Hukum Kahwin Khunsa

Hukum perkahwinan khunsa. Adakah sah, sama ada khunsa mengahwini lelaki atau perempuan?

Sebelum mereka dibenarkan berkahwin, jantina mereka hendaklah ditentukan terlebih berdasarkan fitrah (semulajadi) mereka yg hakiki. Pakar genetik dan perubatan hendaklah mengesahkan status mereka samada lelaki atau perempuan. Jika sudah pasti mereka dibenarkan menjalani rawatan hormon dan pembedahan jantina. Selepas alat kelamin itu berfungsi dengan baik, maka mereka boleh melansungkan perkahwinan seperti biasa. Inilah fatwa alAzhar, Syaikh Ali Jadul Haq.

Sumber : disunting dari http://soaljawab.wordpress.com

 

Solat Bagi Yang Tak Mampu Berwudhu dan Tayammum

Penulis kitab Zaad al-Mustaqni’ berkata: “Atau ketiadaan air dan tanah, hendaklah dia solat dan tidak perlu mengulangi solat tersebut.”  

Syarah dari al-Syeikh Dr. Muhammad Mukhtar al-Syanqiti: 

Sebahagian ulama berkata: (Dalam keadaan di atas) hendaklah dia solat dan mengulangi solatnya, sebahagian yang lain berkata: dia tidak perlu solat dan tidak perlu ulangi solatnya, sebahagian yang lain pula berkata: Dia solat dan tidak perlu ulangi solatnya, sebahagian yang lain berkata: Dia qadhakan solatnya dan tidak perlu solat (ketika itu). Persoalan ini dinamakan sebagai “Masalah Faqid al-Tohurain – orang yang kehilangan dua cara bersuci”. Sebagai contoh: seorang yang dikurung di dalam satu bilik dan kedua-dua tangan dan kakinya diikat, dia tidak mampu untuk berwudhu dan bertayammum. Persoalan ini dinamakan masaalah orang yang hilang dua cara bersuci, samaada secara hakikat seperti seseorang berada ditempat yang tidak ada air dan tanah, contohnya di dalam kapal terbang dan tidak ada di dalamnya apa-apa yang boleh dibuat tayammum iaitu tidak ada sesuatu dari jenis permukaan bumi, sedangkan waktu solat semangkin sempit, dimana jika dia menunggu hingga kapal terbang mendarat, waktu solat akan habis.

 

Maka pendapat yang pertama: Dia tidak perlu solat, sebaliknya dia perlu menunggu sehingga memperolehi air atau memungkinkan dia menggunakan air dan dia ulangi solat yang tidak dikerjakannya itu. Ini kerana solat mestilah dilakukan dalam keadaan berwudhu atau bertayammum, inilah dalil mereka, mereka berkata: Dia tidak perlu solat, sebaliknya perlu ulangi waktu yang dia tinggalkan itu sahaja. Walaupun keadaan itu berterusan sehingga beberapa hari atau beberapa minggu atau beberapa bulan, kerana Allah mengarahkan solat dalam samaada keadaan berwudhu atau mandi atau bertayammum, sebaliknya dia tidak boleh berwudhu, tidak mandi dan tidak tayammum, maka orang sebegini tidak sah untuk dia solat dan tidak boleh diminta menunaikan solat di dalam waktunya kerana dia (ketika itu) bukan orang yang dituntut (mukallaf) menunaikan solat, lalau dilewatkan hukum (kewajian solat) ke atasnya sehingga dia mampu menggunakan (air atau tayammum) atau sehingga ada (air atau tanah utk bersuci). Inilah pendapat yang pertama, iaitu dia tidak perlu solat dan hanya perlu ulang.

