Panduan Ringkas Sepanjang Bulan Ramadhan

Perkara-perkara yang Membatalkan Puasa

1) Makan dan minum dengan sengaja. Jika terlupa atau tersalah atau dipaksa, tidak batal puasanya.

2) Muntah dengan sengaja, seperti menjolok jarinya ke tekak untuk mengeluarkan sesuatu. Jika termuntah, tidak batal puasanya.

3) Keluar haid atau nifas atau melahirkan anak, walaupun sebentar sebelum terbenam matahari.

4) Onani (mengeluarkan mani dengan sengaja) sama ada dengan tangannya, atau isterinya, atau orang lain, atau memeluk isterinya dengan syahwat. Jika keluar mani hanya kerana terpandang atau terfikir sesuatu yang mengghairahkan, maka hukumnya sama dengan mimpi basah di siang hari, i.e. tidak batal puasanya dan tidak wajib qadak. Begitu juga dengan keluar air mazi, tidak batal puasanya.

5) Memasukkan sesuatu ke dalam perut melalui rongga yang terbuka. Tidak batal memasukkan sesuatu ke dalam perut melalui rongga yg tertutup seperti mata (memakai celak atau menitik ubat pada mata) dan sebagainya. Tidak batal juga memasukkan sesuatu melalui rongga terbuka jika tidak sampai ke dalam perut, seperti mengorek hidung atau mengorek telinga atau menitik ubat telinga.

6) Berniat untuk berbuka puasa, walaupun tidak makan apa-apa.

7) Makan, minum atau berjimak kerana menyangka bahawa telah terbenam matahari (masuk waktu Maghrib), tetapi sebenarnya belum. Atau belum terbit matahari (masuk waktu Subuh), tetapi sebenarnya sudah. Ini adalah pandangan jumhur.

8) Berjimak dengan sengaja.

9) Murtad.

10) Gila, walaupun sebentar.

11) Makan atau minum ketika azan subuh dilaungkan. Ramai menyangka masih boleh makan dan minum ketika azan dilaungkan sehinggalah tamat azan. Ini adalah pandangan yang salah, kerana muazzin tidak disyariatkan untuk azan sehinggalah terbit fajar. Sesiapa yang meneruskan makan atau minum selepas muazzin mula melaungkan azan, maka batal puasanya dan wajib qadak.

 

Perkara-perkara yang TIDAK Membatalkan Puasa

1) Mandi atau membasahkan kepala untuk menyegarkan badan atau menghilangkan kepanasan dan dahaga. Jika tertelan air secara tidak sengaja, tidak batal puasanya.

2) Memakai celak, walaupun celak tersebut memasuki matanya, kerana mata bukan rongga terbuka yg menyampaikan bahan tersebut ke dalam perut.

3) Berkucupan sesama suami isteri, jika masih boleh mengawal diri daripada melakukan jimak.

4) Semua jenis suntikan, sama ada IV atau IM, kecuali Parenteral Nutrition (Fluid therapy)

5) Berbekam.

6) Berkumur-kumur dan memasukkan air melalui hidung ketika berwudhuk. Tetapi makruh jika dilakukan secara berlebih-lebihan.

7) Merasa makanan ketika memasak atau ketika ingin membeli makanan tersebut, selagi mana makanan tersebut tidak sampai ke halkum.

8) Menghidu bau-bauan.

9) Makan, minum atau berjimak pada malam hari sehinggalah terbit fajar (masuk waktu Subuh). Jika di dalam mulutnya terdapat makanan ketika azan subuh mula dilaungkan, wajib baginya mengeluarkan kembali makanan tersebut. Jika sengaja menelannya, maka batal puasanya. Begitu juga dengan jimak. Wajib berhenti ketika azan subuh mula dilaungkan. Jika dia menyambungnya, batal puasanya.

10) Bangun pagi dalam keadaan berjunub (hadas besar).

11) Menelan air liur yg bersih dan tidak bercapur dengan bahan lain, dengan syarat air liur tersebut masih berada di dalam kawasan tubuh badannya. Jika dikumpul di dalam bekas lalu diminumnya, batal puasanya.

