Panduan Ringkas Sepanjang Bulan Ramadhan

Perkara-perkara yang Membatalkan Puasa

1) Makan dan minum dengan sengaja. Jika terlupa atau tersalah atau dipaksa, tidak batal puasanya.

2) Muntah dengan sengaja, seperti menjolok jarinya ke tekak untuk mengeluarkan sesuatu. Jika termuntah, tidak batal puasanya.

3) Keluar haid atau nifas atau melahirkan anak, walaupun sebentar sebelum terbenam matahari.

4) Onani (mengeluarkan mani dengan sengaja) sama ada dengan tangannya, atau isterinya, atau orang lain, atau memeluk isterinya dengan syahwat. Jika keluar mani hanya kerana terpandang atau terfikir sesuatu yang mengghairahkan, maka hukumnya sama dengan mimpi basah di siang hari, i.e. tidak batal puasanya dan tidak wajib qadak. Begitu juga dengan keluar air mazi, tidak batal puasanya.

5) Memasukkan sesuatu ke dalam perut melalui rongga yang terbuka. Tidak batal memasukkan sesuatu ke dalam perut melalui rongga yg tertutup seperti mata (memakai celak atau menitik ubat pada mata) dan sebagainya. Tidak batal juga memasukkan sesuatu melalui rongga terbuka jika tidak sampai ke dalam perut, seperti mengorek hidung atau mengorek telinga atau menitik ubat telinga.

6) Berniat untuk berbuka puasa, walaupun tidak makan apa-apa.

7) Makan, minum atau berjimak kerana menyangka bahawa telah terbenam matahari (masuk waktu Maghrib), tetapi sebenarnya belum. Atau belum terbit matahari (masuk waktu Subuh), tetapi sebenarnya sudah. Ini adalah pandangan jumhur.

8) Berjimak dengan sengaja.

9) Murtad.

10) Gila, walaupun sebentar.

11) Makan atau minum ketika azan subuh dilaungkan. Ramai menyangka masih boleh makan dan minum ketika azan dilaungkan sehinggalah tamat azan. Ini adalah pandangan yang salah, kerana muazzin tidak disyariatkan untuk azan sehinggalah terbit fajar. Sesiapa yang meneruskan makan atau minum selepas muazzin mula melaungkan azan, maka batal puasanya dan wajib qadak.

 

Perkara-perkara yang TIDAK Membatalkan Puasa

1) Mandi atau membasahkan kepala untuk menyegarkan badan atau menghilangkan kepanasan dan dahaga. Jika tertelan air secara tidak sengaja, tidak batal puasanya.

2) Memakai celak, walaupun celak tersebut memasuki matanya, kerana mata bukan rongga terbuka yg menyampaikan bahan tersebut ke dalam perut.

3) Berkucupan sesama suami isteri, jika masih boleh mengawal diri daripada melakukan jimak.

4) Semua jenis suntikan, sama ada IV atau IM, kecuali Parenteral Nutrition (Fluid therapy)

5) Berbekam.

6) Berkumur-kumur dan memasukkan air melalui hidung ketika berwudhuk. Tetapi makruh jika dilakukan secara berlebih-lebihan.

7) Merasa makanan ketika memasak atau ketika ingin membeli makanan tersebut, selagi mana makanan tersebut tidak sampai ke halkum.

8) Menghidu bau-bauan.

9) Makan, minum atau berjimak pada malam hari sehinggalah terbit fajar (masuk waktu Subuh). Jika di dalam mulutnya terdapat makanan ketika azan subuh mula dilaungkan, wajib baginya mengeluarkan kembali makanan tersebut. Jika sengaja menelannya, maka batal puasanya. Begitu juga dengan jimak. Wajib berhenti ketika azan subuh mula dilaungkan. Jika dia menyambungnya, batal puasanya.

10) Bangun pagi dalam keadaan berjunub (hadas besar).

11) Menelan air liur yg bersih dan tidak bercapur dengan bahan lain, dengan syarat air liur tersebut masih berada di dalam kawasan tubuh badannya. Jika dikumpul di dalam bekas lalu diminumnya, batal puasanya.

12) Menggosok gigi. Harus melakukannya pada setiap waktu ketika berpuasa. Mengenai pendapat yang memakruhkan menggosok gigi selepas gelincir matahari, hadis tersebut sangatlah lemah (dhaif jiddan).

13) Tablet nitroglycerin dan yang seumpama dengannya yang diletakkan di bawah lidah (sublingual) . Biasanya digunakan untuk merawat sakit jantung.