Pendapat yang kedua: Dia hendaklah solat (ketika itu) dan tidak perlu mengulangi solatnya. Ulama yang berpendapat sebegini melihat kepada keumuman syariat dan keringanannya, contohnya firman Allah swt: (maksudnya) “Maka bertakwalah kepada Allah dengan kadar kemampuan kamu.” (al-Taghabun:16), “Allah tidak membebankan seseorang melainkan sekadar kemampuannya.” (al-Baqarah:286), dan firman Allah: “Allah tidak menghendaki untuk menjadikan ke atas kamu kesusahan.” (al-Maidah:6), para ulama ini berkata: Orang yang tidak boleh berwudhu dan bertayammum, tetapi waktu solat sudah masuk, ini bermakna sasaran suruhan telah diarahkan kepadanya dengan kesepakatan, dia dituntut menunaikan solat, bukan wudhu, mandi dan bukan juga tayammum, sebaliknya kemampuan dia menunaikan solat. Golongan ulama ini membahagi-bahagikan perkara yang disuruh. (Maka orang yang berada dalam permasaalahan di atas) dia tidak mendapati bahan untuk bersuci, akan tetapi dia berkemampuan menunaikan solat, maka kita suruh dia menunaikan solat, kerana dia sebahagian dari perkara yang diarahkan (oleh Allah). Disamping ada kemampuannya menunaikan solat dan gugur daripadanya kewajipan berwudhu, mandi atau tayammum disebabkan tidak mampu berwudhu, mandi atau bertayammum. Ini pendapat yang kedua.

Pendapat yang pertama: orang sebegini tidak perlu solat, dia hanya perlu ulangi solat/qadha, dan pendapat yang kedua sebaliknya, dia solat dan tidak perlu ulangi solat. Pendapat yang ketiga pula: Dia tidak perlu solat dan tidak perlu ulanginya. Ini bermakna solat telah gugur daripadanya. Ini kerana solat berdasarkan dalil-dalil syara’ tidak dibenarkan melainkan dalam keadaan suci, [(al-Hadith): Allah tidak akan menerima solat seseorang daripada kamu, apabila dia berhadath sehinggalah dia berwudhu.”], orang yang tidak boleh bersuci bukanlah seorang yang berwudhu, tidak juga dihukum berwudhu, maka dia tidak dituntut menunaikan solat, kemudian gugur juga kewajipan mengulangi solat itu, ini kerana ulangi solat, syaratnya dia termasuk mukallaf menunaikan solat (perkara yang asal), apabila datang waktu solat (perkara yang asal) dan ketika itu dia bukan mukallaf menunaikan solat, maka gugur juga kewajipan mengulanginya.

Pendapat yang ketiga, dia tidak perlu solat dan tidak perlu ulanginya. Pendapat yang keempat: Dia perlu solat dan perlu ulangi solat tersebut. Pendapat ini bertentangan dengan pendapat yang ketiga.

Pendapat yang keempat yang mengatakan wajib solat kerana dia mampu menunaikan solat, hanyasanya gugur darinya bersuci kerana ketidakmampuan melakukannya, tetapi kekal kewajipan menunaikan solat dan dia dituntut melakukannya, dan dia dituntut untuk mengulangi solat itu kerana apabila dia mendapati air maka gugurlah keringanan ke atasnya dan wajib pula dia mengulanginya.

Dan pandangan yang lebih kuat ialah dia perlu solat ketika itu (ketika ketiadaan air dan tanah) dan tidak perl ulanginya, berdasarkan hadith yang thabit di dalam al-Bukhari ketikamana Rasulullah saw keluar ke salah satu peperangan yang disertai baginda – dikatakan peperangan itu adalah peperangan al-Maraisi’ (المريسيع) – lalu baginda berhenti di Zaat al-Jaish (ذات الجيش) – selepas al-Baidha’ yang berada selepas Miqat Dzi al-Hulaifah ( ذي الحليفة ) dari arah Makkah – ‘Aisyah telah kehilangan rantainya, lalu baginda meminta sebahagian sahabat mencarinya, dalam keadaan mereka ketiadaan air.

Peristiwa ini berlaku sebelum disyariatkan tayammum. kemudian masuk waktu solat, lalu mereka solat dalam keadaan begitu. Kemudian mereka mendatangi Nabi saw selepas habis waktu solat tersebut, dan baginda tidak mengarahkan mereka mengulanginya dan baginda membenarkan perbuatan mereka.

Bentuk pendalilan dari hadith ini, mereka tidak boleh berwudhu dan bertayammum – kerana tayammum belum di syariatkan ketika itu – maka pengakuan Nabi saw terhadap solat mereka tanpa bersuci dan baginda tidak mengarahkan mengulanginya selepas keluar waktu, menunjukkan sesiapa yang tidak boleh berwudhu dan tayammum tidak diwajibkan mengulangi solat sebaliknya dia hanya perlu solat pada waktunya.

