Tidak Mengapa Dilakukan Oleh Mereka Yang Berpuasa

Seseorang hamba yang taat dan memahami al-Qur’an dan as-Sunnah tidak akan ragu bahawa Allah mengkehendaki kemudahan bagi hambanya dan tidak menginginkan kesulitan. Allah dan Rasul-Nya telah membolehkan beberapa hal bagi orang yang berpuasa, dan tidak menganggapnya sebagai suatu kesalahan jika beberapa perkara tersebut dilakukan. Berikut adalah beberapa contoh perbuatan tersebut beserta dalil-dalilnya:

1. Seorang yang berpuasa dibolehkan memasuki waktu subuh dalam keadaan masih berjunub

Di antara perbuatan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam ketika telah masuk fajar (waktu subuh) adalah masih berada dalam keadaan junub setelah bercampur dengan isterinya. Kemudiannya beliau mandi di dalam waktu subuh dan melaksanakan solat.

Dari Aisyah dan Ummu Salamah radhiallahu ‘anhuma (yang ertinya): “Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam memasuki waktu subuh dalam keadaan junub kerana jima’ dengan isterinya, kemudian ia mandi dan berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/123), Muslim (1109))

2. Seorang yang berpuasa boleh bersiwak (memberus gigi)

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “Kalaulah tidak memberatkan umatku niscaya aku suruh mereka untuk bersiwak setiap kali wudhu”. (Hadis Riwayat Bukhori (2/311), Muslim (252))

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mengkhususkan orang yang berpuasa ataupun yang lainnya, ini sebagai dalil bahawa siwak bagi orang yang berpuasa dan selainnya ketika setiap kali berwudhu’ dan solat. (Inilah pendapat al-Bukhari rahimahullah, demikian pula Ibnu Khuzaimah dan selain keduanya. Lihat Fathul Bari (4/158), Shahih Ibnu khuzaimah (3/247), Syarhus Sunnah (6/298))

Begitulah juga berkenaan siwak ini, ianya bersifat umum untuk dilaksanakan seluruh waktu sama ada sebelum zawal (tergelincir matahari) atau setelahnya. Wallahu a’lam.

3. Berkumur-kumur dan memasukan air ke hidung

Perkara ini adalah berdasarkan perbuatan Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam berkumur-kumur dan beristinsyaq di ketika dalam keadaan berpuasa, tetapi melarang orang yang berpuasa berlebih-lebihan ketika istinsyaq (memasukan air ke hidung) Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “…..bersungguh-sungguhlah dalam beristinsyaq kecuali dalam keadaan puasa.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (3/146), Abu Daud (2/308), Ahmad (4/32), Ibnu Abi Syaibah (3/101), Ibnu majah (407), an-Nasa’i (no. 87) dari Laqith bin Shabrah radhiyallahu ‘anhu. Sanadnya sahih)

4. Bercumbu dan mencium isteri dalam keadaan berpuasa

Aisyah radhiallahu ‘anha pernah berkata: “Rasulullah pernah mencium dan bercumbuber dalam keadaan berpuasa, akan tetapi beliau adalah orang yang paling kuat menahan diri (nafsu).” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/131), Muslim (1106))

Dalam soal ini, golongan muda dimakruhkan berbuat demikian berbanding yang telah tua.

Abdullah bin Amr bin ‘Ash berkata: “Kami pernah berada di sisi Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam, datanglah seorang pemuda lalu berkata: “Ya Rasulallah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa? Beliau menjawab: “Tidak”, datang pula seorang yang sudah tua lalu dia berkata: “Ya Rasulullah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa?” Beliau menjawab: “Ya”. Sebahagian dari kami pun saling memandang di antara satu dengan yang lain. Maka Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “Sesungguhnya orang tua boleh menahan dirinya”.” (Hadis Riwayat Ahmad (2/185, 221))

5. Mengeluarkan darah dan melakukan suntikan yang tidak mengandungi makanan

Semua ini bukanlah termasuk di dalam perkara yang boleh membatalkan puasa.

