Dedah Aurat Untuk Perubatan

Soalan: Isteri saya mengalami masalah kegemukan. Saya berhasrat ingin menghantar dia ke pusat rawatan menguruskan badan. Masalahnya, kebanyakan pusat-pusat menguruskan badan yang baik dikendalikan oleh wanita-wanita berbangsa Cina (bukan Islam). Mungkin timbul di sana masalah aurat terdedah semasa rawatan. Apakah hukum mendedahkan aurat kepada bukan muslim untuk tujuan rawatan seperti di atas.?

Jawapan:

Pertama, saudara perlu tahu had aurat seorang lelaki dan wanita. Mereka tidak boleh membuka aurat atau membenarkan ia disentuh kecuali atas sebab yang dibenarkan dalam syarak. Aurat paling berat ialah qubul dan dubur. Manakala aurat paling ringan seperti kedua-dua belah peha lelaki terdedah sesama mereka.

Kedua, menurut kaedah usul fikah diharuskan melakukan perkara yang diharamkan dalam syarak sekiranya boleh mendatangkan mudarat. Oleh itu, diharuskan membuka aurat untuk tujuan menguruskan badan kerana kegemukan boleh mendatangkan pelbagai penyakit. Ulama tidak berselisih pendapat mengharuskan doktor lelaki melihat aurat pesakit wanita. Begitu juga sebaliknya dengan syarat mereka hendaklah amanah dan menutup keaiban pesakit itu.

Cadangan saya agar saudara mendahulukan doktor perempuan atau pusat perubatan Islam sebelum menemui doktor lelaki atau pusat perubatan bukan Islam. Setelah berusaha, tidak mengapa menggunakan perkhidmatan mereka. Wallahu a’lam

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my