Berdasarkan ini, kalaulah seseorang diikat atau digari atau tangannya terputus, dia tidak boleh bertayammum dan wudhu, maka dia tidak perlu berwudhu, dia hendaklah solat dalam keadaannya itu, dan dia tidak perlu mengulangi solatnya itu.

Sumber:  disunting dari artikel asal Bagaimana Solat Orang Yang Tak Mampu Berwudhu dan Tak Mampu Tayammum, http://soaljawab.wordpress.com

Wuduk Anggota Cedera

Soalan: Anak saya mengalami kemalangan bahagian anggota wuduknya dibalut dalam tempoh 2 minggu. Bagaimanakah cara dia mengambil wuduk dalam keadaan demikian? Apakah dia perlu mengulangi solatnya?.


Jawapan: Dalam masalah ini, kebanyakan ulama menyatakan: Dia hanya perlu menyapu air pada balutan berkenaan. Dia tidak perlu menyampaikan air pada kulit di bawah balutan tersebut. Bab ini dipanggil al-Mash ‘ala al-Jabirah wa al-‘Isabah iaitu menyapu di atas balutan patah dan luka.

Namun begitu oleh kerana hadith-hadith dalam masalah ini kesemuanya tersangat daif, ini seperti yang dinyatakan oleh para ulama hadith seperti al-Baihaqi, dan tegaskan lagi oleh al-Albani dalam Tamam al-Minnah, maka berlaku perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam masalah ini.

Apa yang saya rumuskan daripada perbahasan para ulama fekah, ialah dua pendapat yang boleh diikuti;

Pertama: Hanya perlu sapu di atas balutan tersebut. Dia tidak diwajibkan berwuduk sebelum memakai balutan tersebut. Ketika berwuduk atau mandi wajib dia hanya perlu sapu air di atas balutan tersebut, tanpa perlu membasuhnya, atau melalukan air di bawahnya, atau menanggalkannya. Inilah pendapat terpilih daripada kebanyakan ulama fekah. (lihat: ‘Abd al-Karim Zaidan, Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar`ah, 1/140, cetakan: Muassasah al-Risalah, Beirut ).

Kedua: Disebabkan hadith-hadith dalam bab ini terlalu daif maka ada ulama fekah yang berpegang kepada tidak ada apa yang dikatakan sapu atas balutan patah atau luka. Sebaliknya anggota yang cedera, atau dibalut tersebut tidak perlu sebarang sapuan atau basuhan kerana telah gugur kewajipan syarak ke atas anggota tersebut. Ini pendapat yang dikemukakan oleh al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (wafat 456H). Kata beliau ketika memberikan alasan pandangannya : “Dalilnya firman Allah (maksudnya) “Allah tidak bebankan kepada seseorang kecuali apa yang dia terdaya” dan sabda Nabi s.a.w: “Apabila aku perintah kamu dengan sesuatu perintah, maka datangilah ia dengan kadar kemampuan kamu”. Dengan dalil al-Quran dan al-Sunnah gugur kewajipan apa yang seseorang tidak mampu. Maka gantinya ialah apa yang disyarakkan. Syarak pula tidak wajib diikuti melainkan dengan dalil daripada al-Quran atau sunnah. Tiada dalil al-Quran atau sunnah yang menggantikan basuhan dengan sapuan ke atas balutan patah atau ubat bagi anggota yang tidak mampu dibasuh”.(lihat: Ibn Hazm al-Andalusi, Al-Muhalla,1/316, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut ). Tokoh hadith zaman ini yang terkenal al-Syeikh Muhammad Nasir al-Din al-Albani r.h.cenderung kepada pendapat ini. (lihat: Al-Albani, Tamam al-Minnah, 133-135, cetakan: Dar al-Rayah, Riyadh ).

Salah satu pendapat atas boleh untuk diamalkan, keduanya lebih mudah untuk pesakit dibandingkan pendapat-pendapat lain. Dia juga tidak perlu mengulangi solat yang dilakukannya apabila dia sembuh. Inilah pendapat yang paling kuat.

Sumber : http://drmaza.com

Cuci Air Kencing Pada Tilam

Soalan : Anak saya kerap terkencing di atas tempat tidur. Masalahnya tilam tersebut amat tebal dan berat. Adalah suatu kesusahan untuk mencucinya. Bagaimana cara saya ingin mencuci?