6. Berbekam

Pada awalnya, berbekam adalah merupakan salah satu pembatal puasa, namun kemudiannya ia dimansuhkan. Terdapat hadis sahih yang jelas dari Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bahawa beliau berbekam ketika berpuasa. Ini adalah berdasarkan satu riwayat dari Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma: “Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam pernah berbekam dalam keadaan sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/155 – Fathul Bari), lihat “Nasikhul hadis wa Mansukhuhu” (334-338) karya Ibnu Syahin)

7. Merasai makanan

Merasai makan adalah dibolehkan dengan syarat selagi mana tidak sampai memasuki tenggorokan (tekak dan salur makanan). Ini adalah berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma: “Tidak mengapa merasai cuka atau sesuatu yang lainnya dalam keadaaan sedang berpuasa selagi mana tidak sampai ke tenggorokan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari secara muallaq (4/154 – Fathul Bari), dimaushulkan (disambungkan/disebutkan sanadnya) oleh Ibnu Abi Syaibah (3/47), al-Baihaqi (4/261) melalui dua jalan. Hadis ini hasan, lihat “Taqliqut Taqliq” (3/151-152))

8. Bercelak dan menitiskan ubat mata dan lainnya yang masuk seumpama

Semua perkara tersebut tidaklah termasuk ke dalam perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, sama ada rasanya dapat dirasai sehingga ke tenggorokan atau tidak, inilah yang dikuatkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah di dalam risalahnya yang bermanfaat “Haqiqatus Shiyam” serta muridnya Ibnul Qoyyim di dalam kitabnya “Zaadul Ma’ad”. Imam al-Bukhari berkata di dalam kitab “Shahihnya”, Anas bin Malik, Hasan al-Bashri dan Ibrahim an-Nakhai memandang tidak mengapa bagi yang berpuasa.”

9. Menyiramkan air dingin ke atas kepalanya dan mandi

Imam al-Bukhari menyatakan di dalam kitab Shahihnya “Bab Mandinya Orang Yang Berpuasa” bahawa, “Ibnu Umar pernah membasahi (membasahi dengan air, untuk mendinginkan badannya kerana haus ketika puasa) bajunya kemudian dia memakainya ketika dalam keadaan berpuasa.” Asy-Sya’bi juga pernah memasuki ke bilik mandi dalam keadaan sedang berpuasa. Al-Hasan berkata: “Tidak mengapa berkumur-kumur dan mendinginkan badan dalam keadaan sedang berpuasa.”

Dalam suatu riwayat disebutkan,

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam pernah menyiramkan air ke kepalanya dalam keadaan sedang berpuasa kerana dahaga atau kepanasan yang mengeringkan.” (Hadis Riwayat Abu Dawud (2365), Ahmad (5/376, 380, 408, 430). Sanadnya sahih)

Sumber : Akh. Nawawi Subandi, http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Contact Lens Membatalkan Puasa?

Soalan : Saya ada kemusykilan. Saya seorang yg selalu pakai kanta lekap (contact lense). Boleh kata hari-hari saya pakai. Persoalan saya ialah adakah dibolehkan memakai contact lense itu ketika sedang berpuasa? Adakah dgn memakai contact lense menjadi penyebab puasa terbatal? Kalau begitu bagaimanakah untuk terus memakai contact lense tanpa menjejaskan puasa?

Sekian terima kasih.

Jawapan :

Berdasarkan ketetapan yang dibuat oleh Majma’ Feqah Islami dalam satu persidangannya, bahawa sesuatu yang dimasukkan ke dalam mata seperti titisan ubat tidak membatalkan puasa. Ia juga adalah pendapat yang pernah ditarjihkan oleh Ibn Taimiyyah.

