Uri Bayi Untuk Produk Kosmetik

Soalan : Saya ditanya oleh seorang ketua jururawat di hospital besar tentang pandangan Islam terhadap pengurusan placenta (uri bayi selepas lahir). Saya percaya soalan ini timbul berdasarkan fakta bahawa terdapat syarikat kosmetik menggunakan placenta untuk menghasilkan produk kecantikan. Soalan jururawat tersebut adalah adakah satu kewajipan untuk mengebumikannya ataupun dibenarkan untuk diberi kepada pihak ketiga.

Dijawab oleh Sheikh `Abd al-Rahmân al-Jar`î, Professor di Universiti King Khâlid, Abhâ

Uri bayi adalah sebahagian dari badan wanita. Ia sepatutnya dikebumikan (diuruskan) sebagaimana bahagian badan lain yang dikebumikan apabila ia telah dipotong.

Ia tidak boleh digunakan untuk tujuan kosmetik oleh syarikat atau sesiapa sahaja.

Walaubagaimanapun, ia boleh didermakan untuk kegunaan terdesak kepada orang lain jika terdapat keperluan perubatan untuk rawatan.

Dan ALLAH mengetahui yang terbaik.

Sumber : Arkib Fatwa, http://islamtoday.com

Dedah Aurat Untuk Perubatan

Soalan: Isteri saya mengalami masalah kegemukan. Saya berhasrat ingin menghantar dia ke pusat rawatan menguruskan badan. Masalahnya, kebanyakan pusat-pusat menguruskan badan yang baik dikendalikan oleh wanita-wanita berbangsa Cina (bukan Islam). Mungkin timbul di sana masalah aurat terdedah semasa rawatan. Apakah hukum mendedahkan aurat kepada bukan muslim untuk tujuan rawatan seperti di atas.?

Jawapan:

Pertama, saudara perlu tahu had aurat seorang lelaki dan wanita. Mereka tidak boleh membuka aurat atau membenarkan ia disentuh kecuali atas sebab yang dibenarkan dalam syarak. Aurat paling berat ialah qubul dan dubur. Manakala aurat paling ringan seperti kedua-dua belah peha lelaki terdedah sesama mereka.

Kedua, menurut kaedah usul fikah diharuskan melakukan perkara yang diharamkan dalam syarak sekiranya boleh mendatangkan mudarat. Oleh itu, diharuskan membuka aurat untuk tujuan menguruskan badan kerana kegemukan boleh mendatangkan pelbagai penyakit. Ulama tidak berselisih pendapat mengharuskan doktor lelaki melihat aurat pesakit wanita. Begitu juga sebaliknya dengan syarat mereka hendaklah amanah dan menutup keaiban pesakit itu.

Cadangan saya agar saudara mendahulukan doktor perempuan atau pusat perubatan Islam sebelum menemui doktor lelaki atau pusat perubatan bukan Islam. Setelah berusaha, tidak mengapa menggunakan perkhidmatan mereka. Wallahu a’lam

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Doktor Merawat Pesakit Berlainan Jantina

Soalan : Apakah hukum rawatan lelaki terhadap wanita dan sebaliknya mengikut 4 mazhab utama.

Jawapan :

Rawatan lelaki terhadap wanita dan sebaliknya adalah diharuskan tertakluk kepada beberapa syarat berikut:

i. Tidak ada perawat di kalangan sejenis.

ii. Merawat di tempat yang perlu dan berkaitan sahaja serta menutup anggota-anggota yang lain.

iii. Ditemani oleh mahram atau orang yang thiqah (yang amanah)

iv. Kepakaran hanya dimiliki oleh perawat itu sahaja.

v. Perawat mestilah seorang yang amanah dan bertanggung jawab.

Sumber : disunting dari soal Jawab Agama JAKIM, http://baheis.islam.gov.my, Nombor Rujukan – PANEL 100407

Jururawat Memandikan & Melihat Aurat Pesakit Berlainan Jantina

Soalan : Adakah dibenarkan bagi jururawat perempuan di hospital untuk membasuh, mengelap mahupun memandikan pesakit lelaki dan melihat aurat mereka, apabila pesakit tersebut tidak mampu melakukannya sendiri?

Dijawab oleh Jawatankuasa Pendiri untuk Penyelidikan Akademik & Pengeluaran Fatwa

Adalah dibenarkan bagi jururawat perempuan untuk melihat aurat pesakit lelaki apabila terdapat keperluan, terutamanya jika tiada lelaki untu melakukan kerja tersebut. Sebagaimana firman ALLAH;

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَأَنفِقُوا خَيْرًا لِّأَنفُسِكُمْ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (16) سورة التغابن

Maka bertakwalah kamu kepada ALLAH menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatlah dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu. Dan barangsiapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, Maka mereka Itulah orang-orang yang beruntung.”

-At-Taghabun, 16-

Namun, jika ada lelaki yang mampu untuk melakukan tugasan tersebut, maka tidak dibenarkan untuk jururawat perempuan melakukannya.

Dan ALLAH sumber segala kekuatan. Selawat & Salam atas Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarganya dan sekalian sahabat.

Sumber : Lajnah Tetap bagi Penyelidikan Ilmiah & Fatwa (26/344), http://www.islamqa.com

Soal Jawab Ringkas Sekitar Masalah Pengamal Perubatan

1. Solat dengan Darah Pada Pakaian

Soalan: Bolehkah menunaikan solat walaupun terdapat darah pada pakaian?

Jawapan: Boleh, apabila darahnya hanya sedikit, atau sukar dibersihkan, kerana menurut kaedah fiqh: “segala sesuatu yang sulit dipelihara, maka ia dimaafkan.”