12) Menggosok gigi. Harus melakukannya pada setiap waktu ketika berpuasa. Mengenai pendapat yang memakruhkan menggosok gigi selepas gelincir matahari, hadis tersebut sangatlah lemah (dhaif jiddan).

13) Tablet nitroglycerin dan yang seumpama dengannya yang diletakkan di bawah lidah (sublingual) . Biasanya digunakan untuk merawat sakit jantung.

14) Semua bentuk rawatan yang melibatkan kemasukan benda atau ubat ke dalam faraj seperti vaginal suppository, pencucian (doush), vaginoscope atau tangan doktor yang memeriksa pesakit (digital examination) .

15) Semua bentuk tiub atau bahan yang dimasukkan ke dalam badan melalui saluran kencing seperti urethroscope, barium, pencuci urethra.

16) Tampal gigi atau cuci gigi selagi mana tidak masuk ke dalam halkum (ditelan).

17) Pendermaan darah atau menerima darah.

18) Bantuan oksigen atau gas pelali (anesthetic gases).

19) Semua jenis krim atau minyak yang disapu pada kulit walaupun dibekalkan dengan bahan kimia yang terserap ke dalam kulit.

20) Ambil darah untuk ujian makmal.

21) Semua jenis salur yang dimasukan ke dalam salur darah untuk tujuan x-ray pada jantung atau mana-mana pada anggota badan (catheterization)

22) Laparoscope yang dimasukan ke dalam abdomen untuk tujuan pembedahan.

23) Semua jenis ubat kumur, seperti mouth-rinsing gargle, penyembur mulut selagi mana tidak masuk ke dalam halkum.

24) Uteroscope atau IUCD (pencegah hamil) yang dimasukan ke dalam rahim.

25) Sampel organ yang diambil dari badan seperti hati atau dari mana-mana anggota badan (biopsy).

26) Ubat asthma (inhaler).

27) Semua jenis ubat yang dimasukan melalui anus (dubur).

28) Pembedahan yang menggunakan pelali seluruh badan (general anesthesia) yang dijalankan pada siang hari setelah pesakit mula berpuasa sejak malam sebelum pembedahan.

29) Suntikan untuk merawat sakit buah pinggang melalui artificial kidney (dialysis) samada peritoneal atau hemodialysis

30) Memasukkan gastroscope ke dalam perut dengan syarat tiada sebarang cecair atau apa-apa bahan rawatan disalurkan.

Rujukan:

  • Fiqh As-Sunnah, Sayyid Sabiq
  • At-Taqriirat As-Sadiidah Fi Al-Masaili Al-Mufidah
  • Ibadah Pesakit Terbitan PERUBATAN Mesir

Sumber : via e-mail, Sdr. Mohd Effy Saiful Mohd Fathil, http://effysaiful.blogspot.com/

Keliru Haid Ketika Puasa

Saya mempunyai waktu haid kebiasaannya 7-8 hari. Baru-baru ini saya dapati darah haid saya kurang daripada biasa. pada hari ke 7, setelah keluar sufrah saya telah mandi hadas dan dapat berpuasa pada 1 Ramadhan. Malam itu saya bersama dengan suami.

Keesokan harinya pada waktu saya hendak solat Zohor saya dapati ada lendir keputihan bercampur coklat. saya jadi bingung sama ada boleh solat dan meneruskan puasa atau tidak.

Adakah ianya dikira haid?

Jawapan oleh Abul Harith;

Apabila seorang perempuan melihat cecair putih atau kuning (yang keluar dari rahim selepas tamat haid), dan dia tahu dia sepatutnya suci buat masa itu, maka dia perlu berniat untuk puasa pada malam sebelumya dan harus meneruskan puasa.

Jika dia tidak pasti bila hari dia benar-benar suci, dia perlu memeriksanya dengan kain putih atau tisu. Jika ia bersih, maka teruskan puasa. Jika ia mula berdarah semula sama ada mengalir ataupun tompokan sahaja, maka dia perlu berhenti berpuasa selagi mana dia berada dalam tempoh haid (Fatwa Lajnah Daimah, 10/154)

Jika tidak berdarah sehingga Maghrib dan dia terus berpuasa seperti yang telah diniatkan pada malam sebelumnya, maka puasanya sah. Jika seorang perempuan merasa pergerakan darah haid dalam badannya tapi ia tidak keluar sehingga terbenam matahari, puasanya sah dan tidak perlu diganti. Jika darah haid atau nifas berhenti waktu malam dan dia berniat puasa, namun tidak sempat mandi wajib bila fajar (azan Subuh) menjelang, puasanya masih sah menurut semua ulama. (Fath al-Bari, 4/148)

Begitu juga, jika seorang wanita tahu haidnya akan datang kesokan harinya, dia masih boleh teruskan niat dan berpuasa. Dia tidak perlu buka puasa melainkan dia betul-betul melihat darahnya.

