Soal Jawab Ringkas Sekitar Masalah Pengamal Perubatan

1. Solat dengan Darah Pada Pakaian

Soalan: Bolehkah menunaikan solat walaupun terdapat darah pada pakaian?

Jawapan: Boleh, apabila darahnya hanya sedikit, atau sukar dibersihkan, kerana menurut kaedah fiqh: “segala sesuatu yang sulit dipelihara, maka ia dimaafkan.”

2. Solat dengan Tidak Pasti Kiblat

Soalan: Bolehkah melakukan solat jika sukar mencari arah kiblat?

Jawapan: Apabila dia telah berusaha mencarinya tetapi belum juga dapat mengetahui arah kiblat, atau yang mendekatinya, maka bolehlah ia menghadap ke arah mana saja.

Dalam hal ini Allah berfirman:

وَلِلّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ فَأَيْنَمَا تُوَلُّواْ فَثَمَّ وَجْهُ اللّهِ إِنَّ اللّهَ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

            “Dan kepunyaan ALLAH-lah timur dan barat, maka kemana pun kamu menghadap, disitulah wajah ALLAH …” (al-Baqarah: 115)

3. Jama’ Solat Ketika Sibuk

Soalan: Bagaimana hukum menjama’ solat apabila seorang doktor sangat sibuk contohnya ketika menghadapi persalinan bayi (baby delivery)?

Jawapan: Dia boleh menjama’ solat Zuhur dengan `Asar, atau solat Maghrib dengan solat Isya’, sama ada dengan Jama’ Taqdim mahupun Jama’ Ta’khir, mana-mana yang dianggap mudah baginya, iaitu dengan Jama’ saja tanpa diQashar. Yang membolehkan Jama’ kerana uzur adalah mazhab Imam Ahmad, berdasarkan hadis Ibnu Abbas dalam kitab sahih (Muslim) .

4. Mengusap Kasut

Soalan: Bagaimana hukum mengusap kasut?

Jawapan: Enam belas orang sahabat Nabi s.a.w. membolehkan mengusap kasut dengan syarat pada waktu memakainya harus dalam keadaan suci. Orang yang bermukim (menetap di kampung halaman) boleh mengusap sarung kaki selama semalam, dan bagi musafir selama tiga hari tiga malam.

5. Mandi Jinabat Jika Tiada Tempat Mandi

Soalan: Bagaimana cara mandi jinabat apabila terdapat air tetapi tidak dijumpai tempat untuk mandi, contohnya selepas bersalin?

Jawapan: Dalam keadaan seperti ini air dianggap tidak ada menurut hukum, meskipun sebenarnya ada, sebab yang dijadikan sebab ialah dapat kemampuan kita menggunakannya. Sedangkan dalam situasi seperti ini kemampuan untuk menggunakannya tidak ada. Oleh kerana itu bolehlah ia bertayamum.

6. Solat di Tepi Pancuran Air

Soalan: Bolehkah melakukan solat di sekitar pancuran air jika hanya tempat itu satu-satunya tempat yang sesuai, khususnya di negara-negara Barat?

Jawapan: Keadaan darurat mempunyai hukum tersendiri. Dalam suatu hadis RasuluLLAH s.a.w. bersabda: “Dan Bumi itu dijadikan untukku sebagai tempat sujud (tempat solat).” [HR Bukhari dalam “ash-Shalah,” juz 1, hlm. 533, hadis nombor 438; dan Muslim dal “al-Masajid,” juz 1, him.370, hadis nombor 521 dan 522.]

7. Bersentuh dengan Doktor Wanita

Soalan: Adakah bersentuhan dengan perawat atau doktor perempuan sebagaimana yang biasa terjadi membatalkan wudhu, lebih-lebih jika wanita itu non-Muslim?

Jawapan: Menurut pendapat yang rajih (kuat), bersentuhan dengan wanita tanpa syahwat tidaklah membatalkan wudhu.