Jawapan: Majlis Fatwa Ulama Arab Saudi telah memfatwakan masalah ini dengan kata mereka: “Jika yang kecing ke atas tempat tidur (tilam) tersebut, atau seumpamanya , kanak-kanak lelaki yang belum memakan makanan, maka memadai dengan direnjiskan air sehingga meliputi semua tempat yang terkena najis. Tidak wajib memerah dan membasuhnya. Jika kanak-kanak berkenaan telah memakan makanan, atau kanak-kanak perempuan, samada dia telah memakan makanan atau tidak, maka hendaklah dibasuh. Caranya ialah mencurahkan air ke atas tempat najis. Tidak wajib mengangkat tilam tersebut dan memerahnya. Ini sama dengan najis di atas tanah di mana diriwayat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada Anas r.a: “Sesungguhnya seorang arab badawi telah kencing dalam masjid, maka nabi s.a.w. memerintahkan agar dicurahkan sebekas air ke atas tempat kencingnya”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta`, 5/364, cetakan al-Riasah al-‘Ammah, Arab Saudi)

Maka dengan itu puan hanya perlu mencurahkan air dengan kadar yang munasabah sahaja dengan itu tilam tersebut dianggap bersih.
Saya katakan juga; di sana ada pendapat yang mengizinkan menggunakan bahan-bahan pencuci yang disemburkan kepada tempat najis tersebut dan bahan itu berfungsi menukarkan najis kepada sejenis bahan yang baru dan hilang sifat-sifat najisnya. Sekiranya puan memiliki bahan yang seperti ini maka boleh digunakan. Pendapat ini disokong dan dipertahankan oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi (lihat: Fiqh al-Taharah, m.s 58, cetakan Maktabah Wahbah, Kaherah)

Juga jika air kencing itu sudah kering dan puan bersentuh pakaian atau kulit pada bekasnya, maka itu tidak mengapa, pakaian atau kulit puan yang bersentuhan itu tidak dianggap bernajis kerana ianya kering. Kata ahli fekah: “Kering bersentuh kering, dianggap bersih tanpa sebarang khilaf (perbezaan pendapat di kalangan ulama).

Sumber : http://drmaza.com

Kuningan Dan Keruhan Dari Faraj Wanita

Soalan: Dr, Apakah hukum warna kekuningan atau keruhan yang keluar daripada faraj wanita. Kesan ini biasa dapat dilihat pada pakaian dalam wanita. Apakah itu sama dengan darah haid?
Hafiza, Klang


Jawapan: Dalam istilah fikah kekuningan itu disebut sebagai sufrah. Sementara keruhan yang menghampiri warna hitam itu dinamakan kudrah. Kata seorang sahabiyyah yang bernama Umm ‘Atiyyah: “Kami tidak menganggap kudrah dan sufrah selepas suci (dari haidh) apa-apa pun” (Riwayat al-Bukhari, al-Nasai, Abu Daud dan al-Nasai. Lafaz ini lafaz Abu Daud, sanadnya sahih)

Berdasar riwayat di atas, maka bagi soalan saudari ada dua keadaan. Pertama; jika ia keluar pada waktu kebiasaan haidh, maka dia dianggap haidh. Jika ia keluar pada waktu yang kebiasaannya saudari suci, maka ia tidak dianggap sebagai haid. Cumanya saudari perlu membasuh pakaian untuk solat.

Jarak Masa Persetubuhan

Soalan: Saya mempunyai perasaan seks yang agak kuat. Saya selalu terasa ingin mengadakan hubungan tersebut. Malangnya suami saya kurang memahami, dingin dan hambar. Dia selalu menjarak tempoh hubungan seks kami. Apakah hanya isteri yang wajib melayan kehendak suami, bagaimana dengan suami pula?


Jawapan: Para ulama memberikan berbagai pendapat tentang jarak waktu paling kurang bagi hubungan seks yang wajib dilakukan oleh seorang suami. Berbagai pendapat telah diberikan. Namun pendapat yang terbaik ialah apa yang nyatakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h ( wafat 728H) iaitu suami wajib menyutubuhi isteri dengan kadar keperluan seseorang isteri. Ini adalah pendapat yang tepat. Persetubuhan antara lain bertujuan memelihara kehendak nafsu agar tidak melakukan sesuatu yang menyanggahi syarak. Suami hendaklah sedar kewajipan ini. (sesiapa yang inginkan pendetilan masalah ini lihat al-Mufassal fi Ahkam al-Marah oleh ‘Abd al-Karim Zaidan).