Maka, tidak mengapa memakai contact lens ketika puasa. Walaupun ketika memakainya, ada cairan solution yang mungkin masuk dalam rongga mata. Ia bukannya makanan dan bukan minuman, dan tidak boleh disamakan dengannya pada hukum.

Wallahu A’lam.

Sumber : disunting dari Soal Jawab Agama, http://abuumair1.wordpress.com/

Onani Ketika Puasa

Soalan : Baru-baru ini isteri saya berpuasa ganti. Setahu saya, hukumnya wajib sepertimana hukum puasa Ramadhan.semasa berpuasa, saya melakukan onani terhadap isteri saya dengan memasukkan jari saya ke dalam farajnya. Dan pada ketika itu, kami benar-benar terlupa yang isteri saya sedang berpuasa.

Apakah hukum puasa isteri saya? Batalkah? Wajib kaffarahkah?

Mohon maaf atas ketidaksopanan bahasa yang digunakan. Tiada niat lain melainkan ingin mandapatkan kepastian. JazakALLAH kepada panel yang sudi memberikan penjelasan.

Jawapan:

Oleh kerana perbuantan anda dan isteri anda berlaku secara lupa, maka puasa isteri anda adalah sah dan tidak dikenakan apa-apa kaffarah.

Syarak telah menjelaskan bahawa seseorang yang melakukan perkara membatalkan puasa secara lupa, tidak membatalkan puasa. Kecuali dalam permasalahan jimak, ada khilaf.

Sabda Nabi SAW:

من أكل ناسيا وهو صائم فليتم صومه فإنما أطعمه الله وسقاه

Maksudnya: Sesiapa makan secara lupa walhal dia sedang berpuasa, maka hendaklah dia sempurnakan puasanya. Maka sesungguhnya Allah memberinya makan dan minum.
– HR Bukhari (no: 6292)-

Begitu juga perkara-perkara lain yang membatalkan puasa, jika dilakukan secara lupa tidak membatalkan puasa.

Wallahu A’lam.

Rujukan:
– Majmuk Nawawi 6/324

Sumber : disunting dari Soal Jawab Agama, http://abuumair1.wordpress.com/

Haidh Terputus Sehari, Kena Ganti Puasa?

Soalan : Seorang wanita datang haid selama 5 hari, hari ke 6 telah berhenti haidnya dan telah mandi wajib dan berpuasa pada hari itu. Hari ke 7, datang semua haidnya. Soalannya, perlukah wanita tersebut qadha untuk hari ke 6 itu? Adakah dia telah benar-benar suci pada hari ke 6 itu?

Sekian

Jawapan :

Kebanyakan fuqaha berpendapat sekurang-kurang waktu suci antara dua haidh ialah 15 hari. Dan ada pendapat (mazhab Hanbali) mengatakan 13 hari. Ada riwayat dari Malik iaitu 10 hari.

Oleh itu, jika terhenti pada hari ke-6, dan datang darah balik pada keesokannya, maka tempoh suci itu baru sehari. Maka ia tidak dinamakan suci. Ia masih dihukum sebagai haidh. Maka jika dia berpuasa hari itu, wajib diqadha’kan balik puasanya nanti.

Wallahu A’lam.

Rujukan:

  • Syarah Kabir Ibn Qudamah 1/322
  • Al-Hawi al-Kabir 1/435

Sumber : disunting dari Soal Jawab Agama, http://abuumair1.wordpress.com/

Puasa Wanita Haidh

Soalan : Masa kecil-kecil dulu mak saya selalu cakap bahawa perempuan yang haid tak boleh berbuka bersama dengan orang yang berpuasa. katanye dilarang. Jadi, mesti makan selepas orang berbuka puasa. Kemudian saya walaupun period tetapi bersahur dan berpuasa seperti orang yang berpuasa. Tetapi ada yang kata dilarang sebab ALLAH dah beri kelonggaran . Jadi tak sepatutnya menolak nikmat makan di siang hari. Jadi, mohon penjelasan dari ahli panel yg dihormati.