14) Semua bentuk rawatan yang melibatkan kemasukan benda atau ubat ke dalam faraj seperti vaginal suppository, pencucian (doush), vaginoscope atau tangan doktor yang memeriksa pesakit (digital examination) .

15) Semua bentuk tiub atau bahan yang dimasukkan ke dalam badan melalui saluran kencing seperti urethroscope, barium, pencuci urethra.

16) Tampal gigi atau cuci gigi selagi mana tidak masuk ke dalam halkum (ditelan).

17) Pendermaan darah atau menerima darah.

18) Bantuan oksigen atau gas pelali (anesthetic gases).

19) Semua jenis krim atau minyak yang disapu pada kulit walaupun dibekalkan dengan bahan kimia yang terserap ke dalam kulit.

20) Ambil darah untuk ujian makmal.

21) Semua jenis salur yang dimasukan ke dalam salur darah untuk tujuan x-ray pada jantung atau mana-mana pada anggota badan (catheterization)

22) Laparoscope yang dimasukan ke dalam abdomen untuk tujuan pembedahan.

23) Semua jenis ubat kumur, seperti mouth-rinsing gargle, penyembur mulut selagi mana tidak masuk ke dalam halkum.

24) Uteroscope atau IUCD (pencegah hamil) yang dimasukan ke dalam rahim.

25) Sampel organ yang diambil dari badan seperti hati atau dari mana-mana anggota badan (biopsy).

26) Ubat asthma (inhaler).

27) Semua jenis ubat yang dimasukan melalui anus (dubur).

28) Pembedahan yang menggunakan pelali seluruh badan (general anesthesia) yang dijalankan pada siang hari setelah pesakit mula berpuasa sejak malam sebelum pembedahan.

29) Suntikan untuk merawat sakit buah pinggang melalui artificial kidney (dialysis) samada peritoneal atau hemodialysis

30) Memasukkan gastroscope ke dalam perut dengan syarat tiada sebarang cecair atau apa-apa bahan rawatan disalurkan.

Rujukan:

  • Fiqh As-Sunnah, Sayyid Sabiq
  • At-Taqriirat As-Sadiidah Fi Al-Masaili Al-Mufidah
  • Ibadah Pesakit Terbitan PERUBATAN Mesir

Sumber : via e-mail, Sdr. Mohd Effy Saiful Mohd Fathil, http://effysaiful.blogspot.com/

Alkohol Dalam Ubat

Soalan: Apakah hukum menggunakan alkohol dalam membasmi kuman pada luka dan percampurannya dengan sebahagian ubat?

Jawapan:

Menggunakan alkohol untuk pembasmian kuman pada luka adalah dibenarkan disebabkan keperluan terhadapnya. Dikatakan juga alhohol itu menghilangkan akal tetapi tidak memabukkan, kalau benar dakwaan ini, maka alkohol bukanlah arak, jika tidak benar dakwaan ini, dan alkohol itu memabukkan maka ia adalah arak, maka meminumnya adalah haram dengan nas dan ijmak.

Adapun penggunaannya tanpa meminum, ia perlu diperbahaskan, jika kita melihat kepada firman Allah (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib, adalah najis dari perbuatan syaitan, maka hendaklah kamu semua menjauhinya, mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan.” (al-Maidah:90). Maka (berdasarkan ayat ini) penggunaan yang bukan untuk tujuan minuman juga adalah haram berdasarkan keumuman firmanNya: “Maka hendaklah kamu semua menjauhinya.” (al-Maidah: 90)

Namun jika kita melihat kepada ayat yang berikutnya (bermaksud): “Hanyasanya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran meminum arak dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang, maka berhentilah (kamu semua dari mengerjakannya).” (al-Maidah:91), Maka berdasarkan ayat ini, penggunaan arak bukan untuk minuman adalah harus, disebabkan ketidakbolehan mengenakan illah ini ke atasnya.Berdasarkan hal ini, kami berpandangan sebagai langkah berhati-hati, tidak boleh menggunakan alkohol untuk wangian. Adapun untuk pensterilan (membasmi kuman) tidak mengapa disebabkan ada keperluan dan ketiadaan dalil yang jelas melarangnya.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata di dalam Majmu’ al-Fatawa m.s. 270, jld. 24 (maksudnya): “Berubat dengan memakan lemak babi adalah tidak boleh, adapun berubat dengan melumurkannya (lemak babi) kemudian membasuhnya selepas itu, maka ia dibina di atas keharusan menyentuh najis ketika tidak solat, tentang ini ada perbahasan yang masyhur, dan pendapat yang benar ialah harus disebabkan keperluan. Dan apa yang harus untuk keperluan,maka harus untuk berubat dengannya.”