8. Ketua dan Teman Minum Arak

Soalan: Apa yang harus dilakukan oleh doktor Muslim apabila dia melihat temannya atau pengarahnya menghisap/meminum benda-benda yang memabukkan?

Jawapan: Menggunakan langkah yang paling bijaksana dan paling lemah-lembut untuk menghilangkan kemunkaran tersebut, menurut kemampuannya, dan hendaklah dia menganggap dirinya sedang menghadapi pesakit yang menderita penyakit tertentu. Di samping itu, hendaklah dia meminta tolong daripada mereka yang layak agar dapat menangani masalah tersebut secara bijaksana.

9. Perihal Aurat Pesakit

Soalan: Apa yang menjadi kewajipan kita dalam menghadapi masalah pendedahan aurat orang sakit dan anggota tubuhnya yang terbuka walaupun bukan dalam keadaan darurat, apakah anjuran kita kepadanya?

Jawapan: Ini merupakan sesuatu yang wajib diberitahu dan disebarluaskan agar setiap Muslimah mengetahui dan melaksanakan mana yang lebih positif, kecuali dalam keadaan darurat. Walaubagaimanapun, kebolehan kerana darurat haruslah diukur dengan kadar daruratnya.

10. Guna Alkohol

Soalan: Bagaimana hukum menggunakan alkohol yang bersih untuk kulit?

Jawapan: Tidak apa-apa, ia bukan khamar (arak) yang diharamkan, kerana khamar sengaja diproses untuk diminum. Dalam hal ini ada fuqaha yang menganggap najisnya khamar adalah najis maknawiyah, bukan najis hissiyyah (menurut panca indera), dan ini merupakan pendapat Rabi’ah (guru Imam Malik) dan lain-lainnya. Dalam hal ini, Lembaga Fatwa di al-Azhar sejak dulu memperbolehkan penggunaan alkohol untuk kepentingan tersebut. Adapun Sayid Rasyid Ridha mempunyai fatwa yang terperinci dan persoalan tentang kebolehannya. Silalah kaji fatwa-fatwa beliau.

Sumber: disunting & dialihbahasa dari Fatawa Mua’sirah Mua’sirah Jilid ke-II oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi

Pemeriksaan Bahagian Sulit

Soalan: Adakah dibenarkan seorang doktor untuk melihat kawasan sulit pesakit ketika pemeriksaan kesihatan.

Dijawab oleh Sheikh Ahmad al-Qubaysî

Doktor dibolehkan melihat bahagian badan yang dia perlu lihat demi menjalankan pemeriksaan kesihatan. Dalam kes yang teruk dan ianya menjadi suatu keperluan, maka dibenarkan bagi doktor melihat bahagian sulit pesakit yang perlu untuk diperiksa.

Tempoh masa dan kawasan bahagian sulit yang diperlukan untuk terdedah adalah sama kadar dan caranya sepertimana seseorang itu menanggalkan pakaian di bilik air untuk keperluan peribadinya.

WaLLAHu A’lam, ALAH mengetahui yang terbaik.

Sumber: dialihbahasa dari http://islamtoday.com

Tiada Dara Malam Pertama

Soalan: Apa yang perlu dilakukan oleh seorang suami jika dia mendapati pada malam perkahwinan bahawa isterinya tidak dara kerana tiada darah.

Dijawab oleh Sheikh Salman al-Oadah

Tiada darah pada malam pertama bukanlah petanda hilang dara (kesucian), apatah lagi Syariah Islam tidak menyatakan sedemikian.

Terdapat banyak sebab mengapa seorang perempuan tidak berdarah. Terdapat beberapa peratus perempuan yang tidak berdarah langsung. Sesetengah perempuan berdarah sangat sedikit sehingga sukar dikenalpasti. Sebahagian wanita lain mungkin mengalami kemalangan minor semasa usia kecil atau terjatuh sehingga mengoyakkan hymen (selaput dara) dan menyebabkan dia tidak berdarah ketika dewasa, dan mereka tidak tahu yang kemalangan itu telah menyebabkan hal sedemikian. Apatah lagi mengangkat objek berat, berlari, atau melompat boleh menyebabkan hymen koyak. Sebahagian perempuan pula terkoyak hymennya kerana sentuhan sendiri.