Jawapan:

Wanita yang haidh;

  • Haram berpuasa.
  • Jika berpuasa, tidak sah puasanya.
  • Wajib qadha’ hari-hari yang dia haidh.

Dalilnya:
Hadis: “Apabila seorang wanita haidh, maka tidak bersolat dan tidak berpuasa”.
– HR Bukhari 1/116 –

Ibn Qudamah berkata: “Jika wanita haidh niat puasa, dan menahan diri dari makan minum, sedangkan dia tahu HARAM puasa, maka dia BERDOSA, dan puasanya tidak dikira”. – al-Mughni 4/391 –

Syeikh Muhammad al-Syanqiti ditanya tentang masalah wanita haidh berpuasa, jawabnya “Jika dia tahu haramnya puasa, tetapi dilakukan juga, maka dia berdosa.”

Hatta para ulama mengatakan “Jika wanita yang sedang puasa, tiba-tiba beberapa minit sebelum Maghrib dia haidh, maka dia sudah dikira berbuka, dan wajib qadha hari itu”.

Rujukan: Syarah Zad Mustaqni’ Syanqiti, dan Syarah Mumti’ Uthaimin.

Manakala anda bangun sahur pula, ia tidaklah dianggap makan sahur, kerana sahur hanya khas untuk orang yang berpuasa. Jadi, ia dianggap makan sarapan sebelum Subuh. Jangan menganggap ia makan sahur, kerana jika niat bersahur, bererti anda mahu berpuasa, sedangkan ia HARAM bagi wanita haidh.

Akhir kata, berbuka puasa untuk wanita haidh ini bukannya rukhsah boleh atau tidak, TETAPI adalah azimah yg wajib diterima wanita Islam.

Sumber : disunting dari Soal Jawab Agama, http://abuumair1.wordpress.com/

Wanita Keluar Mani Batal Puasa?

Soalan : Merujuk kepada persoalan dan jawapan berikut (diforum Al-Ahkam.net);

Bagaimana hukum puasa si isteri dan suami jika keluar air dari kemaluan semasa berasmaradana (muqaddimah persetubuhan)?

Jawapan; Jika hasil dari mubasyarah (foreplay) itu mengeluarkan mazi, maka puasanya tidak apa-apa. Jika keluar mani, maka yang keluar mani itu telah batal puasanya. Ini kerana keluar mani membatalkan puasa (Imam Nawawi, ibid)

——————————————

Persoalannya,

1) Bagaimanakah yang dikatakan air mani wanita? Adakah pada keghairahannya?

2) Jika air mani wanita itu ada atau terkeluar. Sudah pasti puasanya batal. Adakah wanita atau isteri tersebut kena kaffarah puasanya atau sekadar qadha puasa sahaja? Sebab tak berlaku persetubuhan, hanya muqaddimah sahaja.

Mohon pencerahan

Jawapan:

1) Ulama menyebut ciri-ciri mani, iaitu yang ada salah satu daripada tiga;

  • Bau yg kurang enak. Masa cair, baunya seperti tepung diuli, dan masa kering baunya seperti putih telur.
  • Keluar dengan memancut.
  • Keluar dengan syahwat, dan selepas itu badan terasa lemah.

(bagi yg wanita: agak cair dan warnanya kekuningan).

Dinukilkan daripada kebanyakan ulama ketiga-tiga sifat di atas adalah pada mani lelaki dan juga wanita. Dan ada fuqaha yg kata: mani wanita hanya dikenali dengan ciri ketiga sahaja.

Rujukan: Fathul Aziz 2/121, Majmuk nawawi 2/141, Syarah Mumti’ Uthaimin 1/277-278.