Syeikh al-Islam telah membezakan di antara memakan dengan menggunakan sesuatu yang najis dengan cara lain (bukan memakan). Maka bagaimana pula dengan alcohol yang bukanlah suatu yang najis? Kerana jika alkohol itu belum menjadi arak maka kesuciannya adalah jelas dan jika ianya arak, maka (pandangan) yang benar, arak itu juga bukanlah najis dilihat dari dua sudut:

Pertama: Tidak ada dalil yang menunjukkan kenajisan arak. Jika tidak ada dalil, maka hukum asalnya ialah suci. Tidaklah semestinya pengharaman sesuatu itu menjadikan zat benda tersebut sebagai najis. (contohnya) Racun adalah suatu yang haram (dimakan/diminum), akan tetapi ia tidak pula dikira najis. Adapun firman Allah taala (maksudnya):“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib itu adalah najis dari amalan syaitan..” Maka yang dimaksudkan dengan najis di sini adalah najis maknawi bukan hissi, ia merupakan sifat, kerana tidak mungkin berjudi, berhala dan bertenung nasib juga menjadi najis dari sudut hissi, maka ia dikira najis kerana termasuk dalam perbuatan syaitan, dan syaitan bertujuan menimbulkan permusuhan dan kebencian, perkara ini adalah pekerjaan najis dari sudut maknawi.

Kedua: al-Sunnah juga menunjukkan kesucian zat arak (hissinya). Di dalam Sahih Muslim daripada Ibn ‘Abbas RA (menceritakan) seorang lelaki menghadiahkan kepada Rasulullah SAW satu uncang arak. Lalu Rasulullah (SAW) bertanya kepadanya: “Apakah kamu tahu bahawa Allah (SWT) telah mengharamkannya?” jawab lelaki itu: “Tidak.” Lalu lelaki itu berbisik kepada seseorang yang berdekatan dengannya. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya: “Apa yang kamu bisikkan kepadanya.” Lelaki itu menjawab: “Saya menyuruh dia menjual arak itu.” Lalu Nabi SAW bersabda:“Sesungguhnya (Allah) yang mengharamkan meminumnya, mengharamkan juga menjualnya.” Kata (Ibn ‘Abbas) “Lalu lelaki itu membuka uncang tersebut dan menuangkan arak yang ada di dalamnya.”

Di dalam Sahih al-Bukhari, daripada Anas bin Malik RA, dimana beliau berada di rumah Abu Talhah yang menghidang orang-orang yang ada di situ dengan minuman (khamar), lalu Nabi SAW menyuruh seseorang melaungkan bahawasanya arak telah diharamkan. Kata Anas bin Malik, Abu Talhah berkata kepadaku, pergilah kamu keluar dan buangkan ia, lalu aku keluar dan menuangnya, sehingga ia mengalir di jalan-jalan Madinah.”

Kalaulah arak itu najis, dalam bentuk najis hissi, sudah pasti Nabi SAW akan menyuruh orang yang menghadiahkan baginda uncang arak itu membasuh uncangnya, sepertimana ketika diharamkan daging keldai sewaktu peperangan Khaibar, di mana Nabi SAW bersabda: “Buangkan (daging keldai yang ada di dalam bekas) dan pecahkan bekas itu.”Lalu seseorang berkata: “Atau kami buangkan (isinya) dan kami basuh bekasnya.” Jawab baginda: “Atau membasuhnya.”

Kemudian kalaulah arak itu najis hissi, orang-orang Islam tidak akan membuangnya di jalan-jalan di Madinah, kerana tidak boleh membuangkan najis dijalan-jalan yang dilalui manusia.

Al-Syeikh Muhammad Rasyid Ridha berkata di dalam Majmu’ah Fatawa al-Manar, m.s. 1631, secara ringkasnya.“Alcohol adalah bahan yang suci, penting di dalam perubatan dan dalam banyak industry, penggunaannya dalam perubatan tidak terkira banyaknya, mengharamkan penggunaannya ke atas orang Islam akan menghalang perkembangan ilmu dan banyak perkara yang merupakan sebab utama Eropah mendahului umat islam, seperti kimia, farmasi, perubatan dan pembuatan, dan jika diharamkan penggunaannya, ia akan menjadi sebab kematian ramai dikalangan pesakit dan orang-orang yang tercedera atau akan memanjangkan tempoh kesakitan mereka dan menambahkan kesakitan.” Ini adalah satu ungkapan yang baik dan kukuh dari Muhammad Rasyid Redha RH.