2. Solat dengan Tidak Pasti Kiblat

Soalan: Bolehkah melakukan solat jika sukar mencari arah kiblat?

Jawapan: Apabila dia telah berusaha mencarinya tetapi belum juga dapat mengetahui arah kiblat, atau yang mendekatinya, maka bolehlah ia menghadap ke arah mana saja.

Dalam hal ini Allah berfirman:

وَلِلّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ فَأَيْنَمَا تُوَلُّواْ فَثَمَّ وَجْهُ اللّهِ إِنَّ اللّهَ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

            “Dan kepunyaan ALLAH-lah timur dan barat, maka kemana pun kamu menghadap, disitulah wajah ALLAH …” (al-Baqarah: 115)

3. Jama’ Solat Ketika Sibuk

Soalan: Bagaimana hukum menjama’ solat apabila seorang doktor sangat sibuk contohnya ketika menghadapi persalinan bayi (baby delivery)?

Jawapan: Dia boleh menjama’ solat Zuhur dengan `Asar, atau solat Maghrib dengan solat Isya’, sama ada dengan Jama’ Taqdim mahupun Jama’ Ta’khir, mana-mana yang dianggap mudah baginya, iaitu dengan Jama’ saja tanpa diQashar. Yang membolehkan Jama’ kerana uzur adalah mazhab Imam Ahmad, berdasarkan hadis Ibnu Abbas dalam kitab sahih (Muslim) .

4. Mengusap Kasut

Soalan: Bagaimana hukum mengusap kasut?

Jawapan: Enam belas orang sahabat Nabi s.a.w. membolehkan mengusap kasut dengan syarat pada waktu memakainya harus dalam keadaan suci. Orang yang bermukim (menetap di kampung halaman) boleh mengusap sarung kaki selama semalam, dan bagi musafir selama tiga hari tiga malam.

5. Mandi Jinabat Jika Tiada Tempat Mandi

Soalan: Bagaimana cara mandi jinabat apabila terdapat air tetapi tidak dijumpai tempat untuk mandi, contohnya selepas bersalin?

Jawapan: Dalam keadaan seperti ini air dianggap tidak ada menurut hukum, meskipun sebenarnya ada, sebab yang dijadikan sebab ialah dapat kemampuan kita menggunakannya. Sedangkan dalam situasi seperti ini kemampuan untuk menggunakannya tidak ada. Oleh kerana itu bolehlah ia bertayamum.

6. Solat di Tepi Pancuran Air

Soalan: Bolehkah melakukan solat di sekitar pancuran air jika hanya tempat itu satu-satunya tempat yang sesuai, khususnya di negara-negara Barat?

Jawapan: Keadaan darurat mempunyai hukum tersendiri. Dalam suatu hadis RasuluLLAH s.a.w. bersabda: “Dan Bumi itu dijadikan untukku sebagai tempat sujud (tempat solat).” [HR Bukhari dalam “ash-Shalah,” juz 1, hlm. 533, hadis nombor 438; dan Muslim dal “al-Masajid,” juz 1, him.370, hadis nombor 521 dan 522.]

7. Bersentuh dengan Doktor Wanita

Soalan: Adakah bersentuhan dengan perawat atau doktor perempuan sebagaimana yang biasa terjadi membatalkan wudhu, lebih-lebih jika wanita itu non-Muslim?

Jawapan: Menurut pendapat yang rajih (kuat), bersentuhan dengan wanita tanpa syahwat tidaklah membatalkan wudhu.

8. Ketua dan Teman Minum Arak

Soalan: Apa yang harus dilakukan oleh doktor Muslim apabila dia melihat temannya atau pengarahnya menghisap/meminum benda-benda yang memabukkan?

Jawapan: Menggunakan langkah yang paling bijaksana dan paling lemah-lembut untuk menghilangkan kemunkaran tersebut, menurut kemampuannya, dan hendaklah dia menganggap dirinya sedang menghadapi pesakit yang menderita penyakit tertentu. Di samping itu, hendaklah dia meminta tolong daripada mereka yang layak agar dapat menangani masalah tersebut secara bijaksana.

9. Perihal Aurat Pesakit

Soalan: Apa yang menjadi kewajipan kita dalam menghadapi masalah pendedahan aurat orang sakit dan anggota tubuhnya yang terbuka walaupun bukan dalam keadaan darurat, apakah anjuran kita kepadanya?

Jawapan: Ini merupakan sesuatu yang wajib diberitahu dan disebarluaskan agar setiap Muslimah mengetahui dan melaksanakan mana yang lebih positif, kecuali dalam keadaan darurat. Walaubagaimanapun, kebolehan kerana darurat haruslah diukur dengan kadar daruratnya.

10. Guna Alkohol

Soalan: Bagaimana hukum menggunakan alkohol yang bersih untuk kulit?

Jawapan: Tidak apa-apa, ia bukan khamar (arak) yang diharamkan, kerana khamar sengaja diproses untuk diminum. Dalam hal ini ada fuqaha yang menganggap najisnya khamar adalah najis maknawiyah, bukan najis hissiyyah (menurut panca indera), dan ini merupakan pendapat Rabi’ah (guru Imam Malik) dan lain-lainnya. Dalam hal ini, Lembaga Fatwa di al-Azhar sejak dulu memperbolehkan penggunaan alkohol untuk kepentingan tersebut. Adapun Sayid Rasyid Ridha mempunyai fatwa yang terperinci dan persoalan tentang kebolehannya. Silalah kaji fatwa-fatwa beliau.

Sumber: disunting & dialihbahasa dari Fatawa Mua’sirah Mua’sirah Jilid ke-II oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi