Membesarkan dan Memanjangkan Zakar

Assalamualaikum,

Ustaz, ana ada sedikit kemusykilan mengenai penggunaan ubat tradisional untuk memanjangkan/membesarkan saiz zakar lelaki yang semakin popular hari ini. Ada mengatakan hukumnya haram atas alasan mengubah ciptaan Allah s.w.t. Ada pula mengatakan tidak mengapa atas alasan kesihatan. Adakah alasan untuk menaikkan syahwat dibenarkan untuk membolehkannya? Bagaimana pula dengan penggunaan alatan-alatan seperti pump untuk tujuan yang sama? Mohon tunjuk ajar dan rujukan daripada pihak Fiqhmedic. Wassalam

Wassalam dan Syukran atas soalan.

Jawapan oleh Abul Harith:

Hukum membesarkan dan memanjangkan zakar, tertakluk kepada dua keadaan;

Ia menjadi HARAM apabila;

bertujuan ke arah melakukan zina & maksiat

membuat prosedur yang lebih memudaratkan diri sendiri

Sebaliknya, ia dikira HARUS apabila;

bertujuan mengekalkan keharmonian rumah tangga

bertujuan mendapatkan lebih ramai zuriat

Dalam hal ini, ia bergantung kepada niat individu tersebut. Ianya bergantung kepada tujuan samada baik ataupun buruk. Ia sama seperti hukum pembesaran payudara. Sila rujuk;

https://fiqhmedic.wordpress.com/2008/04/01/pembedahan-pembesaran-payudara/

Namun, mengikut sains perubatan, prosedur pembesaran dan pemanjangan zakar bukanlah satu keperluan atas alasan berikut;

  1. Panjang zakar adalah tetap (fix) pada setiap lelaki iaitu sekitar 5 inci (12-14 cm). Manakala panjang vagina kebanyakan wanita adalah maksimum adalah 4 inci (10 cm). Saiz kebanyakan zakar lelaki adalah memadai.
  2. Disebabkan panjang zakar yang tetap, apa sahaja prosedur sama ada pembedahan atau rawatan lain tidaklah menambah kepanjangan zakar.
  3. Pembedahan dilakukan dengan memotong ligament yang menggantung zakar (samada fundiform & suspensory ligament). Jadi zakar akan tertonjol keluar dan kelihatan lebih panjang.
  4. Implantation silikon boleh membesarkan & memanjangkan zakar, namun terdapat banyak mudarat yang lebih teruk.
  5. Rawatan ubatan tradisional pula dirisaukan mempunyai kandungan yang diragui dan memudaratkan, seperti mendatangkan komplikasi pada hati dan buah pinggang.
  6. Urutan mungkin berkesan untuk melancarkan saluran darah pada zakar, namun hendaklah dilakukan oleh doktor yang pakar. Urutan tradisonal dikhatiri akan merosakkan tisu, salur darah & urat saraf
  7. Penggunaan pump pula adalah untuk merawat mati pucuk (erectile dysfunction), bukannya untuk membesarkan zakar. Penggunaan melampau boleh menyebabkan zakar melecet dan tercedera

Sila rujuk : http://www.webmd.com/a-to-z-guides/penile-enlargement

Bagi mereka yang gemuk dan obese pula, boleh jadi 1/3 hingga ½ pangkal zakarnya dilindungi lemak yang berada di bahagian perut & pubic (pangkal zakar). Jadi senaman dan gaya hidup sihat boleh mengurangkan lemak & menonjolkan zakar kembali.

Berdasarkan kajian juga, kebanyakan individu yang merasakan zakarnya kecil adalah kerana perasaan inferior mereka dan faktor psikologi semata-mata. Begitu juga orang yang mendakwa berjaya membesarkan zakar, kebanyakannya tetap sama, cuma mereka mahu percaya zakar mereka telahpun panjang selepas makan ubat tertentu. Hal ini sama sahaja dengan placecbo effect.

Kesimpulannya, usahlah isu saiz zakar menjadi keresahan Muslim. Jumpalah doktor yang pakar jika ada masalah. ALLAH memerintahkan kita menjaga ‘amanah’ kemaluan yang diberi dengan sebaik-baiknya. Banyakkan pergantungan, ibadah dan doa kepada ALLAH demi menjaga keharmonian rumah tangga.

WaLLAHU a’lam.

Darah Hitam Keluar Dari Kemaluan

Soalan : Sekiranya darah yang berwarna hitam legam keluar dari kemaluan seseorang tersebut selain dari darah haid, apakah darah tersebut? Adakah ia suatu petanda penyakit?

Jawapan :

Sekiranya darah yang berwarna hitam itu keluar ketika dalam tempoh haid, berserta sengal-sengal di bahagian perut dan pinggang seperti yang terjadi kepada sesetengah wanita ketika didatangi haid, maka ia termasuk kategori darah haid dan haram solat dan puasa.

Tetapi jika ia hanya datang sekejap-sekejap bukan masa haid, maka ia tidak termasuk kategori haid dan wajib solat dan berpuasa jika pada masa itu Ramadan. Darah haid mempunyai pelbagai warna, merah kehitaman, merah cair, kecoklatan kekuningan dan sebagainya.

Mengenai sama ada ia petanda penyakit atau tidak, perkara itu perlu merujuk kepada doktor. Tetapi, dari segi hukum, jika selain haid, solat wajib didirikan dan puasa juga wajib ditunaikan pada waktu yang telah ditetapkan. Bersihkanlah pakaian yang terkena cecair itu setiap kali solat dan berwuduklah bagi setiap solat yang hendak didirikan. Ini kerana, cecair itu najis dan membatalkan wuduk. Wallahu a’lam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Derma Tubuh Untuk Cadaver

Soalan : Apa hukumnya mendermakan seluruh tubuh untuk kajian sains? Contohnya cadaver untuk medical students?

Dijawab oleh Abul Harith,

Mendermakan tubuh badan untuk kajian sains atau cadaver adalah tidak dibenarkan Islam. Ini kerana jasad orang Islam adalah dimuliakan.

Hadith Ar-Rasul s.a.w. menyebut,

إِنَّ كَسْرَ عَظْمِ الْمُؤْمِنِ مَيْتًا مِثْلُ كَسْرِ عَظْمِهِ حَيًّا

“Mematahkan tulang mayat seperti mematahkannya dalam keadaan hidup.”

[Ad-Darqutniy/ 2986]

Manusia adalah khalifah ALLAH dimuka bumi, tidak seperti makhluk lain. Apatah lagi makhluk lain telah diciptakan ALLAH untuk dimanfaatkan oleh manusia.

Firman ALLAH,

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الأَرْضِ

“DIA yang telah menciptakan untuk kamu semua apa sahaja di bumi ini keseluruhannya”

-Al-Baqarah, 29-

Pelbagai makhluk lain seperti tupai dan tikus boleh digunakan untuk kajian perubatan demi manfaat Ummah manusia keseluruhannya.

Untuk kegunaan mayat sebagai cadaver pada zaman ini, bukanlah suatu yang mendesak. Lagipun kebanyakannya untuk pelajaran Anatomi. Sudah terdapat ilustrasi buku yang cantik dan replika tulang & tisu yang menyamai jasad sebenar. Ditambah lagi dengan perisian anatomi 3D yang boleh membantu pembelajaran.

Untuk kajian patologi pula, kebanyakan spesimen biasanya diambil dari biopsi tisu ataupun organ yang telah dibuang kerana penyakit, maka tiada halangan untuk mengkaji darinya.

WaLLAHu a’lam.