Adapun tentang sebahagian ubat yang bercampur dengan alcohol, sesungguhnya ia tidak menjadikan ubat itu haram, jika percampuran itu sedikit yang tidak menzahirkan kesannya, seperti yang dinyatakan oleh para ulama. Ibn Qudamah di dalam al-Mughniy berkata: “Tepung jika diuli bersama arak, dibakar menjadikannya roti dan di makan (orang itu) tidak dikenakan hukuman Had (kerana tidak dikira meminum/memakan arak), kerana api telah menghilangkan bahagian-bahagian arak, ia tidak ada lagi melainkan kesannya sahaja.” (al-Mughniy, m.s. 306, jld: 8).

Di dalam al-Iqna’ dan Syarahnya dinyatakan: “Walaupun dicampurkan – benda yang memabukkan itu (arak) – dengan air, kemudian air itu menghilangkannya/memusnahkannya, kemudian air itu diminum, orang yang meminumnya tidak di hukum had, kerana ia telah musnah di dalam air, dan dia tidak mengambil alih nama air itu, atau ia digunakan untuk berubat luka, orang ini juga tidak dikenakan hukuman had, kerana dia tidak mengambil benda yang memabukkan itu sebagai minuman dan tidak juga yang semakna dengan minuman.” (al-Iqna’, m.s. 71, jld: 4) Inilah kesimpulan (kandungan) daripada athar dan penelitian.Adapun athar sebagai hujjah dalam masalah ini, telah diriwayatkan dari Nabi SAW yang bersabda: “Air itu suci, tidak menajiskannya sesuatu, melainkan jika berubah bau, rasa dan warnanya dengan najis yang ada di dalamnya.” Sekalipun ungkapan berubah bau, rasa dan warna itu ada kelemahan padanya, namun para ulama telah bersepakat tentangnya. Bentuk petunjuknya, ialah jika terjatuh sesuatu najis di dalam air, dan air itu tidak berubah, maka air itu kekal kesuciannya, demikian juga arak, apabila bercampur dengan benda lain yang halal, dan jika arak itu tidak memberi kesan kepada benda yang halal tersebut, maka benda itu kekal kehalalannya.Di dalam Sahih al-Bukhari yang diriwayatkan secara ta’lik dinyatakan: Abu Darda’ membuat al-Murriy (sejenis makanan Arab) bersama ikan yang digaramkan, diletak (diperam) di dalam khamar kemudian dijemur di bawah matahari, sehingga bertukar rasa arak tersebut. Athar ini bermaksud; Ikan yang ada garam tersebut dijemur di bawah matahari, menghilangkan arak tersebut dan ianya menjadi halal.

Fakta ini perlu diperhatikan, kerana arak hanya diharamkan disebabkan sifat yang ada padanya iaitulah memabukkan. Apabila sifat ini (memabukkan) telah tiada, tiadalah pengharamannya. Ini kerana hukum (sesuatu perkara) berlegar bersama illahnya (sebab hukum), kewujudan atau ketiadaannya hukum.

Sebahagian orang menyangka benda yang bercampur dengan arak menjadi haram secara mutlak, walaupun arak yang bercampur itu sedikit, dimana tidak timbul lagi kesannya, dan mereka menyangka inilah maksud hadith: “Apa yang memabukkan dalam jumlah banyak, maka sedikitnyapun haram.” Mereka berpendapat, inilah hukum arak yang sedikit, banyaknya memabukkan, maka sedikitnyapun haram. Yang lain pula berkata: “Arak yang sedikit telah hilang di dalam sesuatu yang lain, dan tidak ada lagi sifat (arak) dan hukumnya (juga tiada), maka hukumnya berdasarkan apa yang banyak sifatnya. Adapun hadith:“Apa yang memabukkan banyaknya, maka sedikitnyapun adalah haram.” Maknanya ialah jika minuman itu banyak, ia memabukkan sipeminum, dan jika sedikitnya tidak memabukkan, maka yang sedikit ini juga tetap haram (kerana ianya arak dan kekal sifatnya sebagai arak), kerana pengambilan yang sedikit ini, sekalipun tidak memabukkan, menjadi haram sebagai menyekat dari mengambil yang banyak. Ini dijelaskan lagi di dalam hadith ‘Aisyah RA, Sabda Nabi SAW:“Setiap yang memabukkan itu haram dan apa yang memabukkan sebanyak 16 ritl, maka satu telapak tangan juga adalah haram.”

Makna hadith ini, jika terdapat minuman yang tidak memabukkan melainkan jika diambil sebanyak 16 ritl, maka satu tapak tangan juga adalah haram (walaupun tidak memabukkan). Inilah maksud sabdaan Nabi SAW: “Apa yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya juga adalah haram.”