2) Jika terkeluar mani samada lelaki atau wanita dengan cara mubasyarah, maka batal puasa. Ini pendapat keempat-empat mazhab. Dalilnya:

a. Ada hadis sahih menyebut tentang puasa, iaitu: “Meninggalkan makanannya, minumannya, dan syahwatnya kerana AKU (ALLAH)”. Bukhari 2/670.

b. Qiyas kepada muntah dengan sengaja. Sebagaimana muntah melemahkan badan kerana makanan keluar, begitu juga mani melemahkan badan apabila keluar. Maka sengaja mengeluarkannya membatalkan puasa.

Diceduk daripada Syarah Syeikh Muhammad al-Syanqiti Hafizahullah,

Kaffarah hanya dikenakan dalam permasalahan jimak. Manakala mubasyarah, dan seumpamanya TIDAK mewajibkan kaffarah sekalipun sehingga keluar mani.

Kecuali anda memilih pandangan yang mewajibkan kaffarah jika berbuka puasa dengan apa cara sekalipun, hatta makan dan minum.

Wallahu A’lam

Sumber : disunting dari Soal Jawab Agama, http://abuumair1.wordpress.com/

Ganti Puasa Wanita Mengandung

Soalan: Saya mempunyai satu kemusykilan. Isteri saya semasa Ramadhan nanti dia akan mengandung 7 bulan tetapi dia tidak lg lengkap mengqadha’ puasanya yang lepas.

Soalannya:

1) Jika dia tidak mampu untuk mengqadha’kan puasanya sekarang, adakah boleh dia mengqadha’ puasanya selepas bersalin nanti (selepas raya)? Ini kerana sekarang dia bimbang akan merasa keletihan yang amat sangat apabila berpuasa.

2) Adakah perlu membayar fidyah (menurut pendapat 4 mazhab)?

Diharap mendapat pencerahan secepat mungkin.

Jawapan:

1) Kalaulah pada bulan Ramadhan bukan wajib berpuasa padanya, boleh berbuka kerana uzur mengandung, maka pada bulan selain Ramadhan adalah lebih aula untuk boleh baginya menangguhkan qadha’nya. Jadi, diharuskan untuk menangguhkan qadha’ Ramadhan sehingga hilang keuzurannya.

2) Sekiranya ditangguhkan qadha’ ramadhan sehingga tahun berikutnya, disebabkan oleh uzur seperti sakit sepanjang tahun, atau hamil, atau menyusu sepanjang tahun, maka tidak dikenakan fidyah. Yang wajib hanyalah puasa.

Tapi kalau menangguhkan puasanya tanpa uzur, ada 2 pendapat:

Pertama: Wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada seorang untuk satu hari. ini pendapat jumhur ulama, Maliki, Syafie, Hanbali, dan diriwayatkan daripada sebahagian sahabat dan tabien.

Kedua: Tidak perlu membayar fidyah. ini pendapat mazhab Hanafi. Dan ditarjihkan oleh Syeikh Soleh Uthaimin, kerana tiada dalil sahih yang mewajibkan membayar fidyah. Maka kembali kepada hukum asal, iaitu tidak dikenakan apa-apa fidyah.

Wallahu A’lam.

Sumber : Soal Jawab Agama, http://abuumair1.wordpress.com/

Vaksin Lemak Babi, Doa kepada Non Muslim & Euthanasia

Berita Harian, 13 Okt 2002

Oleh MONA AHMAD

KUALA LUMPUR: Penggunaan suntikan pelalian quadrivalent meningokokal (ACYW 135) diperbuat daripada lemak babi dibenarkan dalam Islam kerana ia sudah melalui proses transformasi yang menjadikannya bahan lain, kata Persatuan Perubatan Islam Malaysia.

Presidennya, Dr Musa Mohd Nordin, berkata menerusi kaedah itu, gelatin diperbuat daripada tulang, kulit dan tendon haiwan yang tidak suci dibenarkan, begitu juga sabun daripada lemak babi dan haiwan mati.

