Panduan Ringkas Sepanjang Bulan Ramadhan

Perkara-perkara yang Membatalkan Puasa

1) Makan dan minum dengan sengaja. Jika terlupa atau tersalah atau dipaksa, tidak batal puasanya.

2) Muntah dengan sengaja, seperti menjolok jarinya ke tekak untuk mengeluarkan sesuatu. Jika termuntah, tidak batal puasanya.

3) Keluar haid atau nifas atau melahirkan anak, walaupun sebentar sebelum terbenam matahari.

4) Onani (mengeluarkan mani dengan sengaja) sama ada dengan tangannya, atau isterinya, atau orang lain, atau memeluk isterinya dengan syahwat. Jika keluar mani hanya kerana terpandang atau terfikir sesuatu yang mengghairahkan, maka hukumnya sama dengan mimpi basah di siang hari, i.e. tidak batal puasanya dan tidak wajib qadak. Begitu juga dengan keluar air mazi, tidak batal puasanya.

5) Memasukkan sesuatu ke dalam perut melalui rongga yang terbuka. Tidak batal memasukkan sesuatu ke dalam perut melalui rongga yg tertutup seperti mata (memakai celak atau menitik ubat pada mata) dan sebagainya. Tidak batal juga memasukkan sesuatu melalui rongga terbuka jika tidak sampai ke dalam perut, seperti mengorek hidung atau mengorek telinga atau menitik ubat telinga.

6) Berniat untuk berbuka puasa, walaupun tidak makan apa-apa.

7) Makan, minum atau berjimak kerana menyangka bahawa telah terbenam matahari (masuk waktu Maghrib), tetapi sebenarnya belum. Atau belum terbit matahari (masuk waktu Subuh), tetapi sebenarnya sudah. Ini adalah pandangan jumhur.

8) Berjimak dengan sengaja.

9) Murtad.

10) Gila, walaupun sebentar.

11) Makan atau minum ketika azan subuh dilaungkan. Ramai menyangka masih boleh makan dan minum ketika azan dilaungkan sehinggalah tamat azan. Ini adalah pandangan yang salah, kerana muazzin tidak disyariatkan untuk azan sehinggalah terbit fajar. Sesiapa yang meneruskan makan atau minum selepas muazzin mula melaungkan azan, maka batal puasanya dan wajib qadak.

 

Perkara-perkara yang TIDAK Membatalkan Puasa

1) Mandi atau membasahkan kepala untuk menyegarkan badan atau menghilangkan kepanasan dan dahaga. Jika tertelan air secara tidak sengaja, tidak batal puasanya.

2) Memakai celak, walaupun celak tersebut memasuki matanya, kerana mata bukan rongga terbuka yg menyampaikan bahan tersebut ke dalam perut.

3) Berkucupan sesama suami isteri, jika masih boleh mengawal diri daripada melakukan jimak.

4) Semua jenis suntikan, sama ada IV atau IM, kecuali Parenteral Nutrition (Fluid therapy)

5) Berbekam.

6) Berkumur-kumur dan memasukkan air melalui hidung ketika berwudhuk. Tetapi makruh jika dilakukan secara berlebih-lebihan.

7) Merasa makanan ketika memasak atau ketika ingin membeli makanan tersebut, selagi mana makanan tersebut tidak sampai ke halkum.

8) Menghidu bau-bauan.

9) Makan, minum atau berjimak pada malam hari sehinggalah terbit fajar (masuk waktu Subuh). Jika di dalam mulutnya terdapat makanan ketika azan subuh mula dilaungkan, wajib baginya mengeluarkan kembali makanan tersebut. Jika sengaja menelannya, maka batal puasanya. Begitu juga dengan jimak. Wajib berhenti ketika azan subuh mula dilaungkan. Jika dia menyambungnya, batal puasanya.

10) Bangun pagi dalam keadaan berjunub (hadas besar).