Sumber: Fatwa wa Rasail al-Syeikh Muhammad Soleh al-‘Uthaimin, jilid 11, bab Izalah al-Najasah.

Fatwa oleh: al-Syeikh Muhammad bin Soleh al’Uthaiman

Diterjemahkan oleh Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Telah disemak dan diperakui oleh S.S. Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr. Juanda bin Jaya.

Link : http://mufti.perlis.gov.my/

Ubat Kanser dari Sel Khinzir

Apakah hukumnya bagi pesakit kanser seperti saya yang telah mengambil dan menjalani rawatan perubatan yang disarankan oleh doktor pakar yang memaklumkan bahawa terdapat sel khinzir yang yang terkandung dalam ubat tersebut. Majlis fatwa negara- negara timur tengah membenarkan. Maka itu saya bersetuju demi untuk pulih dan anak-anak yang masih kecil. Kini saya dalam dilema samada meneruskan atau berhenti rawatan, apakah ALLAH akan mengampuni dan menerima tindakan saya selama ini. Bagaimana dengan amalan saya apakah diterima?

Jawapan oleh Abul Harith, Admin Fiqh Medic:

Terima kasih Puan atas pertanyaan. Saya mendoakan agar ALLAH memberi kesembuhan dari sakit yang dihidapi dan Puan terus tabah menghadapi ujian ILAHI ini.

Saya juga amat hargai andai Puan dapat lebih spesifik menyatakan contoh ubat-ubatan atau prosedur yang diterima agar saya dan pembaca dapat menyelidik lebih lanjut tentang proses pembuatan dan kandungan ubatnya, seterusnya dapat memberi rumusan yang lebih tepat.

Merujuk kepada soalan Puan, izinkan saya memberi respon secara umum. Secara ringkas, menerima rawatan dari ubat-ubatan yang berasal dari khinzir adalah harus dan tiada masalah atas faktor-faktor berikut:

1. Proses Istihalah

Kebanyakan ubat yang dihasilkan adalah bahan sintesis daripada khinzir yang telah berubah zatnya dari segi kimia atau fizikal. Maka ia bukanlah lagi secara langsung sama seperti bahagian atau cairan dari khinzir. Konsep ini di sisi Islam dinamakan ‘ISTIHALAH’ ataupun proses perubahan zat.

Maka, hukumnya adalah HARUS dan HALAL digunakan. Maka siapakah yang mahu mengharamkan apa yang telah halal?

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?” Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat”. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”  Al-A’raf:32

Namun, kita juga akui dalam konteks Malaysia yang rata-rata memakai Mazhab Syafie’ tidak menerima konsep Istihalah. Bagaimanapun, yang terbaik bagi doktor dan pesakit ialah mengambil pendapat yang memudahkan urusan mereka yang bertujuan merawat dan menyelamatkan nyawa.

2. Darurat mengharuskan yang Haram/Dilarang 

Jika ubat tersebut mempunyai bahan khinzir yang jelas haram secara zahirnya sekalipun dan tidak melalui proses perubahan zat (Istihalah), ia tetap dibolehkan bagi tujuan rawatan. Ini kerana Darurat yang wujud iaitu untuk menyelamatkan nyawa membolehkan kita menggunakan bahan haram.

Ini berdasarkan Kaedah Fiqh yang masyhur, “Ad-Dharurat Tubiihu al-Mahzhurat” yang bermaksud ‘Keadaan Darurat Membolehkan Melakukan Yang Dilarang’.

Menyelamatkan nyawa adalah antara 5 darurat yang diiktiraf agama dan yang paling tinggi selepas ad-Din (agama) seperti yang terkandung dalam “ad-Dharuriyat al-Khams”.

Justeru, menurut Kaedah Fiqh dan Maqasid Syar’iyyah, menggunakan bahan dilarang adalah harus untuk menyelamatkan nyawa yang sememangnya Wajib dilindungi. Begitu juga, dalam kes Puan, adalah harus bahkan wajib menggunakan segala jenis bahan walaupun haram untuk menyelamatkan nyawa.

3. Fatwa ulama’ Timur Tengah / Eropah

Fatwa yang dikeluarkan oleh ulama’ negara timur tengah mahupun Eropah adalah hasil ijtihad mereka yang bersungguh-sungguh. Maka, fatwa mereka boleh dipakai dan tidak boleh dibatalkan walaupun ada ijtihad atau fatwa yang menyanggahinya.