Bagi sebahagian wanita pula, hymennya tidak koyak sehinggalah dia melahirkan anak.

Kita mestilah mengetahui bahawa keteguhan iman dan kesucian adalah ciri-ciri penting bagi seorang wanita dan ianya tidak tertakluk sama ada hymen (selaput dara) itu wujud atau tidak.

ALLAH s.w.t. menyifatkan wanita beriman sebegini sebagaimana demikian;

فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللّهُ

“Maka wanita yang Soleh, ialah yang taat kepada ALLAH lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana ALLAH telah memelihara (mereka)”

(Sûrah al-Nisâ’: 34)

Sumber : dialihbahasa dari http://islamtoday.com

Derma Darah

Diantara hal paling utama yang diberikan oleh keluarga atau sahabat kepada si sakit ialah mendermakan darah untuknya bila diperlukan ketika ia menjalani pembedahan, atau untuk membantu dan mengganti darah yang dikeluarkannya.

Ini merupakan pengorbanan yang paling besar dan sedekah yang paling utama, sebab memberikan darah pada saat seperti itu kedudukannya sama dengan menyelamatkan hidupnya, dan Al-Qur’an telah menetapkan dalam menjelaskan nilai jiwa manusia:

مِنْ أَجْلِ ذَلِكَ كَتَبْنَا عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا

“… bahawa barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya …” (al-Ma’idah: 32)

Apabila bersedekah dengan harta memiliki kedudukan yang demikian tinggi dalam agama dan mendapat pahala yang demikian besar di sisi ALLAH (sehingga Allah Ta’ala menerimanya dengan tangan kanan-NYA dan melipatgandakannya hingga tujuh ratus kali ganda, bahkan entah sampai berapa kali ganda menurut yang dikehendaki ALLAH), maka mendermakan darah lebih tinggi kedudukannya dan lebih besar lagi pahalanya. Kerana orang yang mendermakan darah menjadi sebab kehidupan, dan darah juga merupakan sebahagian dari manusia, sedangkan manusia jauh lebih mahal daripada harta. Selain itu, orang yang mendermakan darahnya seakan-akan menyumbangkan sebahagian material jasadnya kepada saudaranya kerana cinta dan kerana mengalah.

Disisi lain, bentuk amal soleh yang memiliki nilai lebih tinggi lagi dari nilai tersebut ialah memberi pertolongan kepada orang yang memerlukan pertolongan dan menghilangkan kesusahan orang yang dilanda kesusahan. Ini merupakan kelebihan lain yang menambah pahala di sisi ALLAH Ta’ala. Dalam suatu hadis RasuluLLAH saw. bersabda:

            “Sesungguhnya Allah mencintai perbuatan memberi pertolongan kepada orang yang memerlukan pertolongan.” (HR Abu Ya la, ad-Dailami, dan Ibnu Asakir dari Anas)”[1]

Di dalam kitab sahih juga diriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:

            “Barangsiapa yang menghilangkan dari seorang Muslim suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, maka ALLAH akan menghilangkan dari orang itu suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan pada hari kiamat.” (HR Bukhari dan Muslim dari hadis Ibnu Umar)”[2]

Bahkan terdapat hadis sahih dari RasuluLLAH s.a.w. bahawa menolong binatang yang memerlukan makanan atau minuman itu juga mendapat pahala yang besar di sisi Allah, sebagaimana disebutkan dalam hadis yang menceritakan tentang seorang yang memberi minum anjing yang sedang kehausan. Anjing itu didapati menjulurkan lidahnya menjilati tanah kerana sangat haus, maka orang itu mengambil air dari telaga dengan kasutunya dan digigitnya kasut itu dengan giginya kemudian diberi minum kepada anjing tersebut hingga puas. Nabi s.a.w. bersabda, “Maka ALLAH berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya.” Lalu para sahabat bertanya kehairanan, “Wahai Rasulullah, apakah kami mendapatkan pahala dalam menolong binatang?” Beliau menjawab:

            “Benar, (berbuat baik) kepada tiap-tiap (sesuatu yang memiliki) jantung yang basah (makhluk hidup) itu berpahala.” (HR Muttafaq ‘alaih dari Abu Hurairah)”[3]

Nampaknya para sahabat beranggapan bahawa berbuat baik kepada makhluk (binatang) ini tidak mendapat pahala di sisi ALLAH dan bahawa ad-Din tidak memperhatikannya. Maka RasuluLLAH s.a.w. menjelaskan kepada mereka bahawa berbuat baik kepada makhluk hidup yang mana pun akan mendapat pahala, meskipun berupa binatang seperti anjing. Maka bagaimana lagi berbuat baik kepada manusia? Apatah lagi terhadap manusia yang beriman?

Mendermakan darah itu menberikan pahala yang besar secara umum, dan bersedekah kepada kerabat akan digandakan pahalanya secara khusus, kerana yang demikian itu akan memperkuat hubungan kekerabatan dan mengukuhkan jalinan kekeluargaan. Dalam hal ini RasuluLLAH s.a.w. bersabda;

            “Bersedekah kepada orang miskin itu mendapat pahala satu sedekah; sedangkan kepada keluarga itu mendapatkan dua pahala, iaitu pahala sedekah dan pahala menyambung kekeluargaan.” (HR Ahmad, Tirmidzi, Nasa’i, Ibnu Majah, dan Hakim dari Salman bin Amir)”[4]

Pahala menyumbangkan darah ini lebih berlipat ganda apabila pada asalnya hubungan antara penyumbang dan pesakit tidak harmoni, mengikut pujukan Syaitan yang menyalakan api permusuhan dan pertentangan di antara mereka. Apabila salah seorang dari mereka berhasil mengalahkan nafsu dan Syaitannya, lalu menyingkirkan dan membuang sikap yang tercela menurut pandangan ALLAH dan pandangan manusia ini, lantas ia menyumbangkan harta atau darahnya kepada kerabat yang memerlukannya (yang sebelumnya bermusuhan dengannya), maka tindakan demikian dinilai oleh RasuluLLAH s.a.w. sebagai sedekah yang paling utama bila dinisbatkan kepada siapa yang diberi sedekah. Beliau bersabda:

            “Sedekah yang paling utama ialah kepada keluarga yang memusuhi (al-kaasyih).” (HR Ahmad dan Thabrani dari Abi Ayyub dan Hakim bin Hizam)”[5]

Yang dimaksud dengan dzir-rahmi al-kaasyih (keluarga yang memusuhi) ialah yang menyembunyikan rasa permusuhan dalam hati, tidak terang-terangan, dan tidak cinta kepada kerabatnya.

______________________________________

Nota kaki:

1. Faidhul-Qadar, juz 2, hlm. 287.

2. Al-Lu’lu’ wa-Marjan, hadis nombor 1667.

3. Al-Lu’lu’ wa-Marjan, hadis nombor 1447.

4. Dihasankan oleh Tirmidzi, disahkan oleh Hakim, dan disetujui oleh Dzahabi, sebagaimana diterangkan dalam Faidhul-Qadir, karya Imam Munawi, juz 4, hlm. 237.

5. Diriwayatkan juga oleh Abu Daud, Tirmidzi, dan Bukhari dalam al-Adabul-Mufrad dari Abi Sa’id, dan diriwayatkan oleh Thabrani dan Hakim dari Ummu Kultsum bind ‘Uqbah, serta disahkan oleh Hakim menurut syarat Muslim dan disetujui Dzahabi (Faidhul-Qadir, juz 2, hlm. 38).

Sumber: disunting & dialihbahasa dari Fatawa Mua’sirah Mua’sirah oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi