Vaksin Lemak Babi, Doa kepada Non Muslim & Euthanasia

Berita Harian, 13 Okt 2002

Oleh MONA AHMAD

KUALA LUMPUR: Penggunaan suntikan pelalian quadrivalent meningokokal (ACYW 135) diperbuat daripada lemak babi dibenarkan dalam Islam kerana ia sudah melalui proses transformasi yang menjadikannya bahan lain, kata Persatuan Perubatan Islam Malaysia.

Presidennya, Dr Musa Mohd Nordin, berkata menerusi kaedah itu, gelatin diperbuat daripada tulang, kulit dan tendon haiwan yang tidak suci dibenarkan, begitu juga sabun daripada lemak babi dan haiwan mati.

Transformasi mengikut Seminar Perubatan-Fiqh Kelapan pada 1995 bermaksud sesuatu proses yang membolehkan sesuatu objek itu diubah kepada bentuk lain termasuk dari segi sifat dan kandungan, menyucikan bahan terbabit melalui proses tertentu, sekali gus menukarkan sesuatu yang tidak dibenarkan oleh syariah kepada yang dibenarkan.

“Walaupun sesetengah vaksin ACYW 135 pada asalnya diperbuat daripada lemak babi, selepas melalui pelbagai proses, ia lahir sebagai bahan baru dan jelas penggunaannya dibenarkan dalam Islam.

“Vaksin ini diwajibkan ke atas jemaah haji dari seluruh dunia yang mengerjakan haji. Keputusan mengenai kebenaran menggunakan vaksin berasaskan lemak babi ini dibuat oleh kumpulan ulama fiqah terkenal dari seluruh dunia termasuk Yusuf Qardawi dalam Seminar Perubatan – Fiqh Kelapan pada 1995 di Kuwait,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Bertemu Pakar di Persidangan Kedua Pusat Perubatan Universiti Malaya: Perubatan Daripada Perspektif Islam, di sini semalam. Persidangan tiga hari bermula kelmarin disertai 450 pengamal perubatan itu, anjuran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Berhubung kebenaran berdoa untuk bukan Islam bagi menyembuhkan penyakit, pensyarah Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Fauzi Deraman berkata Islam tidak pernah melarang umatnya menggunakan ayat al-Quran untuk merawat penyakit tidak kira pesakit itu orang Islam atau tidak.

“Tidak timbul masalah sama ada Islam atau bukan, kerana dalam satu sudut orang yang bukan Islam itu juga adalah jiran. Dan menjadi tanggungjawab kita untuk melakukan kebaikan kepada jiran kita,” katanya.

Dr Omar pula berkata secara umum, umat Islam boleh mendoakan orang bukan Islam supaya mereka mendapat hidayah dan mengurangkan perbuatan jahat terhadap orang Islam.

“Setahu saya, tiada nas al-Quran atau hadis yang menyentuh mengenai doa orang Islam untuk orang bukan Islam bagi menyembuhkan penyakit. Bagaimanapun, al-Quran mempunyai kesan besar dalam penyembuhan penyakit.

“Di Amerika Syarikat sendiri, ada klinik yang dibuka oleh pengamal perubatan Islam dan ada juga pesakit mereka bukan beragama Islam,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Omar Hasan berkata, hukum syariah adalah anjal.

“Jika berlaku keadaan darurat, maka sesuatu yang haram itu boleh menjadi halal. Ini termasuk kegunaan vaksin daripada lemak babi, yang jelas perlu bagi mengelak serangan penyakit meningitis,” katanya.

Mengenai keraguan pakar bius untuk menghentikan penggunaan mesin hayat bagi pesakit mati otak, Dr Musa berkata mengikut amalan Islam, tiga pakar diperlukan bagi mengesahkan bahawa mesin itu tidak diperlukan selepas penilaian yang mendalam.

“Pelbagai ujian perlu dijalankan terlebih dulu termasuk elektro encephalograf (EEG), bagi memastikan mesin penggunaan hayat boleh dihentikan. Lazimnya, kebenaran waris juga diambil kira,” katanya.

Derma Organ Orang Meninggal Dunia

Soalan : Assalamualaikum… Apakah hukumnya kita mendermakan organ kepada orang lain? Adakah itu dibenarkan dalam Islam?.

Jawapan :

Menurut keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, menderma organ (seperti pemindahan mata dan jantung orang yang telah meninggal dunia) kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambilkira:

  1. Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.
  2. Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.
  3. Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggotanya.
  4. Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya di dalam kematian akibat kemalangan.

Sumber : disunting dari soal Jawab Agama JAKIM, http://baheis.islam.gov.my, Nombor Rujukan – Panel(fs)051007

Hukum Euthanasia

Soalan : Assalamualaikum, Saya ingin mengutarakan soalan mengenai euthanasia. Adakah ia haram dalam Islam ?.

Jawapan:

Menurut Panel Kajian Syariah JAKIM Bil.PKS 5/18/PKS/97 bertarikh 10 -11 Jun 1997, membuat keputusan mengenai pertanyaan di atas adalah seperti berikut:

i. Haram membunuh tanpa hak. Berusaha mempercepatkan kematian dengan memberhentikan rawatan atau mengambil ubat-ubatan (racun) adalah umpama membunuh diri. Membunuh diri bermakna melawan kehendak ALLAH dan merampas haknya.

ii. Tugas seorang mukmin (doktor) adalah menolong saudaranya (pesakit) di dalam perkara kebaikan. Membantu mempercepatkan kematian tidak termasuk dalam perkara kebaikan tetapi tergolong dalam perkara yang mendatangkan keburukan dan dosa.

iii. Harus bagi para doktor memberikan ubat penahan sakit kepada pesakit jika tiada pilihan lain sekalipun ia mempunyai kesan sampingan yang boleh mempercepatkan kematian..

Sumber : Soal Jawab Agama JAKIM, http://baheis.islam.gov.my, Nombor Rujukan – PANEL SJAI 011107