11) Menelan air liur yg bersih dan tidak bercapur dengan bahan lain, dengan syarat air liur tersebut masih berada di dalam kawasan tubuh badannya. Jika dikumpul di dalam bekas lalu diminumnya, batal puasanya.

12) Menggosok gigi. Harus melakukannya pada setiap waktu ketika berpuasa. Mengenai pendapat yang memakruhkan menggosok gigi selepas gelincir matahari, hadis tersebut sangatlah lemah (dhaif jiddan).

13) Tablet nitroglycerin dan yang seumpama dengannya yang diletakkan di bawah lidah (sublingual) . Biasanya digunakan untuk merawat sakit jantung.

14) Semua bentuk rawatan yang melibatkan kemasukan benda atau ubat ke dalam faraj seperti vaginal suppository, pencucian (doush), vaginoscope atau tangan doktor yang memeriksa pesakit (digital examination) .

15) Semua bentuk tiub atau bahan yang dimasukkan ke dalam badan melalui saluran kencing seperti urethroscope, barium, pencuci urethra.

16) Tampal gigi atau cuci gigi selagi mana tidak masuk ke dalam halkum (ditelan).

17) Pendermaan darah atau menerima darah.

18) Bantuan oksigen atau gas pelali (anesthetic gases).

19) Semua jenis krim atau minyak yang disapu pada kulit walaupun dibekalkan dengan bahan kimia yang terserap ke dalam kulit.

20) Ambil darah untuk ujian makmal.

21) Semua jenis salur yang dimasukan ke dalam salur darah untuk tujuan x-ray pada jantung atau mana-mana pada anggota badan (catheterization)

22) Laparoscope yang dimasukan ke dalam abdomen untuk tujuan pembedahan.

23) Semua jenis ubat kumur, seperti mouth-rinsing gargle, penyembur mulut selagi mana tidak masuk ke dalam halkum.

24) Uteroscope atau IUCD (pencegah hamil) yang dimasukan ke dalam rahim.

25) Sampel organ yang diambil dari badan seperti hati atau dari mana-mana anggota badan (biopsy).

26) Ubat asthma (inhaler).

27) Semua jenis ubat yang dimasukan melalui anus (dubur).

28) Pembedahan yang menggunakan pelali seluruh badan (general anesthesia) yang dijalankan pada siang hari setelah pesakit mula berpuasa sejak malam sebelum pembedahan.

29) Suntikan untuk merawat sakit buah pinggang melalui artificial kidney (dialysis) samada peritoneal atau hemodialysis

30) Memasukkan gastroscope ke dalam perut dengan syarat tiada sebarang cecair atau apa-apa bahan rawatan disalurkan.

Rujukan:

  • Fiqh As-Sunnah, Sayyid Sabiq
  • At-Taqriirat As-Sadiidah Fi Al-Masaili Al-Mufidah
  • Ibadah Pesakit Terbitan PERUBATAN Mesir

Sumber : via e-mail, Sdr. Mohd Effy Saiful Mohd Fathil, http://effysaiful.blogspot.com/

Preimplantation Genetic Diagnosis

Soalan : Apa hukum Islam tentang teknologi Preimplantation Genetic Diagnosis?

Dijawab oleh Abul Harith

Preimplantation Genetic Diagnosis (PGD) atau Embryo Screening adalah prosedur untuk mengenalpasti penyakit genetik yang mungkin dibawa bayi tersebut. Memandangkan PGD ini hanya boleh dilakukan bagi mereka yang melakukan kaedah IVF, maka hukumnya juga tertakluk kepada kaedah IVF. Dengan kata lain, pasangan tertentu yang dibenarkan melakukan IVF, maka dibenarkan melakukan PGD.