Sumber : http://drmaza.com

Mengeluarkan Mani Di Luar Rahim

Soalan : Saya dan suami saya merancang keluarga dengan kaedah mengeluarkan air mani di luar rahim. Apakah ini tidak dianggap menolak kurniaan Allah, atau membunuh benih yang boleh menjadi anak?.


Jawapan: Perbuatan mengeluarkan air mani diluar rahim ketika melakukan persetubuhan dinamakan ‘azal. Ia biasanya dilakukan untuk mengelakkan dari mengandung. Hal ini berlaku sejak zaman Nabi s.a.w. Ini seperti kata seorang sahabah yang terkenal Jabir bin ‘Abd Allah: “Kami melakukan ‘azal pada zaman Nabi s.a.w. dan Al-Quran sedang turun” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maksud Jabir ialah mereka melakukan perkara tersebut pada zaman Nabi s.a.w dan penurunan al-Quran tetapi tidak mereka dilarang. Maka dengan ini mengeluarkan air mani diluar rahim adalah diharuskan. Namun oleh kerana wujudnya hadith Muslim yang menamakan ‘azal sebagai al-wa`d al-khafi iaitu membunuh anak secara senyap, maka kebanyakan ulama memakruhkan perbuatan ini.

Di samping itu, hadith yang lain riwayat Muslim juga menyatakan bahawa seseorang yang cuba melakukan ‘azal jika Allah kehendaki tetap akan mendapat anak. Ini mungkin kerana dia tidak dapat mengawal pancutan air mani sebelum dia mencabutnya.

Perlu diingatkan, oleh kerana perbuatan ini boleh menyebabkan isteri hilang kelazatan persetubuhan, atau tidak sampai kemuncak kelazatannya, maka suami yang ingin melakukannya hendaklah mendapat keizinan isteri. Ini kerana persetubuhan adalah hak bersama suami dan isteri. Inilah pendapat yang paling kuat kebanyakan ulama. Sehingga al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (wafat 463H) berkata: “Tiada khilaf di kalangan ulama bahawa tidak boleh dilakukan ‘azal dengan isteri yang merdeka melainkan setelah mendapat keizinannya. Ini kerana persetubuhan adalah daripada haknya” (rujukan: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 10/385, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut ).

Di samping perlu difahami, adapun hasrat mencegah kehamilan jika sebabkan bimbang kepapaan, atau kekurangan rezeki, atau kurang kemewahan adalah diharamkan kerana ianya menyamai perbuatan musyrikin dan tidak meyakini rezeki Allah. Jika disebabkan keadaan tertentu yang mendesak maka ianya diizinkan. Namun jika digunakan dicegah kehamilan secara berterusan tanpa sebab adalah diharamkan oleh para ulama. Ini jika dibiarkan akan mengurangkan jumlah umat Islam. Dinasihatkan agar kita memperbanyakkan zuriat, kerana ianya menambahkan kekuatan dan suara umat Islam dalam negara ini.

Sumber : http://drmaza.com

Solat Jama’ Bagi Pesakit & Doktor

Soalan: Bagaimana cara mengerjakan solat jamak, dan apakah keadaan-keadaan yang membolehkannya?


Jawapan:Supaya tidak terkeliru, terlebih dahulu saya terangkan maksud jamak. Iaitu menghimpunkan dua solat pada satu waktu. Solat-solat yang diizinkan syarak untuk dihimpunkan itu ialah, Zohor bersama Asr dan Maghrib bersama Isyak. Adapun qasar bermaksud meringkaskan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat. Qasar diizinkan untuk mereka yang bermusafir. Keizinan jamak lebih luas daripada keizinan qasar. Di mana seseorang boleh menjamakkan solatnya sekalipun dia tidak bermusafir disebabkan keadaan-keadaan tertentu, tetapi dia tidak boleh menqasarkannya. Ertinya dalam keadaan tertentu dia boleh menunaikan solat Asr dalam waktu Zohor iaitu selepas ditunaikan empat rakaat Zohor, dia menunaikan pula empat rakaat Asr. Demikian juga dia boleh melakukannya pada waktu Asr, dengan cara melewatkan Zohor. Begitu juga Maghrib dan Isyak. Dalam hadith yang diriwayatkan al-Imam Muslim, Ibn ‘Abbas menyebut: “RasululLah s.a.w solat jamak Zohor dan Asr, Maghrib dan Isyak di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana musafir”. Ditanya Ibn ‘Abbas mengapa baginda melakukan demikian?. Jawabnya: “Kerana tidak mahu menyusahkan umatnya”. Dalam riwayat yang lain daripada Muslim juga disebut: “Baginda jamakkan solat tidak disebabkan katakutan atau hujan”.

