Cuci Darah (Hemodialisis) Semasa Puasa

Soalan : Apa hukum mencuci darah (hemodialisis) bagi penderita sakit ginjal yang sedang berpuasa. Adakah dia harus qadha atau tidak ?

Dijawab oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin;

Dia wajib mengqadha kerana adanya tambahan darah bersih, dan jika ditambahkan zat lain, maka itu juga sebab pembatalan puasa.

[Fadha’il Ramadhan, disusun oleh Abdurrazaq Hasan, pertanyaan no. 2]

Komen Webmaster : Hemodialisis tidak membatalkan puasa selagi darah yang dicuci itu adalah darah sendiri (darah keluar masuk adalah darah yang sama dari pesakit). Namun jika berlaku pertambahan darah baru dari sumber lain dan dimasukkan zat tambahan, maka puasanya terbatal. WaLLAHu a’lam.

Sumber :Disunting dan dialihbahasa dari http://www.almanhaj.or.id/

Puasa Wanita Istihadhah

Soalan : Minta bantuan para panel menerangkan permasalahan wanita istihadhah yang ingin berpuasa, sama ada puasa di bulan Ramadhan ataupun sekadar puasa sunat atau puasa ganti. Harap dapat keterangan kerana dari carian sekadar penerangan sekitar permasalahan wanita istihadhah dan solat, terima kasih.

Jawapan:

Hukum wanita istihadhah (darah kerana sakit) adalah sama dengan hukum wanita suci dalam banyak permasalahan. Maka wanita istihadhah wajib sembahyang fardhu, wajib puasa Ramadhan, boleh berpuasa sunat, dan boleh berpuasa ganti ketika waktu istihadhah itu.
Yang menghalang daripada puasa ialah: Haidh dan Nifas sahaja.

Ini adalah pendapat semua keempat-empat mazhab.

 

Rujukan:
-Badai’ Sanaie 1/161 (mazhab Hanafi)

-al-Talqin m/s 73 (mazhab Maliki)

-al-Majmuk 2/417 (Mazhab Syafie)

-Fatwa Lajnah Daemah no: 6495, m/s 5/404.

Wallahu a’lam.

Sumber : disunting dari Soal Jawab Agama, http://abuumair1.wordpress.com/

Qadha’ Puasa Kerana Nifas

Soalan : Saya nak tanya. Sekiranya ada wanita yang mengalami nifas sepanjang bulan Ramadhan selepas melahirkan anak, dan dalam masa yang sama menyusukan anak tersebut. Bagaimana wanita tersebut sepatutnya menggantikan puasa? Saya ada bertanya kan beberapa orang ustaz, ada yang menjawab;

1. Bayar fidyah sahaja, tanpa qadha’, kerana ia termasuk wanita yang menyusukan anak.
2. Qadha’ sahaja, tanpa fidyah, kerana ia termasuk wanita yang nifas dimana haram puasanya.

Wallahualam.

 

Jawapan :

 

Haidh dan Nifas adalah uzur syar’ie yang menghalang daripada sah puasa. Jadi, wanita nifas, HARAM puasa, dan TIDAK SAH puasanya. Selepas selesai nifasnya, maka hendaklah qadha’ puasanya tanpa fidyah. Masalah ini adalah ijmak tiada khilaf padanya.

 

Rujukan:
-Majmuk Nawawi 6/257

 

Wallahu A’lam.

 

Sumber : disunting dari Soal Jawab Agama, http://abuumair1.wordpress.com/

Memakai Contact Lens Ketika Puasa

Soalan : Saya ingin tahu hukum puasa apabila kita memakai contact lens. Apakah puasa saya terbatal?

Jawapan :

Di dalam Kitab Fiqh al-‘Ibadat, muka surat 191:

“Puasa orang yang memakai kanta sentuh atau contact lens tidak batal kerana ia tidak masuk ke perut dan bukan kategori makanan atau minuman. Dibolehkan juga menitikkan sebarang ubat mata atau telinga ketika berpuasa walaupun jika ia memasuki halkum. Ia bukan makan atau minum juga tidak termasuk makna makan atau minum.”

Wallahu alam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Menyusu Badan & Niat Ganti Puasa

Soalan :

1. Ketika saya ingin memulakan solat, tiba-tiba sahaja anak saya menangis kerana lapar. Perlukah saya mengulangi wuduk?

2. Bagaimanakah cara berniat ganti puasa? Bolehlah ia dibuat dalam bahasa Melayu?

Jawapan :

1. Menyusukan anak tidak termasuk perkara yang membatalkan wuduk seseorang. Setelah selesai menyusukan anak, puan boleh terus mendirikan solat tanpa mengulangi wuduk.

2. Tempat niat adalah dalam hati. Melafazkannya langsung tidak dituntut oleh syarak. Cukuplah sekadar puan beriktikad dalam hati pada malam itu bahawa puan ingin berpuasa esoknya.

Sesungguhnya TUHAN yang kita seru ini Maha Mendengar dan Mengetahui apa yang terdetik dalam hati seseorang. Terpulanglah pada puan untuk menggunakan sebarang bahasa yang mudah dan difahami.

Tiada gunanya berniat dalam bahasa Arab jika puan sendiri pun tidak tahu dan tidak faham maksudnya. Agama ini mudah. Janganlah kita menyusahkan diri dengan sesuatu yang tidak mampu dilakukan.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Melakukan Facial Ketika Puasa

Soalan : Adakah sah puasa seseorang itu jika dia melakukan facial semasa berpuasa?

Jawapan :

Puasa seseorang yang melakukan yang demikian sah di sisi syarak kerana mencuci muka tidak termasuk makan dan minum atau yang sama maksud dengannya. Wallahu a’lam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Keluar Air Mazi Ketika Puasa

Soalan : Adakah batal puasa seseorang itu, ketika waktu puasa terkeluar air mazi? Boleh nyatakan dengan teliti apa itu air mazi?

Jawapan :

Air mazi berbentuk cecair jernih yang keluar melalui kemaluan lelaki dan wanita ketika berkeinginan atau melihat perkara-perkara yang mengghairahkan. Ia najis dan membatalkan wuduk. Cara membersikannya ialah dengan merenjiskan air pada pakaian atau anggota yang terkena cecair itu.

Puasa juga tidak batal dan tidak perlu diganti. Tetapi seseorang hendaklah berusaha mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang boleh membangkitkan syahwat sama ada pada bulan puasa atau tidak. Wallahu alam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my