Sila rujuk https://fiqhmedic.wordpress.com/2008/05/21/mendapat-anak-dengan-kaedah-persenyawaan-luar-rahim/

Syarat-syarat yang membolehkan PGD semasa IVF adalah;

sperma dan ovum adalah dari pasangan yang sah kahwin

tidak dibenarkan ditumpangkan kepada wanita lain

mendapat perakuan doktor tentang ketidakupayaan pasangan terbabit mendapatkan anak secara biasa melainkan melalui kaedah IVF

Teknologi PGD adalah bertujuan untuk mengelakkan penyakit genetik pada embryo sebelum diimplant ke rahim si ibu. Adalah tidak munasabah bagi mereka yang membayar harga mahal untuk melakukan IVF, akhirnya diletakkan embryo yang berpenyakit di dalam rahimnya.

Selain itu, terdapat beberapa pra-syarat yang membolehkan PGD dilakukan. Antaranya;

Pasangan yang salah satu dari mereka mempunyai sejarah keluarga yang mewarisi atau membawa genetik penyakit tersebut ataupun pengidap penyakit genetik.

Wanita yang berumur 35 tahun ke atas (pemeriksaan untuk aneuploidy kerana umur si ibu)

Wanita dengan kes keguguran berulang, yang mungkin disebabkan oleh nombor kromosom yang tidak normal, sama ada dari sebelah lelaki atau wanita.

Pasangan dengan kes translokasi kromosom (chromosome translocations), yang menyebabkan kegagalan implantasi, keguguran berulang dan masalah mental atau fizikal kepada zuriat.

Pasangan yang mempunyai kes kegagalan IVF yang berulang

Lelaki yang tidak subur yang memerlukan intracytoplasmic sperm injection (ICSI)

Kontroversi yang biasa dikaitkan dengan PGD adalah penyalahgunaan untuk pemilihan jantina “sex selection” yang digemari pasangan sahaja. Maka, PGD adalah HARAM jika sudah melibatkan pemilihan jantina. Kerana ia tiada bezanya dengan amalan masyarakat jahiliah terdahulu yang menguburkan anak perempuan mereka hidup-hidup.

WaLLAHu a’lam.

Rujukan : http://www.emedicine.com/MED/topic3520.htm

Akikah Bayi Yang Meninggal

Soalan: Saya melahirkan anak dalam sudah tidak bernyawa. Apakah saya boleh membuat akikah untuknya?


Jawapan: Sekiranya dia lahir atau janin yang gugur dalam keadaan telah ditiupkan ruh, iaitu setelah berlalunya empat bulan ibunya mengandungkannya maka boleh diakikahkan untuknya. Ini kerana ia layak dinamakan bayi.

Sumber : http://drmaza.com

Mengawal Kelahiran

Soalan : Adakah mengawal kelahiran diizinkan dalam Islam

Dijawab oleh Sheikh `Abd al-Wahhâb al-Turayrî, mantan Professor di Universiti al-Imâm, Riyadh

Penggunaan ubat-ubatan atau apa sahaja bentuk kawalan kelahiran yang akan mencegah kehamilan secara kekal (pemandulan) adalah tidak dibenarkan melainkan si ibu tenat atau berada dalam situasi di mana doktor memutuskan bahawa kehamilan boleh membahayakannya. Dalam kes sebegini, seorang wanita boleh mengambil langkah kekal untuk mengelak kehamilan. Ianya merujuk kepada pemandulan kekal ataupun kaedah lain.

Mengawal kelahiran diizinkan untuk semua wanita dalam bentuk merancang waktu kehamilan patut berlaku. Ia boleh dipraktikkan, apabila dan selama mana ia diperlukan bagi wanita untuk menangguh dari kehamilan. Sebarang bentuk kawalan kelahiran boleh diamalkan walaupun tanpa keperluan perubatan/kesihatan, selagi mana ia tidak menyebabkan kemandulan berterusan.

Prinsip umum dalam hal ini adalah dibenarkan melainkan apabila ada bukti khusus yang menyatakan sebaliknya. Tambahan pula, sebahagian Sahabat mengamalkan al-`Azl (menarik alat sulit supaya mani terpancut di luar rahim) semasa zaman Nabi s.a.w. dan Baginda tidak melarang mereka berbuat demikian.

Dan ALLAH mengetahui yang terbaik.