Kaedah Fiqh menyatakan, “al-Iltihad la Yunqadhu bi Misthlih” yang bermaksud ‘Ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan Ijtihad yang serupa’

Apatah lagi sepanjang pengkajian penulis, Ijtihad dan fatwa dari ulama’ Timur Tengah dan Eropah kebanyakannya lebih realistik dan praktikal dalam isu perubatan semasa. Ramai di kalangan doktor di Timur Tengah mendalami ilmu Fiqh dan Syariah. Manakala ulama’ Eropah yang selalu bergelumang dengan situasi masyakat yang pelbagai dan teknologi yang maju di Barat akan menatijahkan pandangan yang lebih terbuka dan adil.

Sebagai contoh, Dr. Nazih Hammad, ahli Fiqh Council of North America dan Akademi Fiqh Islam dari Kanada memutuskan hormon insulin, kolagen, gelatin atau sabun dari khinzir adalah halal kerana telah melalui proses Istihalah.

4. Perakuan doktor pakar

Perakuan dan syor doktor yang pakar dalam hal ini sudah cukup untuk dijadikan sandaran untuk diterima sebagai keharusan rawatan tersebut. Jika doktor tersebut mengakui bahawa ubat tersebut terbukti menyembuhkan dan adalah pilihan terbaik walaupun ia haram, maka syor doktor tersebut harus diterima.

Pandangan pakar atau ahli dalam sesuatu bidang diiktiraf di sisi perundangan Islam dan dipanggil ‘Ghalib Zhan’ atau ‘sangkaan yang kuat’ yang hampir menghampiri tahap ‘Yakin’.

Akhirnya, mengenai keampunan dan penerimaan amalan, itu semua adalah urusan ALLAH. Dari segi hukum, rawatan yang diterima Puan adalah harus, tidak haram, dan tiada kaitan dengan soal tertolaknya amal kebaikan Puan. Apatah lagi ini semua adalah ujian TUHAN untuk memperteguh keimanan kepada-NYA (al-Ankabut: 2). Dan ALLAH itu MAHA ADIL, DIA tidak akan menguji hamba-NYA diluar dari kemampuan hamba itu (al-Baqarah: 286).

WabiLLAHi Taufiq, waLLAHu a’lam.

Memakai Contact Lens Ketika Puasa

Soalan : Saya ingin tahu hukum puasa apabila kita memakai contact lens. Apakah puasa saya terbatal?

Jawapan :

Di dalam Kitab Fiqh al-‘Ibadat, muka surat 191:

“Puasa orang yang memakai kanta sentuh atau contact lens tidak batal kerana ia tidak masuk ke perut dan bukan kategori makanan atau minuman. Dibolehkan juga menitikkan sebarang ubat mata atau telinga ketika berpuasa walaupun jika ia memasuki halkum. Ia bukan makan atau minum juga tidak termasuk makna makan atau minum.”

Wallahu alam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Membesarkan dan Memanjangkan Zakar

Assalamualaikum,

Ustaz, ana ada sedikit kemusykilan mengenai penggunaan ubat tradisional untuk memanjangkan/membesarkan saiz zakar lelaki yang semakin popular hari ini. Ada mengatakan hukumnya haram atas alasan mengubah ciptaan Allah s.w.t. Ada pula mengatakan tidak mengapa atas alasan kesihatan. Adakah alasan untuk menaikkan syahwat dibenarkan untuk membolehkannya? Bagaimana pula dengan penggunaan alatan-alatan seperti pump untuk tujuan yang sama? Mohon tunjuk ajar dan rujukan daripada pihak Fiqhmedic. Wassalam

Wassalam dan Syukran atas soalan.

Jawapan oleh Abul Harith:

Hukum membesarkan dan memanjangkan zakar, tertakluk kepada dua keadaan;

Ia menjadi HARAM apabila;

bertujuan ke arah melakukan zina & maksiat

membuat prosedur yang lebih memudaratkan diri sendiri

Sebaliknya, ia dikira HARUS apabila;

bertujuan mengekalkan keharmonian rumah tangga

bertujuan mendapatkan lebih ramai zuriat

Dalam hal ini, ia bergantung kepada niat individu tersebut. Ianya bergantung kepada tujuan samada baik ataupun buruk. Ia sama seperti hukum pembesaran payudara. Sila rujuk;

https://fiqhmedic.wordpress.com/2008/04/01/pembedahan-pembesaran-payudara/

Namun, mengikut sains perubatan, prosedur pembesaran dan pemanjangan zakar bukanlah satu keperluan atas alasan berikut;