Rujukan : 70 Perkara Berkaitan Puasa oleh Syaikh Muhammad Salih al-Munajjid

Kaedah Khitan Wanita

Ada kajian, ramai perempuan ada masalah dalam seks berpunca daripada khatan. Perlu pencerahan ni. Contohnya; khatan bagaimana?

Berikut adalah petikan jawapan Abul Harith dari ruangan Soal Jawab Perubatan, Al-Fikrah.net. Dilampirkan di sini untuk perkongsian agar dapat merungkaikan kekeliruan ulama’ juga ahli sains Muslim mahupun non-Muslim tentang isu khatan wanita.

As-Salamua’laykum..

Majoriti ulama’ mengatakan khitan lelaki hukumnya Sunnah. Namun ia disyariatkan dan fitrah, maka ia dituntut. Ia boleh diqiaskan juga dengan hukum azan, ianya Sunnah tidak sampai Wajib mengikut majoriti ulama’. Tapi semua sepakat azan adalah Syariat Islam.

Bagi khitan lelaki, tuntutan khitan juga wujud atas alasan bersuci (thaharah), supaya kulup (smegma) tidak bertakung pada alat sulit lelaki. Namun bagi wanita, tuntutan berkhatan tiada kaitan dengan Thaharah, melainkan mafhum hadis untuk memuliakan wanita, menerangkan & menyenangkan wajah suami.

Izinkan pula saya kupas dari sudut sains perubatan tentang khitan wanita ini untuk menjawab soalan ini.

Khitan wanita biasanya dilakukan dengan dua cara;

1. Memotong sedikit atau menyiat clitoris/kelentit

Clitoris (kelentit) adalah lebihan di atas bukaan faraj. Ia sarat dengan saraf (nerve). Oleh itu, ia adalah tempat paling sensitif apabila diransang.

1.1. Dalam amalan khitan wanita terutama di sebahagian negara Afrika, clitoris ini dipotong secara total. Maka apabila berkahwin, wanita tersebut akan mengalami masalah seks kerana kurang terangsang semasa seks penetratif. Ini akan beri tekanan kepada suami mahupun isteri. Walaupun ada mengatakan G-spot adalah tempat paling sensitif, tapi ia masih teori yang subjektif.

1.2 Terdapat juga wanita yang mudah terangsang apabila clitoris yang sarat dengan saraf bergesel dengan baju, kain ataupun semasa seks penetratif. Ini memberi masalah kepada wanita kerana terlebih ransangan boleh menyebabkan orgasm pramatang. Jadi, khitan semasa kecil dengan mengguris sedikit clitoris boleh mengurangkan rangsangan tersebut apabila kumpulan saraf yang sarat itu ‘dipecahkan’, tapi tidaklah sampai hilang kesemuanya.

2. Menjahit atau memotong kulit permukaan faraj (labia majora & labia minora)

Lipatan kulit pada permukaan faraj terbahagi kepada dua bahagian, iaitu labia majora (bahagian luar) dan labia majora (sebelah dalam).

2.1 Terdapat masyarakat yang mengkhatankan wanita dengan memotong labia majora & labia minora (kulit luar faraj) dengan sedikit ataupun keseluruhannya termasuklah kelentit. Ini menyakitkan dan tiada faedah mahupun kepentingan dari sudut perubatan. Ini diamalkan di banyak negara Afrika sehingga anak gadis tersebut ditambat pada pokok untuk dipotong. Inilah yang digambarkan buruk oleh journalis barat tentang khitan wanita.

