESIHATAN adalah dibenarkan menurut syara’, bahkan ia juga diperlukan”

Menurut sekumpulan Mufti Islam Online : “As long as the bracing is done to fix a problem, then it is allowed and there is nothing wrong with it.”, iaitu selama mana pendakap itu membaiki sesuatu, maka ia dibenarkan.

———
Rujukan Fatwa :-

1. حكم تقويم الأسنان المعوجة
url : http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1187775926711

2. عمليات التجميل للضرورة الطبية
url : http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528615176

Fatwa didalam Bahasa Inggeris :-

http://www.islamonline.net/livefatwa/english/Browse.asp?hGuestID=3QU7bd

http://www.islamonline.net/livefatwa/english/Browse.asp?hGuestID=S5xA5N

Sumber : Disunting dari http://soaljawab.wordpress.com