Sumber: dialihbahasa dari Arkib Fatwa, http://islamtoday.com

Puasa Wanita Istihadhah

Soalan : Minta bantuan para panel menerangkan permasalahan wanita istihadhah yang ingin berpuasa, sama ada puasa di bulan Ramadhan ataupun sekadar puasa sunat atau puasa ganti. Harap dapat keterangan kerana dari carian sekadar penerangan sekitar permasalahan wanita istihadhah dan solat, terima kasih.

Jawapan:

Hukum wanita istihadhah (darah kerana sakit) adalah sama dengan hukum wanita suci dalam banyak permasalahan. Maka wanita istihadhah wajib sembahyang fardhu, wajib puasa Ramadhan, boleh berpuasa sunat, dan boleh berpuasa ganti ketika waktu istihadhah itu.
Yang menghalang daripada puasa ialah: Haidh dan Nifas sahaja.

Ini adalah pendapat semua keempat-empat mazhab.

 

Rujukan:
-Badai’ Sanaie 1/161 (mazhab Hanafi)

-al-Talqin m/s 73 (mazhab Maliki)

-al-Majmuk 2/417 (Mazhab Syafie)

-Fatwa Lajnah Daemah no: 6495, m/s 5/404.

Wallahu a’lam.

Sumber : disunting dari Soal Jawab Agama, http://abuumair1.wordpress.com/

Qadha’ Puasa Kerana Nifas

Soalan : Saya nak tanya. Sekiranya ada wanita yang mengalami nifas sepanjang bulan Ramadhan selepas melahirkan anak, dan dalam masa yang sama menyusukan anak tersebut. Bagaimana wanita tersebut sepatutnya menggantikan puasa? Saya ada bertanya kan beberapa orang ustaz, ada yang menjawab;

1. Bayar fidyah sahaja, tanpa qadha’, kerana ia termasuk wanita yang menyusukan anak.
2. Qadha’ sahaja, tanpa fidyah, kerana ia termasuk wanita yang nifas dimana haram puasanya.

Wallahualam.

 

Jawapan :

 

Haidh dan Nifas adalah uzur syar’ie yang menghalang daripada sah puasa. Jadi, wanita nifas, HARAM puasa, dan TIDAK SAH puasanya. Selepas selesai nifasnya, maka hendaklah qadha’ puasanya tanpa fidyah. Masalah ini adalah ijmak tiada khilaf padanya.

 

Rujukan:
-Majmuk Nawawi 6/257

 

Wallahu A’lam.

 

Sumber : disunting dari Soal Jawab Agama, http://abuumair1.wordpress.com/

Menyusu Badan & Niat Ganti Puasa

Soalan :

1. Ketika saya ingin memulakan solat, tiba-tiba sahaja anak saya menangis kerana lapar. Perlukah saya mengulangi wuduk?

2. Bagaimanakah cara berniat ganti puasa? Bolehlah ia dibuat dalam bahasa Melayu?

Jawapan :

1. Menyusukan anak tidak termasuk perkara yang membatalkan wuduk seseorang. Setelah selesai menyusukan anak, puan boleh terus mendirikan solat tanpa mengulangi wuduk.

2. Tempat niat adalah dalam hati. Melafazkannya langsung tidak dituntut oleh syarak. Cukuplah sekadar puan beriktikad dalam hati pada malam itu bahawa puan ingin berpuasa esoknya.

Sesungguhnya TUHAN yang kita seru ini Maha Mendengar dan Mengetahui apa yang terdetik dalam hati seseorang. Terpulanglah pada puan untuk menggunakan sebarang bahasa yang mudah dan difahami.

Tiada gunanya berniat dalam bahasa Arab jika puan sendiri pun tidak tahu dan tidak faham maksudnya. Agama ini mudah. Janganlah kita menyusahkan diri dengan sesuatu yang tidak mampu dilakukan.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Dedah Aurat Ketika Bersalin

Soalan : Apakah hukum mendedahkan aurat diri kepada orang lelaki, contohnya semasa ibu yang ingin melahirkan anak sudah tentunya akan mendedahkan aurat. Malah ada doktor lelaki yang menyambut bayi tersebut. Apa pandangan Islam dalam hal tersebut?