2.2. Ada juga masyarakat yang menganggap khitan wanita dengan menjahit kulit permukaan faraj (labia majora & labia minora) untuk menutupnya secara sebahagian atas alasan menjaga kehormatan. Jadi bukaan faraj akan jadi kecil, dan ini memberi masalah kepada wanita bila kahwin kerana suami tidak boleh adakan seks penetratif. Maka, ia terpaksa dibedah untuk membukanya semula. Dikhabarkan juga ada yang menjahitnya secara total, dan ia tidak logik kerana menyukarkan wanita untuk kencing.

Kesimpulan

Kaedah khitan wanita 2.1 (memotong kulit luar faraj secara total atau sebahagian) tidak membawa apa faedah, tidak mencapai matlamat syara’ malahan memudaratkan Muslimah tersebut. Apatah lagi memberi persepsi salah kepada Islam.

Kaedah khitan 1.1 (memotong kelentit secara total) dan 2.2 (menjahit untuk menutup lubang faraj) juga tidak memenuhi maksud syariat, bahkan memberi mudarat kepada wanita & pasangannya apabila berkahwin.

Kaedah 1.2 (mengguris/menyiat sebahagian kelentit) adalah menepati seperti yang dianjurkan hadis demi kemuliaan wanita untuk mengurangkan potensi ransangan syahwat. Ia bukanlah wajib. Tidak mengapa jika tidak dilakukan. Dan sangat digalakkan jika didapati wanita tersebut sangat mudah teransang.

Akhirnya, mengetahui penjelasan sains perubatan & maksud syariah amat penting bagi umat Islam dalam menentukan teknik khitan wanita yang dituntut, agar tiada mudarat kepada wanita & bakal suaminya di masa kelak.

WaLLAHu a’lam.

Solat Dalam Keadaan Hadas Kerana Uzur

Soalan: Apakah hukum jika sesuatu keluar dari qubul dan dubur? Bagaimana jika seseorang mengeluarkan angin dari duburnya, walaupun dia telah mengambil wuduk lebih dari lima kali? Bagaimana pula jika dia terus melakukan solat itu. Adakah dikira darurat?

Jawapan:

Pertama, masalah sesuatu yang keluar dari qubul dan dubur terlalu banyak seperti air mani, air mazi, air wadi, air kencing, tahi, darah haid, darah istihadoh dan darah nifas. Kesemua perkara berikut berbeza hukumnya. Umpamanya, jika air mani keluar seseorang wajib mandi junub. Jika air kencing pula dia wajib membasuhnya.

Kedua, mengeluarkan angin dengan sengaja tanpa keuzuran jelas membatalkan wuduk. Namun, jika penyakit berlanjutan seperti kembung sekali sekala tidak mengapa. Dalam hal ini, seseorang perlu berwuduk setiap kali ingin menunaikan solat. Tidak perlu menghiraukan kentut yang keluar.

Ketiga, sah solat orang yang bernyakit seperti wanita yang mengalami darah penyakit (istihadoh). Begitu juga dengan lelaki yang mengalami kencing tidak lawas (dedas) dan sebagainya. Walahu a’lam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Puasa Wanita Istihadhah

Soalan : Minta bantuan para panel menerangkan permasalahan wanita istihadhah yang ingin berpuasa, sama ada puasa di bulan Ramadhan ataupun sekadar puasa sunat atau puasa ganti. Harap dapat keterangan kerana dari carian sekadar penerangan sekitar permasalahan wanita istihadhah dan solat, terima kasih.

Jawapan:

Hukum wanita istihadhah (darah kerana sakit) adalah sama dengan hukum wanita suci dalam banyak permasalahan. Maka wanita istihadhah wajib sembahyang fardhu, wajib puasa Ramadhan, boleh berpuasa sunat, dan boleh berpuasa ganti ketika waktu istihadhah itu.
Yang menghalang daripada puasa ialah: Haidh dan Nifas sahaja.

Ini adalah pendapat semua keempat-empat mazhab.

 

Rujukan:
-Badai’ Sanaie 1/161 (mazhab Hanafi)

-al-Talqin m/s 73 (mazhab Maliki)

-al-Majmuk 2/417 (Mazhab Syafie)

-Fatwa Lajnah Daemah no: 6495, m/s 5/404.

Wallahu a’lam.