  1. Panjang zakar adalah tetap (fix) pada setiap lelaki iaitu sekitar 5 inci (12-14 cm). Manakala panjang vagina kebanyakan wanita adalah maksimum adalah 4 inci (10 cm). Saiz kebanyakan zakar lelaki adalah memadai.
  2. Disebabkan panjang zakar yang tetap, apa sahaja prosedur sama ada pembedahan atau rawatan lain tidaklah menambah kepanjangan zakar.
  3. Pembedahan dilakukan dengan memotong ligament yang menggantung zakar (samada fundiform & suspensory ligament). Jadi zakar akan tertonjol keluar dan kelihatan lebih panjang.
  4. Implantation silikon boleh membesarkan & memanjangkan zakar, namun terdapat banyak mudarat yang lebih teruk.
  5. Rawatan ubatan tradisional pula dirisaukan mempunyai kandungan yang diragui dan memudaratkan, seperti mendatangkan komplikasi pada hati dan buah pinggang.
  6. Urutan mungkin berkesan untuk melancarkan saluran darah pada zakar, namun hendaklah dilakukan oleh doktor yang pakar. Urutan tradisonal dikhatiri akan merosakkan tisu, salur darah & urat saraf
  7. Penggunaan pump pula adalah untuk merawat mati pucuk (erectile dysfunction), bukannya untuk membesarkan zakar. Penggunaan melampau boleh menyebabkan zakar melecet dan tercedera

Sila rujuk : http://www.webmd.com/a-to-z-guides/penile-enlargement

Bagi mereka yang gemuk dan obese pula, boleh jadi 1/3 hingga ½ pangkal zakarnya dilindungi lemak yang berada di bahagian perut & pubic (pangkal zakar). Jadi senaman dan gaya hidup sihat boleh mengurangkan lemak & menonjolkan zakar kembali.

Berdasarkan kajian juga, kebanyakan individu yang merasakan zakarnya kecil adalah kerana perasaan inferior mereka dan faktor psikologi semata-mata. Begitu juga orang yang mendakwa berjaya membesarkan zakar, kebanyakannya tetap sama, cuma mereka mahu percaya zakar mereka telahpun panjang selepas makan ubat tertentu. Hal ini sama sahaja dengan placecbo effect.

Kesimpulannya, usahlah isu saiz zakar menjadi keresahan Muslim. Jumpalah doktor yang pakar jika ada masalah. ALLAH memerintahkan kita menjaga ‘amanah’ kemaluan yang diberi dengan sebaik-baiknya. Banyakkan pergantungan, ibadah dan doa kepada ALLAH demi menjaga keharmonian rumah tangga.

WaLLAHU a’lam.

Tidak Mengapa Dilakukan Oleh Mereka Yang Berpuasa

Seseorang hamba yang taat dan memahami al-Qur’an dan as-Sunnah tidak akan ragu bahawa Allah mengkehendaki kemudahan bagi hambanya dan tidak menginginkan kesulitan. Allah dan Rasul-Nya telah membolehkan beberapa hal bagi orang yang berpuasa, dan tidak menganggapnya sebagai suatu kesalahan jika beberapa perkara tersebut dilakukan. Berikut adalah beberapa contoh perbuatan tersebut beserta dalil-dalilnya:

1. Seorang yang berpuasa dibolehkan memasuki waktu subuh dalam keadaan masih berjunub

Di antara perbuatan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam ketika telah masuk fajar (waktu subuh) adalah masih berada dalam keadaan junub setelah bercampur dengan isterinya. Kemudiannya beliau mandi di dalam waktu subuh dan melaksanakan solat.

Dari Aisyah dan Ummu Salamah radhiallahu ‘anhuma (yang ertinya): “Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam memasuki waktu subuh dalam keadaan junub kerana jima’ dengan isterinya, kemudian ia mandi dan berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/123), Muslim (1109))

2. Seorang yang berpuasa boleh bersiwak (memberus gigi)

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “Kalaulah tidak memberatkan umatku niscaya aku suruh mereka untuk bersiwak setiap kali wudhu”. (Hadis Riwayat Bukhori (2/311), Muslim (252))

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mengkhususkan orang yang berpuasa ataupun yang lainnya, ini sebagai dalil bahawa siwak bagi orang yang berpuasa dan selainnya ketika setiap kali berwudhu’ dan solat. (Inilah pendapat al-Bukhari rahimahullah, demikian pula Ibnu Khuzaimah dan selain keduanya. Lihat Fathul Bari (4/158), Shahih Ibnu khuzaimah (3/247), Syarhus Sunnah (6/298))

Begitulah juga berkenaan siwak ini, ianya bersifat umum untuk dilaksanakan seluruh waktu sama ada sebelum zawal (tergelincir matahari) atau setelahnya. Wallahu a’lam.