Transformasi mengikut Seminar Perubatan-Fiqh Kelapan pada 1995 bermaksud sesuatu proses yang membolehkan sesuatu objek itu diubah kepada bentuk lain termasuk dari segi sifat dan kandungan, menyucikan bahan terbabit melalui proses tertentu, sekali gus menukarkan sesuatu yang tidak dibenarkan oleh syariah kepada yang dibenarkan.

“Walaupun sesetengah vaksin ACYW 135 pada asalnya diperbuat daripada lemak babi, selepas melalui pelbagai proses, ia lahir sebagai bahan baru dan jelas penggunaannya dibenarkan dalam Islam.

“Vaksin ini diwajibkan ke atas jemaah haji dari seluruh dunia yang mengerjakan haji. Keputusan mengenai kebenaran menggunakan vaksin berasaskan lemak babi ini dibuat oleh kumpulan ulama fiqah terkenal dari seluruh dunia termasuk Yusuf Qardawi dalam Seminar Perubatan – Fiqh Kelapan pada 1995 di Kuwait,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Bertemu Pakar di Persidangan Kedua Pusat Perubatan Universiti Malaya: Perubatan Daripada Perspektif Islam, di sini semalam. Persidangan tiga hari bermula kelmarin disertai 450 pengamal perubatan itu, anjuran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Berhubung kebenaran berdoa untuk bukan Islam bagi menyembuhkan penyakit, pensyarah Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Fauzi Deraman berkata Islam tidak pernah melarang umatnya menggunakan ayat al-Quran untuk merawat penyakit tidak kira pesakit itu orang Islam atau tidak.

“Tidak timbul masalah sama ada Islam atau bukan, kerana dalam satu sudut orang yang bukan Islam itu juga adalah jiran. Dan menjadi tanggungjawab kita untuk melakukan kebaikan kepada jiran kita,” katanya.

Dr Omar pula berkata secara umum, umat Islam boleh mendoakan orang bukan Islam supaya mereka mendapat hidayah dan mengurangkan perbuatan jahat terhadap orang Islam.

“Setahu saya, tiada nas al-Quran atau hadis yang menyentuh mengenai doa orang Islam untuk orang bukan Islam bagi menyembuhkan penyakit. Bagaimanapun, al-Quran mempunyai kesan besar dalam penyembuhan penyakit.

“Di Amerika Syarikat sendiri, ada klinik yang dibuka oleh pengamal perubatan Islam dan ada juga pesakit mereka bukan beragama Islam,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Omar Hasan berkata, hukum syariah adalah anjal.

“Jika berlaku keadaan darurat, maka sesuatu yang haram itu boleh menjadi halal. Ini termasuk kegunaan vaksin daripada lemak babi, yang jelas perlu bagi mengelak serangan penyakit meningitis,” katanya.

Mengenai keraguan pakar bius untuk menghentikan penggunaan mesin hayat bagi pesakit mati otak, Dr Musa berkata mengikut amalan Islam, tiga pakar diperlukan bagi mengesahkan bahawa mesin itu tidak diperlukan selepas penilaian yang mendalam.

“Pelbagai ujian perlu dijalankan terlebih dulu termasuk elektro encephalograf (EEG), bagi memastikan mesin penggunaan hayat boleh dihentikan. Lazimnya, kebenaran waris juga diambil kira,” katanya.

Hukum Khatan Lelaki & Wanita

Soalan : Assalamualaikum ustaz, mengenai hal berkhatan, dapatkah ustaz jelaskan secara terperinci hadis & dalil mengatakan hukum berkhatan bagi lelaki & perempuan ? Saya keliru ada mengatakan perempuan tak diwajibkan dikhatan. Adapun memberitahu perempuan dikhatankan pada bahagian yang sedikit saja.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam,

Dalil utama berkaitan ‘Khatan’ adalah

خمس من الفطرة : الختان والإستحداد وتقليم الأظافر ونتف الإبط وقص الشارب

“Lima perkara fitrah : berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak (cukur) dan memendekkan misai.” (Riwayat Muslim)

Pandangan para ulama dalam memahami hadith di atas terbahagi kepada tiga kumpulan :-

1) Hukumnya sunat bagi lelaki dan wanita . Ia adalah pandangan Imam Malik dalam satu riwayat, Abu Hanfiah dan sebahagian ulama mazhab Syafie.