Sumber : disunting dari Soal Jawab Agama, http://abuumair1.wordpress.com/

Menyusu Badan & Niat Ganti Puasa

Soalan :

1. Ketika saya ingin memulakan solat, tiba-tiba sahaja anak saya menangis kerana lapar. Perlukah saya mengulangi wuduk?

2. Bagaimanakah cara berniat ganti puasa? Bolehlah ia dibuat dalam bahasa Melayu?

Jawapan :

1. Menyusukan anak tidak termasuk perkara yang membatalkan wuduk seseorang. Setelah selesai menyusukan anak, puan boleh terus mendirikan solat tanpa mengulangi wuduk.

2. Tempat niat adalah dalam hati. Melafazkannya langsung tidak dituntut oleh syarak. Cukuplah sekadar puan beriktikad dalam hati pada malam itu bahawa puan ingin berpuasa esoknya.

Sesungguhnya TUHAN yang kita seru ini Maha Mendengar dan Mengetahui apa yang terdetik dalam hati seseorang. Terpulanglah pada puan untuk menggunakan sebarang bahasa yang mudah dan difahami.

Tiada gunanya berniat dalam bahasa Arab jika puan sendiri pun tidak tahu dan tidak faham maksudnya. Agama ini mudah. Janganlah kita menyusahkan diri dengan sesuatu yang tidak mampu dilakukan.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Melakukan Facial Ketika Puasa

Soalan : Adakah sah puasa seseorang itu jika dia melakukan facial semasa berpuasa?

Jawapan :

Puasa seseorang yang melakukan yang demikian sah di sisi syarak kerana mencuci muka tidak termasuk makan dan minum atau yang sama maksud dengannya. Wallahu a’lam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Keluar Air Mazi Ketika Puasa

Soalan : Adakah batal puasa seseorang itu, ketika waktu puasa terkeluar air mazi? Boleh nyatakan dengan teliti apa itu air mazi?

Jawapan :

Air mazi berbentuk cecair jernih yang keluar melalui kemaluan lelaki dan wanita ketika berkeinginan atau melihat perkara-perkara yang mengghairahkan. Ia najis dan membatalkan wuduk. Cara membersikannya ialah dengan merenjiskan air pada pakaian atau anggota yang terkena cecair itu.

Puasa juga tidak batal dan tidak perlu diganti. Tetapi seseorang hendaklah berusaha mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang boleh membangkitkan syahwat sama ada pada bulan puasa atau tidak. Wallahu alam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Keluasan Fiqh Untuk Pelajar & Pengamal Perubatan

Berikut adalah sedutan dari artikel Tegas Berakidah, Luas Dalam Fekah oleh mantan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Moga menjadi panduan & manfaat buat semua.

Di sana, saya dalam banyak ucapan menceritakan kepada mereka tentang dua perkara yang penting. Pertama, kejelasan dan ketegasan Islam dalam perkara-perkara akidah. Kedua; keluasan dan kemudahan yang diperuntukkan oleh Islam dalam soal fekah.

Perkara ini perlu dijelaskan kerana dalam kalangan umat Islam, termasuk di Malaysia ada yang begitu longgar dalam akidah tapi begitu sempit dalam perkara fekah. Maka kita tidak hairan jika menemui di Malaysia mereka yang berserban atau berkopiah dan begitu takut untuk terkeluar dari mazhab fekah kebiasaannya, namun dalam masa yang sama dia masih percaya kuat kepada bomoh, atau gurunya dianggap ajaib, atau masih percaya tangkal itu dan ini.

Sepatutnya, dalam isu akidah seseorang hendaklah sensitif dan selalu takut akan segala unsur syirik. Sementara dalam soal fekah, ada keluasan yang diberikan oleh syarak yang boleh kita amalkan, namun ramai orang masih takut dengannya.

Umpamanya, di sebelah Eropah ini, pada musim sejuk seperti sekarang, waktu siang agak singkat. Waktu solat mereka berkejaran dengan waktu kelas atau peperiksaan. Sebenarnya, dalam hal yang seperti ini, mereka boleh mengamalkan solat jamak, tanpa qasar. Sekalipun jika mereka menganggap diri mereka sudah tidak bermusafir, mereka tetap mempunyai peruntukan untuk menjamakkan solat tanpa qasar.