3. Berkumur-kumur dan memasukan air ke hidung

Perkara ini adalah berdasarkan perbuatan Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam berkumur-kumur dan beristinsyaq di ketika dalam keadaan berpuasa, tetapi melarang orang yang berpuasa berlebih-lebihan ketika istinsyaq (memasukan air ke hidung) Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “…..bersungguh-sungguhlah dalam beristinsyaq kecuali dalam keadaan puasa.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (3/146), Abu Daud (2/308), Ahmad (4/32), Ibnu Abi Syaibah (3/101), Ibnu majah (407), an-Nasa’i (no. 87) dari Laqith bin Shabrah radhiyallahu ‘anhu. Sanadnya sahih)

4. Bercumbu dan mencium isteri dalam keadaan berpuasa

Aisyah radhiallahu ‘anha pernah berkata: “Rasulullah pernah mencium dan bercumbuber dalam keadaan berpuasa, akan tetapi beliau adalah orang yang paling kuat menahan diri (nafsu).” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/131), Muslim (1106))

Dalam soal ini, golongan muda dimakruhkan berbuat demikian berbanding yang telah tua.

Abdullah bin Amr bin ‘Ash berkata: “Kami pernah berada di sisi Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam, datanglah seorang pemuda lalu berkata: “Ya Rasulallah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa? Beliau menjawab: “Tidak”, datang pula seorang yang sudah tua lalu dia berkata: “Ya Rasulullah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa?” Beliau menjawab: “Ya”. Sebahagian dari kami pun saling memandang di antara satu dengan yang lain. Maka Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “Sesungguhnya orang tua boleh menahan dirinya”.” (Hadis Riwayat Ahmad (2/185, 221))

5. Mengeluarkan darah dan melakukan suntikan yang tidak mengandungi makanan

Semua ini bukanlah termasuk di dalam perkara yang boleh membatalkan puasa.

6. Berbekam

Pada awalnya, berbekam adalah merupakan salah satu pembatal puasa, namun kemudiannya ia dimansuhkan. Terdapat hadis sahih yang jelas dari Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bahawa beliau berbekam ketika berpuasa. Ini adalah berdasarkan satu riwayat dari Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma: “Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam pernah berbekam dalam keadaan sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/155 – Fathul Bari), lihat “Nasikhul hadis wa Mansukhuhu” (334-338) karya Ibnu Syahin)

7. Merasai makanan

Merasai makan adalah dibolehkan dengan syarat selagi mana tidak sampai memasuki tenggorokan (tekak dan salur makanan). Ini adalah berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma: “Tidak mengapa merasai cuka atau sesuatu yang lainnya dalam keadaaan sedang berpuasa selagi mana tidak sampai ke tenggorokan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari secara muallaq (4/154 – Fathul Bari), dimaushulkan (disambungkan/disebutkan sanadnya) oleh Ibnu Abi Syaibah (3/47), al-Baihaqi (4/261) melalui dua jalan. Hadis ini hasan, lihat “Taqliqut Taqliq” (3/151-152))

8. Bercelak dan menitiskan ubat mata dan lainnya yang masuk seumpama

Semua perkara tersebut tidaklah termasuk ke dalam perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, sama ada rasanya dapat dirasai sehingga ke tenggorokan atau tidak, inilah yang dikuatkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah di dalam risalahnya yang bermanfaat “Haqiqatus Shiyam” serta muridnya Ibnul Qoyyim di dalam kitabnya “Zaadul Ma’ad”. Imam al-Bukhari berkata di dalam kitab “Shahihnya”, Anas bin Malik, Hasan al-Bashri dan Ibrahim an-Nakhai memandang tidak mengapa bagi yang berpuasa.”

9. Menyiramkan air dingin ke atas kepalanya dan mandi

Imam al-Bukhari menyatakan di dalam kitab Shahihnya “Bab Mandinya Orang Yang Berpuasa” bahawa, “Ibnu Umar pernah membasahi (membasahi dengan air, untuk mendinginkan badannya kerana haus ketika puasa) bajunya kemudian dia memakainya ketika dalam keadaan berpuasa.” Asy-Sya’bi juga pernah memasuki ke bilik mandi dalam keadaan sedang berpuasa. Al-Hasan berkata: “Tidak mengapa berkumur-kumur dan mendinginkan badan dalam keadaan sedang berpuasa.”

Dalam suatu riwayat disebutkan,

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam pernah menyiramkan air ke kepalanya dalam keadaan sedang berpuasa kerana dahaga atau kepanasan yang mengeringkan.” (Hadis Riwayat Abu Dawud (2365), Ahmad (5/376, 380, 408, 430). Sanadnya sahih)

Sumber : Akh. Nawawi Subandi, http://fiqh-sunnah.blogspot.com