Hadith-hadith yang seumpama ini memberi kesimpulan kepada para fuqaha (ulama fekah) bahawa solat jamak boleh dilakukan disebabkan keuzuran-keuzuran tertentu, seperti sakit yang menyusahkannya, atau hujan bagi mereka bersolat jamaah di masjid, kesempitan waktu dan seumpamanya.

Hal-hal ini seperti mereka yang sakit yang menyukarkannya berwuduk atau bergerak maka bolehlah dia menjamakkan solatnya. Mereka yang terlibat dalam urusan-urusan yang tidak dapat ditinggalkan seperti pembedahan, menjaga lalu lintas, mengendalikan urusan yang bahaya, atau peralatan yang bahaya, terlibat dengan peperiksaan yang tidak ada pilihan lagi. Demikian juga bagi wanita yang bermusafir dengan bas awam yang menyusahkannya bersolat di tengah perjalanan, maka dia boleh menjamakkan solat sejak di rumahnya, tanpa qasar. Begitulah juga dengan semua keadaan yang menyukarkan seseorang. Namun hendaklah dia mengutamakan menanaikan solat berdasarkan waktunya terlebih dahulu, jika benar-benar menyukarkan dan dia tidak mempunyai pilihan maka ketika itu diizin.

Kitab-kitab fekah penuh memuatkan masalah ini, terutamanya dalam mazhab al-Imam Ahmad bin Hanbal. Antara Ibn Taimiyyah dalam al-Fatawa al-Kubra (2/348, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut ) dan kitab-kitab lain. Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut perkara ini dalam Fatwa Mu‘asarah (1/245, cetakan Dar Uli al-Nuha, Beirut ).

Sumber : http://drmaza.com dengan judul asal Cara & Sebab Solat Jamak

Derma Organ Untuk Bukan Islam

Mufti Perlis S. S. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata “Perbezaan agama bukan penghalang kepada umat Islam untuk menderma organ kepada orang bukan Islam kerana tidak timbul pertikaian dari segi hukum mengenai perkara tersebut”

Kenyataan ini beliau lontarkan ketika mengulas mengenai nasib penerima jantung teknikal, Tee Hui Yee, 14 semalam di dalam akhbar Utusan Malaysia.

Tee Hui Yee telah setahun menunggu untuk mendapatkan jantung yang baru, namun tempoh itu berlalu dalam keadaan masih tidak ada orang yang sanggup mendermakan jantung kepadanya.

Pengarah klinikal, Pemindahan Jantung dan Paru-Paru dan Program Jantung Mekanikal, Institut Jantng Negara (IJN), Dr. Mohd Ezani Taib berkata, pihaknya pernah menerima pertanyaan daripada orang ramai mengenai prosedur menderma organ.

“Tetapi penderma mahu hanya orang Islam menerima organnya kerana kononnya ia melibatkan soal hukum,” katanya.

Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri dalam kenyataannya menyebut : “dakwaan bahawa menderma organ kepada orang bukan Islam adalah sia-sia kerana tidak menjanjikan pahala adalah tidak benar sama sekali.”

“Surah Al-Baqarah ayat 272 antara lain membawa maksud pendermaan organ kepada bukan Islam tetap dijanjikan pahala kerana ia dilakukan atas dasar membantu mereka yang memerlukan dan untuk menyelamatnya nyawa,” Beliau menyambung : “jika bantuan diberikan kepada orang bukan Islam sudah tentu ia dapat memperbetulkan pelbagai salah tanggapan mengenai Islam selain menjadi satu strategi yang baik dalam usaha dakwah.”

Kenyataan ini bertepatan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh beberapa ulama mutaakhir seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Di dalam salah satu fatwanya al-Qaradhawi menyebut :

“Menderma sebahagian anggota badan adalah sama seperti bersedekah dengan harta, harus dikeluarkan kepada orang Muslim dan bukan Muslim.”

Sumber : http://drmaza.com/