Jamak bermaksud menghimpun dua solat dalam satu waktu, samada pada waktu pertama, atau kedua. Ini bagi solat zohor dan asar, atau maghrib dan isyak. Maka boleh dihimpunkan solat zohor dalam waktu asar, atau sebaliknya. Demikian maghrib dan isyak. Adapun qasar, iaitu memendekkan solat empat kepada dua rakaat, maka ia dikhususkan untuk mereka yang bermusafir. Sementara jamak, boleh untuk dilakukan oleh mereka yang sakit, ketakutan, terlalu sibuk, hujan, terlalu sejuk, musafir dan segala kesusahan yang lain.

Dalam hadis Muslim, daripada Sa’id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya: “Rasulullah s.a.w bersolat Zuhur dan ‘Asar secara jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir”. Kata Abu Zubair: “Aku bertanya Sa’id mengapa Rasulullah s.a.w berbuat demikian?”. Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya Ibn ‘Abbas seperti mana engkau bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas: “Kerana baginda mahu agar umatnya tidak beban”.

Maka bagi yang kesuntukan masa, seperti pelajar, atau doktor bedah, atau ahli parlimen, atau polis yang bertugas menjaga lalu lintas, atau mereka menjaga jentera yang sukar untuk ditinggalkan, maka peruntukan jamak ada dalam hadis ini untuk mereka. Namun malangnya di Malaysia, ada yang sanggup meninggalkan solat apabila masuk hospital atas alasan sukar untuk solat.

Apa tidaknya, fekah yang diajar diajar begitu sukar kerana ditokok tambah berbagai hukum lain yang memayahkan. sehingga disuruh sesiapa yang sakit tidak mampu berwuduk sepenuhnya untuk wuduk separuh dan bertayamum sebakinya. Orang sihat pun hanya berwuduk, tiba-tiba yang sakit disuruh wuduk dan tayamum.

Para pelajar di sini mempunyai masalah kerana anjing begitu banyak. Ramai yang membawa anjingnya ke sana sini. Jalan menjadi kotor dengan najis anjing yang berselerakan. Berselisih dan bersentuh dengan anjing bukan perkara luar biasa. Demikian juga dengan daging babi yang amat digemari oleh ‘orang puteh’. Kefahaman fekah tempatan kita menjadikan sesetengah pelajar kita begitu gusar dalam masalah ini.

Saya telah memberikan beberapa jawaban untuk mereka menceritakan kepelbagaian pandangan sarjana Islam berhubung dengan nilai najis kedua haiwan berkenaan dan bagaimana kita dapat mengambil manfaat dari keluasan fekah Islam dalam hal-hal tersebut. Apa yang penting mereka perlu tegas dalam akidah dan ambil kemudahan fekah yang diberikan syarak.

Sumber : http://drmaza.com

Darah Hitam Keluar Dari Kemaluan

Soalan : Sekiranya darah yang berwarna hitam legam keluar dari kemaluan seseorang tersebut selain dari darah haid, apakah darah tersebut? Adakah ia suatu petanda penyakit?

Jawapan :

Sekiranya darah yang berwarna hitam itu keluar ketika dalam tempoh haid, berserta sengal-sengal di bahagian perut dan pinggang seperti yang terjadi kepada sesetengah wanita ketika didatangi haid, maka ia termasuk kategori darah haid dan haram solat dan puasa.

Tetapi jika ia hanya datang sekejap-sekejap bukan masa haid, maka ia tidak termasuk kategori haid dan wajib solat dan berpuasa jika pada masa itu Ramadan. Darah haid mempunyai pelbagai warna, merah kehitaman, merah cair, kecoklatan kekuningan dan sebagainya.

Mengenai sama ada ia petanda penyakit atau tidak, perkara itu perlu merujuk kepada doktor. Tetapi, dari segi hukum, jika selain haid, solat wajib didirikan dan puasa juga wajib ditunaikan pada waktu yang telah ditetapkan. Bersihkanlah pakaian yang terkena cecair itu setiap kali solat dan berwuduklah bagi setiap solat yang hendak didirikan. Ini kerana, cecair itu najis dan membatalkan wuduk. Wallahu a’lam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my