Dijawap oleh Ustazah Sakinah

Jawapan : Dalam ilmu usul fiqh, terdapat satu prinsip yang disebut sebagai ‘perkara darurat mengharuskan perkara yang haram’. Para ulama sepakat bahawa harus bagi seorang doktor lelaki melihat bahagian anggota wanita yang sakit jika perlu berserta mengikut syarat yang ditetapkan oleh syariat. Begitu juga dengan aurat lelaki yang harus dilihat oleh doktor perempuan. Selain itu prinsip syarak juga menyebut bahawa ‘darurat itu diukur mengikut kadar keperluannya’.

Jadi, jika diharuskan melihat, membuka, menyentuh aurat dan sebagainya mengikut keperluan rawatan. Ia tidak dibolehkan dalam keadaan biasa. Hal ini dibolehkan dengan syarat tertentu, iaitu:

1. Mendahulukan rawatan lelaki dengan lelaki dan wanita dengan wanita, mendahulukan doktor muslimah, kemudian doktor wanita kafir, kemudian lelaki muslim kemudian barulah lelaki kafir.

2. Tidak melebihi tempat biasa yang perlu dibuka. Cukup dengan hanya mendedahkan tempat yang perlu sahaja.

3. Jika huraian pesakit sudah mencukupi, maka tidak perlu sentuh atau buka aurat.

4. Wanita hendaklah ditemani suami, mahram atau wanita lain yang berakhlak.

5. Doktor tersebut seorang yang amanah, tidak pernah didakwa dengan pelbagai perangai buruk.

Wallahu a’lam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Wanita Menyusukan Anak Berpuasa (Breastfeeding)

Soalan : Assalamu’alaikum, Saya nak bertanya tentang rukhsah untuk wanita berpuasa. Sesetengah orang seolah tidak bersetuju jika wanita yang menyusukan anak berbuka puasa kerana supply susu badan (yang diperah) tidak mencukupi untuk bayi kerana letih berpuasa.

Satu lagi, apakah yang dikatakan mudarat bagi wanita menyusukan anak ini? Adakah BP rendah, tak cukup susu, letih yg teramat, menggigil dikira sebagai mudarat yang membolehkan rukhsah? Adakah benar tindakan ibu-ibu ini dari segi hukum rukhsahnya?

Terima kasih.

Jawapan oleh Abul Harith:

Wassalam & terima kasih Team Ratuhati.com.

Mengenai rukhsah untuk wanita hamil yang menyusukan anak berbuka puasa, ianya telah pun jelas melalui hadith artikel di atas.

https://fiqhmedic.wordpress.com/2008/08/31/kemudahan-dan-keringanan-ketika-berpuasa/

Ia dibenarkan andai dikhuatiri kesihatan ibu dan bayi terjejas kerana itu. Dari pengamatan saya, terdapat beberapa keadaan di mana puasa memberi kesan kepada wanita tersebut.

Pertama ialah dehidrasi. Antara komplikasi utama yang membolehkan wanita menyusukan anak berbuka puasa adalah dehidrasi atau kekurangan air dalam badan. Tanda-tanda yang puan nyatakan seperti tekanan darah rendah, letih, menggigil, rasa loya, pening-pening dan rasa haus yang teruk adalah berpunca dari dehidrasi. Apabila terdapat gejala sebegini, maka dibenarkan berbuka.

Kekurangan susu pula adalah akibat dari dehidrasi yang teruk. Namun, terdapat beberapa kajian yang menunjukkan puasa di bulan Ramadhan tidak membawa kepada dehidrasi kepada ibu yang menyusukan anak. Kecuali apabila si ibu kurang menitik beratkan amalan sahur dan tidak meminum air yang cukup dalam selang waktu yang lama sebelum berpuasa.

Kedua ialah si ibu pengidap diabetes. Puasa boleh menjadi risiko kepada golongan ini. Diabetes mellitus menyebabkan kandungan gula dalam darah tinggi (hypeglycemia) sehingga menyebabkan rasa haus yang teruk dan kehilangan air melalui kencing yang kerap. Ia akan membawa kepada dehidrasi seperti yang telah diterangkan. Maka diharuskan baginya berbuka.

Ketiga adalah ibu yang mengandung pada usia lewat. Golongan ini kebiasaannya dikaitkan dengan penyakit yang mungkin apabila usia telah meningkat. Masalah lain adalah ketidakseimbangan fungsi badan untuk mengawal glukos dalam darah. Ia akan membawa kepada haus dan lapar yang tiba-tiba (accelerated starvation).

Punca kurang susu ibu. Jika menurut kajian di atas, punca kekurangan susu tidak boleh dikaitkan sepenuhnya dengan puasa kecuali berlakunya dehidrasi. Dalam banyak keaadaan, kerisauan ibu yang takut letih & kekeringan susu menyebabkan mereka kurang menyusukan bayi mereka semasa puasa. Kurangnya rangsangan kepada payudara membawa kepada kurangnya susu.

Ini kerana konsep utama breastfeeding ini adalah demand and supply. Lagi banyak demand, lagi banyak supply yg dihasilkan. Badan kita memahami demand untuk menyusu ini bila bayi kerap menyusu (8-12 kali sehari semalam). Inilah satu-satunya cara secara fisiologi (fitrah fungsi badan) yang paling penting untuk memastikan penghasilan susu yang berterusan.

Di samping hormon prolaktin (berfungsi untuk membuat/menghasilkan susu) dan oksitosin (berfungsi untuk mengeluarkan susu dari payudara), terdapat satu lagi substance penting yang dinamakan Feedback Inhibitor of Lactation (FIL).

FIL adalah sejenis protein yg terdapat di dalam susu yg berkumpul di payudara ibu itu. Ia memberi negative feedback kepada proses penghasilan susu tu. Jika banyak susu tidak dikeluarkan dari payudara (sebab kurang penyusuan dari bayi/kurang diperah keluar), maka banyaklah FIL ini berkumpul dalam payudara. Level FIL yang tinggi ni akan memberi signal supaya kurang susu dihasilkan (negative feedback). Jika perkara ini dibiarkan berterusan, maka lama kelamaan payudara itu akan mengecil.

Sebaliknya, jika susu sentiasa dikeluarkan dari payudara (bayi kerap menyusu / kerap diperah keluar), maka kurang FIL dalam payudara. Level FIL yang rendah ini akan memberi signal supaya lebih banyak susu dihasilkan.

Maka, penyusuan berterusan samada puasa ataupun tidak amat penting supaya payudara tidak terputus menghasilkan susu.

Kajian tentang puasa dan penyusuan susu ibu

Satu kajian dilakukan ke atas wanita Afrika berkenaan hubungan puasa dan breastfeeding mendapati isipadu susu yang dihasilkan tidak terjejas sewaktu puasa. Dan sebanyak 90% wanita Afrika yang hamil dan menyusu akan berpuasa semasa Ramadan. Kajian dari Universiti Colorado juga menegaskan puasa tidak memberi kesan kepada penghasilan susu dari segi isipadu dan kepekatannya.

“Metabolic consequences of fasting during Ramadan in pregnant and lactating women.”

http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/6643131?dopt=Abstract

“Effects of fasting, elevated plasma glucose and plasma insulin concentrations on milk secretion in women.”

http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/8254289?dopt=Abstract

Manakala, kajian oleh Universiti Ankara di Turki merumuskan bahawa kekurangan penghasilan susu dan kesan-kesan lain semasa puasa lebih merupakan kepercayaan tersendiri si ibu. Bimbingan agama dan teknikal amat diperlukan untuk membantu golongan ini.

Fasting by breastfeeding mothers of infants is common during Ramadan, and rates are affected by beliefs of mothers on the effects of fasting on breastfeeding. We believe that child health care providers need to be knowledgeable about religious and cultural phenomena, study the effects of Ramadan fasting and form links with Islamic teachings to find religiously and culturally appropriate methods to combat the possible unfavourable effects for infants and children.”

Attitudes and practices of breastfeeding mothers regarding fasting in Ramadan.

http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/11737021?dopt=Abstract

Syor mengikut rukhsah. Maka, dalam hal ini, rukhsah telah pun diberi. Tiada halangan untuk si ibu berbuka jika risau mudarat kepada dirinya dan bayinya. Jika dia berkeyakinan untuk terus berpuasa tanpa masalah, tiada halangan juga baginya. Isu ini sama seperti rukhsah yang diberikan kepada musafir yakni pemandu bas atau kereta. Tiada faedah baginya berpuasa andai puasa menyebabkannya letih sehingga membahayakan penumpang yang terdiri dari keluarganya yang tersayang.

Syor bagi ibu yang masih risaukan kesan menyusu tapi mahu berpuasa. Golongan ini boleh cuba kaedah breastpump pada sebelah malam dan menyimpan susu tersebut untuk keperluan bayi keesokan hari. Jika masih tidak mampu atau tidak mencukupi, berbuka puasa lebih baik untuknya.

Pandangan serong masyarakat terhadap golongan ibu yang berbuka kerana menyusu tidak dapat dielakkan kerana mereka kurang maklumat. Ia memerlukan masa untuk masyarakat diterangkan dan memahami isu ini. Adalah menjadi anjuran agama untuk si ibu menyusukan anaknya selama dua tahun, dan ia merupakan tugas mulia baginya.

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ

أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ} (14) سورة لقمان

“Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-KU dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-KU-lah kembalimu.”

Lantaran itu, saya menyokong perjuangan pihak ratuhati.com dalam isu ini.

WaLLAHu A’lam. Wassalam.

Ganti Puasa Wanita Mengandung

Soalan: Saya mempunyai satu kemusykilan. Isteri saya semasa Ramadhan nanti dia akan mengandung 7 bulan tetapi dia tidak lg lengkap mengqadha’ puasanya yang lepas.

Soalannya:

1) Jika dia tidak mampu untuk mengqadha’kan puasanya sekarang, adakah boleh dia mengqadha’ puasanya selepas bersalin nanti (selepas raya)? Ini kerana sekarang dia bimbang akan merasa keletihan yang amat sangat apabila berpuasa.

2) Adakah perlu membayar fidyah (menurut pendapat 4 mazhab)?

Diharap mendapat pencerahan secepat mungkin.

Jawapan:

1) Kalaulah pada bulan Ramadhan bukan wajib berpuasa padanya, boleh berbuka kerana uzur mengandung, maka pada bulan selain Ramadhan adalah lebih aula untuk boleh baginya menangguhkan qadha’nya. Jadi, diharuskan untuk menangguhkan qadha’ Ramadhan sehingga hilang keuzurannya.

2) Sekiranya ditangguhkan qadha’ ramadhan sehingga tahun berikutnya, disebabkan oleh uzur seperti sakit sepanjang tahun, atau hamil, atau menyusu sepanjang tahun, maka tidak dikenakan fidyah. Yang wajib hanyalah puasa.

Tapi kalau menangguhkan puasanya tanpa uzur, ada 2 pendapat:

Pertama: Wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada seorang untuk satu hari. ini pendapat jumhur ulama, Maliki, Syafie, Hanbali, dan diriwayatkan daripada sebahagian sahabat dan tabien.

Kedua: Tidak perlu membayar fidyah. ini pendapat mazhab Hanafi. Dan ditarjihkan oleh Syeikh Soleh Uthaimin, kerana tiada dalil sahih yang mewajibkan membayar fidyah. Maka kembali kepada hukum asal, iaitu tidak dikenakan apa-apa fidyah.

Wallahu A’lam.

Sumber : Soal Jawab Agama, http://abuumair1.wordpress.com/