2) Wajib bagi lelaki dan wanita . Demikian fatwa Mazhab Syafie dan kebanyakan Ulama dan juga pandangan Imam Suhnun anak murid Imam Malik,

3) Wajib bagi lelaki dan hukumnya sunat bagi wanita. Demikian sebahagian ulama Syafie, dan mazhab Hanbali.

Kesimpulan perkara, disepakati bahawa khatan bagi lelaki adalah wajib, dan jika warga lelaki satu negara semuanya tidak berkahatan, maka pemerintah perlu bertindak ke atas mereka.

Syeikh Atiyyah Saqar memberikan ijtihad beliau setelah meneliti dalil-dalil yang ada. Katanya tiada dalil yang sohih serta terlepas dari komentar yang menunjukkan wajib bagi wanita untuk berkhatan.

Syeikh Mahmud Syaltut (bekas Syeikhul Azhar) pula mengatakan bahawa para doktor berkata kesan daripada wanita tidak berkhatan adalah akan menaikkan syahwatnya dan dibimbangi mendorong kepada sesuatu yang tidak diingini.

Berkata pula Prof. Dr Md Hasan Al-Hafnawi, pakar perubatan kulit di kuliah perubatan al-Azhar dan Dr Md Sadiq selepas melihat hadith-hadith Nabi, mereka memberi pandangan dari aspek perubatan.

“Kelentit wanita (yang dipotong sebahagian jika dikhatan) yang berada di pangkal faraj wanita memberi rangsangan terkuat untuk hubungan lelaki dan wanita, dan kekuatan rangsangannya boleh mencecah 7 kali lebih sensitif dari zakar lelaki.” dan pelbagai lagi hasil kajian mereka yang tidak sempat saya terjemahkan. Di akhirnya pakar perubatan ini berkata :

“Demi menjaga maruah dan kehormatan wanita dan kewanitaannya, wajiblah kita mengikuti ajaran Islam dalam hal ini, yang terbaik bagi wanita adalah “isymam” atau memotong sedikit hujung dari kelentit.” ( Majalah, Oktober 1994)

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi setelah membawakan dalil-dalil bagi kumpulan yang mewajibkan berkata, hadith-hadith dalam hal wajib khitan bagi wanita adalah lemah. Justeru khitan adalah wajib bagi lelaki sahaja, dan tidak wajib dan tidak juga sunat bagi wanita. Hanyalah harus bagi wanita, dan digalakkan jika boleh membawa kepada manfaat, dan tidak digalakkan jika sebaliknya.

Qaradawi juga berkata, setakat pengetahuannya bahawa wanita-wanita Arab kebanyakkan tidak berkhitan kecuali Mesir dan Sudan. Adapun negara Arab di Teluk dan Maghribi tiada khatan bagi wanitanya, dan ulamanya juga senyap tiada memberi komen.

Rasulullah Berkhatan

Menurut pandangan dan kajian oleh Imam Ibn Qayyim dalam kitabnya Zadul Ma’ad, pandangan yang paling tepat adalah Rasulullah  SAW di khatankan oleh Abd Mutalib pada hari ketujuh kelahiran baginda mengikut kebiasaan Arab.

Dan pandangan bahawa Rasululllah SAW dilahirkan dalam keadaaan berkhatan adalah lemah, demikian juga pandangan yang menyatakan bahawa Jibrail a.s. yang mengkhatankan baginda semasa membelah dada baginda SAW.

Sumber : disunting dari http://www.zaharuddin.net/