Solat Dalam Keadaan Hadas Kerana Uzur

Soalan: Apakah hukum jika sesuatu keluar dari qubul dan dubur? Bagaimana jika seseorang mengeluarkan angin dari duburnya, walaupun dia telah mengambil wuduk lebih dari lima kali? Bagaimana pula jika dia terus melakukan solat itu. Adakah dikira darurat?

Jawapan:

Pertama, masalah sesuatu yang keluar dari qubul dan dubur terlalu banyak seperti air mani, air mazi, air wadi, air kencing, tahi, darah haid, darah istihadoh dan darah nifas. Kesemua perkara berikut berbeza hukumnya. Umpamanya, jika air mani keluar seseorang wajib mandi junub. Jika air kencing pula dia wajib membasuhnya.

Kedua, mengeluarkan angin dengan sengaja tanpa keuzuran jelas membatalkan wuduk. Namun, jika penyakit berlanjutan seperti kembung sekali sekala tidak mengapa. Dalam hal ini, seseorang perlu berwuduk setiap kali ingin menunaikan solat. Tidak perlu menghiraukan kentut yang keluar.

Ketiga, sah solat orang yang bernyakit seperti wanita yang mengalami darah penyakit (istihadoh). Begitu juga dengan lelaki yang mengalami kencing tidak lawas (dedas) dan sebagainya. Walahu a’lam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Keluar Air Mazi Ketika Puasa

Soalan : Adakah batal puasa seseorang itu, ketika waktu puasa terkeluar air mazi? Boleh nyatakan dengan teliti apa itu air mazi?

Jawapan :

Air mazi berbentuk cecair jernih yang keluar melalui kemaluan lelaki dan wanita ketika berkeinginan atau melihat perkara-perkara yang mengghairahkan. Ia najis dan membatalkan wuduk. Cara membersikannya ialah dengan merenjiskan air pada pakaian atau anggota yang terkena cecair itu.

Puasa juga tidak batal dan tidak perlu diganti. Tetapi seseorang hendaklah berusaha mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang boleh membangkitkan syahwat sama ada pada bulan puasa atau tidak. Wallahu alam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Wanita Keluar Mani Batal Puasa?

Soalan : Merujuk kepada persoalan dan jawapan berikut (diforum Al-Ahkam.net);

Bagaimana hukum puasa si isteri dan suami jika keluar air dari kemaluan semasa berasmaradana (muqaddimah persetubuhan)?

Jawapan; Jika hasil dari mubasyarah (foreplay) itu mengeluarkan mazi, maka puasanya tidak apa-apa. Jika keluar mani, maka yang keluar mani itu telah batal puasanya. Ini kerana keluar mani membatalkan puasa (Imam Nawawi, ibid)

——————————————

Persoalannya,

1) Bagaimanakah yang dikatakan air mani wanita? Adakah pada keghairahannya?

2) Jika air mani wanita itu ada atau terkeluar. Sudah pasti puasanya batal. Adakah wanita atau isteri tersebut kena kaffarah puasanya atau sekadar qadha puasa sahaja? Sebab tak berlaku persetubuhan, hanya muqaddimah sahaja.

Mohon pencerahan

Jawapan:

1) Ulama menyebut ciri-ciri mani, iaitu yang ada salah satu daripada tiga;

  • Bau yg kurang enak. Masa cair, baunya seperti tepung diuli, dan masa kering baunya seperti putih telur.
  • Keluar dengan memancut.
  • Keluar dengan syahwat, dan selepas itu badan terasa lemah.

(bagi yg wanita: agak cair dan warnanya kekuningan).

Dinukilkan daripada kebanyakan ulama ketiga-tiga sifat di atas adalah pada mani lelaki dan juga wanita. Dan ada fuqaha yg kata: mani wanita hanya dikenali dengan ciri ketiga sahaja.

Rujukan: Fathul Aziz 2/121, Majmuk nawawi 2/141, Syarah Mumti’ Uthaimin 1/277-278.

2) Jika terkeluar mani samada lelaki atau wanita dengan cara mubasyarah, maka batal puasa. Ini pendapat keempat-empat mazhab. Dalilnya:

a. Ada hadis sahih menyebut tentang puasa, iaitu: “Meninggalkan makanannya, minumannya, dan syahwatnya kerana AKU (ALLAH)”. Bukhari 2/670.

b. Qiyas kepada muntah dengan sengaja. Sebagaimana muntah melemahkan badan kerana makanan keluar, begitu juga mani melemahkan badan apabila keluar. Maka sengaja mengeluarkannya membatalkan puasa.

Diceduk daripada Syarah Syeikh Muhammad al-Syanqiti Hafizahullah,

Kaffarah hanya dikenakan dalam permasalahan jimak. Manakala mubasyarah, dan seumpamanya TIDAK mewajibkan kaffarah sekalipun sehingga keluar mani.

Kecuali anda memilih pandangan yang mewajibkan kaffarah jika berbuka puasa dengan apa cara sekalipun, hatta makan dan minum.

Wallahu A’lam

Sumber : disunting dari Soal Jawab Agama, http://abuumair1.wordpress.com/